Biar kami menjadi lilin yang menyuluh iman

Sempena musim cuti persekolahan pada bulan Jun lalu, Kerasulan Belia Katolik (KBK) St Frances Cabrini (SFC) Nambayan Tambunan telah mengadakan lawatan ke Gereja Blessed Sacrament, Labuan (BSL).

Aug 05, 2017

TAMBUNAN: Sempena musim cuti persekolahan pada bulan Jun lalu, Kerasulan Belia Katolik (KBK) St Frances Cabrini (SFC) Nambayan Tambunan telah mengadakan lawatan ke Gereja Blessed Sacrament, Labuan (BSL).

Rombongan tersebut diketuai oleh Sdri Clarice Dominic yang merupakan pengarah program merangkap pengerusi KBK SFC Nambayan. Ia merupakan program lawatan yang julung-julung kali diadakan. KBK SFC mendapat sokongan sepenuhnya daripada Paderi Paroki St Theresa, Fr. Anthony Mikat.

Kedatangan 25 orang pelawat dari SFC Nambayan, Tambunan ini dialualukan oleh Paderi Paroki BSL, Fr Jonny Raju, Pengerusi MPP dan para belia BSL yang diketuai Sdra Randy Pitas iaitu Pengerusi Belia BSL serta Sdri Josephine Jusmin, ko-ordinator belia.

Pada hari pertama, perjumpaan mesra dua kerasulan belia dari dua Paroki berbeza ini diisi dengan sesisei pujian dan penyembahan serta sesi “monolog bersama Yesus.” Keesokan harinya, program diteruskan dengan sesi ice breaking serta aktiviti kerja amal iaitu membersihkan kawasan Gereja dan Dewan.

Para belia SFC juga dibawa melawat beberapa kawasan menarik di sekitar Labuan, seperti Memorial War, Taman Burung, Sea Sport dan Muzium. Pada hari ketiga iaitu hari Ahad, sebelum Misa, belia SFC menjalani sesi kerohanian iaitu refleksi diri (bagaimana hubungan saya dengan Yesus hari ini).

Semasa Misa Kudus, mereka menyertai pelayanan Koir dan Mazmur. Sesi unggun api dijalankan pada sebelah malam di mana para belia memuliakan Tuhan melalui lagu-lagu rohani, diikuti pembakaran permohonan dan sifat negatif ke dalam unggun api.

Selepas itu semua belia SFC memasang lilin lalu menyerahkan kepada sesama sambil menanda salib di dahi dan mengatakan “Jadilah terang dan garam dunia”. Sesi ini diakhiri dengan nyanyian lgu “biar ku menjadi lilin”. Acara diakhiri dengan majlis persaudaraan bersama Fr Johnny, ahli-ahli MPP, belia dan umat BSL.

Belia SFC mengungkapkan rasa syukur dan terima kasih kepada Paderi Paroki BSL, belia dan umat BSL atas layanan mesra dan jagaan baik mereka sepanjang para belia SFC berada di sana. Sesungguhnya, perjalanan belia SFC ke Labuan tidak sia-sia kerana mereka bukan sahaja telah disegarkan dengan Roh Kudus, tetapi turut meluaskan lagi jaringan persahabatan di kalangan rakan seiman.

Total Comments:0

Name
Email
Comments