Buah-buah Alpha: Iman diperbaharui, persaudaraan dieratkan

Keadaan pandemik COVID-19 yang melanda Malaysia dan seluruh dunia menyebabkan ramai daripada kita tidak dapat hadir ke gereja seperti biasa.

Jun 18, 2021

KUALA LUMPUR: Keadaan pandemik COVID-19 yang melanda Malaysia dan seluruh dunia menyebabkan ramai  daripada kita tidak dapat hadir ke gereja  seperti biasa. 

Penutupan gereja, larangan berkumpul, penjarakan sosial, pemakaian  pelitup muka – tidak dinafikan semua ini telah secara tidak langsung membataskan pergaulan kita dan perhubungan kita sesama saudara-saudari seiman.

Disebabkan keadaan ini timbul suatu kerinduan yang besar untuk mencari  kewujudan Tuhan dan berada dalam  dakapan-Nya.

Bapa Suci Paulus VI dalam dokumen ensilikalnya yang bertajuk “Evagelii Nundiandi”, menekankan bahawa evangelisasi merupakan misi dan identiti Gereja. 

Setiap daripada kita dipanggil dan diutus untuk menjadi pengikut Yesus untuk  memberitakan Berita Baik dan Khabar  Keselamatan untuk semua orang. Inilah yang menjadi inspirasi Alpha Formed  New Evangelisation Team (ALPHAFormed NET) Keuskupan Agung Kuala  Lumpur untuk menganjurkan projek  rintis Pan-Malaysian Alpha in Catholic  Context Online, atau singkatannya PAMACCOL. 

Sekatan-sekatan akibat pandemik  COVID-19 tidak menjadi penghalang,  malah membolehkan ianya membolehkan PAMACCOL dilaksanakan tanpa  mengira batas sempadan negeri dan  paroki. 

ALPHA telah diterjemahkan ke lebih  daripada 100 bahasa dan buat julungjulung kalinya, PAMACCOL telah dilaksanakan secara serentak melalui empat platform Zoom dalam empat bahasa,  iaitu bahasa Malaysia, English, Mandarin dan Tamil. 

Bagi komuniti umat berbahasa Malaysia, seramai lebih kurang 56 peserta daripada 70 peserta yang telah mendaftar, setia mengikuti setiap sesi PAMACCOL (BM), sejak 11 April 2021, iaitu bermula  pada Hari Minggu Kerahiman Ilahi. Apa yang menyebabkan peserta-peserta mengikuti setiap sesi tanpa jemu? Apa yang menjadikan kursus ini mudah tetapi menarik? 

Kuncinya terletak pada sesi perkongsian yang diadakan dalam kumpulankumpulan kecil. Penyampaian video yang mudah tetapi bermakna membuka  jalan untuk peserta-peserta dalam setiap  kumpulan berkongsi dengan lebih mendalam pengalaman dan perjalanan iman  mereka. 

Fasilitator dalam setiap kumpulan  bertanggungjawab memastikan sesi  perkongsian iman dijalankan dalam suasana yang selesa, tenang, bebas, tanpa  paksaan, dan yang paling penting, kerahsiaan setiap perkongsian dijaga. Antara sorotan menarik dalam PAMACCOL ialah sesi Hujung Minggu Roh  Kudus yang telah diadakan bersempena dengan Hari Minggu Pentakosta. Sebagai persiapan untuk mengalami Roh  Kudus dalam sesi tersebut, para peserta  telah diminta untuk membuat pemeriksaan hati nurani, dan berdoa agar Roh  Kudus dapat bekerja dalam hati mereka.

Selain itu, para peserta turut digalakkan untuk berdoa Novena Roh Kudus selama sembilan hari sebelum Hari Pentakosta untuk memohon buah-buah Roh Kudus iaitu kasih, sukacita, damai  sejahtera, kesabaran, kemurahan hati,  kebaikan, kesetiaan, kelemah-lembutan, dan penguasaan diri.

Kemuncak sesi Hujung Minggu Roh  Kudus adalah di mana setiap peserta  saling mendoakan antara satu sama lain  untuk karunia Roh Kudus serta penyembuhan melalui Roh Kudus. Tidak kurang juga, banyak kesaksian-kesaksian yang  dikongsikan pada minggu tersebut, serta  minggu-minggu seterusnya.

Sesungguhnya, ianya suatu pengalaman yang luar biasa! Iman diperbaharui, persahabatan terjalin, persaudaraan  dieratkan — semuanya berlaku tanpa  mengira paroki, lokasi mahupun negeri. Rata-rata, setiap peserta mengakui  bagaimana PAMACCOL berjaya merapatkan jurang perhubungan yang terpisah disebabkan pandemik COVID-19. 

Semua ini merupakan buah-buah ALPHA yang dialami oleh setiap peserta.  — Tim Penganjur, ALPHA-Formed Net

Membangun relasi akrab dengan Tuhan

Berikut merupakan perkongsian peserta PAMACCOL:

“Saya mempunyai beban yang saya simpan  dalam diri saya sepanjang saya melakukan  sesuatu keputusan, sesi Alpha telah membuatkan hati saya yang keras dan penuh kemarahan  dipecahkan, lebih-lebih lagi pada minggu Roh Kudus. 

Saya dapat bersukacita semula setelah mendapat kebangkitan-Nya dalam diri saya. Kedamaian yang saya inginkan. Walaupun masih  ada cubaan tetapi saya dapat mengubah hidup saya dan membuat keputusan untuk berdamai  dengan diri saya dan melepaskan segala yang  terbelenggu dalam batin saya.

Saya menangis ketika Minggu Roh Kudus  (perkongsian dalam kumpulan) kerana saya  merasakan pertobatan saya diterima Tuhan  dan saya layak untuk mendapat kedamaian dan pengampunan meskipun saya manusia yang berdosa, dan Tuhan sangat mencintai saya  tiada henti. Amen.” — Jessica

Sungguh menakjubkan apabila saya dapat  merasakan kehadiran Roh Kudus saat hujung minggu Roh Kudus walaupun menggunakan ZOOM. Puji Tuhan! — Stephani

Saya berasa sangat gembira kerana dapat berkongsi maklumat tentang kerohanian bersama peserta yang lain dan dapat mengetahui pelbagai maklumat baru daripada peserta yang lain. — Leonard

Roh Kudus sungguh dirasai, hadir dan bekerja di kalangan ahli kumpulan saya. Tersentuh dengan kehadiran Tuhan, amat bersyukur dengan berkat Tuhan walaupun program online,  urapan Roh Kudus betul-betul ada mengalir dalam diri, tersentuh dengan kesaksian ahli  yang lain. Kalau boleh mahu sesi dipanjangkan.  — Joanna

Ya, saya sangat merasakannya. Bukan saja komuniti malah sebagai keluarga yang besar dan mempunyai hubungan persaudaraan yang  dekat dan erat. — Benjamin

Ya, saya dapat merasakan menjadi sebahagian daripada komuniti besar. Saya menemui  ramai sahabat baru di sini. Saya bersyukur kerana sesi ini diadakan secara maya sekarang. —Josualee

Total Comments:0

Name
Email
Comments