Berbahagialah orang yang mahu mengikuti Tuhan

Kebijaksanaan pada umumnya berkaitan rapat dengan penglihatan dan realiti sesuatu keadaan.

Mar 21, 2020

HARI MINGGU KEEMPAT
PRA-PASKAH TAHUN A
1 SAMUEL 16:1.6-7.10-13;
EFESUS 5:8-14; INJIL YOHANES 9:1-41

Kebijaksanaan pada umumnya berkaitan rapat dengan penglihatan dan realiti sesuatu keadaan.

Keinginan kita lebih besar daripada apa yang sebenarnya diperlukan oleh kehidupan kita.

Kesemua petikan pada hari ini menjemput kita untuk mempertajamkan penglihatan kita agar dapat melihat luar dan dalam hidup kita masing-masing. Keperluan untuk melihat lebih dalam adalah sungguh diperlukan untuk menilai panggilan, kehidupan moral dan perlakuan kita terhadap kejahatan.

Di dalam Injil tadi kita berhadapan dengan seorang buta yang ingin melihat. Apabila kita renungkan kisah Injil ini, pun demikian juga bacaan pertama dan kedua, terdapat dua jenis kebutaan. Pertama, orang yang sungguh-sungguh buta secara jasmani dan kedua, orang yang buta secara rohani. Orang yang sungguh mahu melihat dan orang yang punya penglihatan tapi tidak mahu melihat sehingga Yesus berkata, "Mereka mempunyai mata tapi tidak dapat melihat!"

Para pemimpin agama yang  menganggap diri mereka dapat melihat, itulah yang besar kemungkinannya malah tidak dapat melihat sebab sikap kesombongan mereka sangat keterlaluan. Sikap yang sombong ini dapat kita lihat apabila mereka berkata: "Engkau ini lahir sama sekali dalam dosa dan engkau mengajar kami?" (Yoh 9:34), kepada orang buta tersebut.

Apakah kita pada masa-masa tertentu tidak sama dengan orang Farisi yang buta iman itu? Misalnya ketika berselisih faham kita tetap tidak mahu mengaku salah walaupun sedar kita sebenarnya berada di pihak yang salah? Atau suami isteri yang memilih untuk berdiam di dalam kegelapan tentang krisis perkahwinan mereka tanpa berusaha berkomunikasi untuk memperbaikinya? Purapura serba ok tetapi sebenarnya bagaikan bom yang bila-bila masa boleh meledak?

Oleh kerana sikap sombong, tinggi diri seperti orang-orang Farisi tadi, maka ramai ibu bapa yang tidak dapat menerima kenyataan bahawa anak mereka lulus sekadar 'cukup makan' sahaja.

Malah agar anak-anak mereka  sentiasa mendapat perlindungan yang cukup, lalu membekalkan mereka dengan telefon bimbit supaya sentiasa dapat dikesan pergerakan mereka.

Kita berjalan dalam kegelapan apabila kita tidak mahu menerima kenyataan terhadap ketidaktenteraman, kelemahan, kekurangan dan kesilapan-kesilapan kita. Maka kesombongan bererti merupakan suatu penyembuhan pada sesuatu yang sebenarnya tidak memerlukan campur tangan Tuhan.

Pendek kata orang yang sombong sebenarnya tidak sesungguhnya mempunyai hubungan yang matang dengan sesamanya sebab perasaannya sentiasa terluka atas sesuatu yang melebihi kekuatan dirinya.

Orang buta dalam Injil tadi merupakan suatu contoh yang baik bahawa kita perlu menerima diri kita apa adanya. Kita perlu tahu kekuatan, kelebihan, kekurangan dan kelemahan-kelemahan kita dan sentiasa terbuka untuk perubahan yang lebih baik. Ini bererti bahawa untuk bertumbuh dalam kerohanian, kita memerlukan kerendahan hati. Kerendahan hati untuk menerima bantuan, kerendahan hati untuk bekerjasama dengan Tuhan.

Misalnya berusaha mengatasi segala kekurangan dan kelemahan, rajin belajar dan bekerja demi masa depan yang cerah. Sebab kata orang, kita berusaha namun Tuhanlah yang menentukan. Tuhan membantu dan mengabulkan permohonan orangorang yang rajin berusaha.

Bukankah si orang buta itu tadi pun tidak terus sembuh tapi berusaha berjalan ke kolam Siloam untuk mencuci matanya sesuai dengan arahan Yesus, "Pergilah, basuhlah diri mu dalam kolam Siloam?"

Mempunyai rasa rendah hati terhadap segala kelemahan dan ketidaksempurnaan hidup ini merupakan syarat yang sangat penting untuk penyembuhan.  Inilah juga martabat yang ada dalam diri si buta tadi. Sebaliknya orang-orang yang menganggap dirinya serba ok yang digambarkan sebagai orangorang Farisi tadi adalah orang-orang yang tidak ada pengharapan, tidak dapat melihat dan lambat laun akan menjadi buta iman, tidak dapat melihat dan tidak mengalami kuasa Tuhan di dalam dirinya.

Bagaimana pun juga bagi kita semua yang berada di sini, ingatlah bahawa di dalam segala hal dan dengan cara apa sekalipun, kita sentiasa dan perlu melihat karya cinta kasih Tuhan sedang berlangsung di dalam hidup kita, sesama kita dan di dalam alam sekitar kita. Untuk itulah kita sentiasa memuji syukur kepada-Nya. --santapanrohani@ keningaudiocese.net

Total Comments:0

Name
Email
Comments