Bukan sekadar roti biasa ... inilah Roti yang membawa kehidupan

Merungut atau mengomel bukan hanya buruk sangka terhadap seseorang atau menolak pendapat orang lain.

Aug 12, 2018

HARI MINGGU BIASA
KE-19 TAHUN B
1 RAJA 19:4-8;
EFESUS 4:30 – 5:2;
INJIL YOHANES 6:41-51

Merungut atau mengomel bukan hanya buruk sangka terhadap seseorang atau menolak pendapat orang lain. Pada amnya, ia boleh berakibat buruk terhadap hati manusia itu sendiri serta komuniti di mana dia berada. Misalnya merungut terhadap kuasa dan kewujudan Tuhan serta menolak sabda-Nya.

Dengan kata lain orang yang suka merungut adalah orang yang berbahaya bukan hanya terhadap dirinya sendiri tetapi juga orang lain.

Dia boleh mempengaruhi dan melemahkan kehidupan komuniti serta menimbulkan ketidakpuasan terhadap sesamanya. Malah dia boleh menjadi batu sandungan pada orangorang yang lemah imannya sehingga akur terhadap pandangannya yang negatif itu.

Saya pernah bertemu dengan orang jenis ini. Suatu ketika dia merungut, “Saya sudah berpuluh-puluh tahun menghadiri Misa hari Minggu, Paskah dan Krismas tetapi hampir tidak ada satu pun sabda Tuhan dan khutbah yang saya dengar itu betulbetul saya ingat. Tubuh Yesus yang saya sambut pun saya rasa biasabiasa saja. Saya berpendapat bagus tidak ke gereja, merugikan saya dan merugikan pihak Gereja sahaja!”

Orang ini memang suka mengomel dan yang sedihnya persoalan pergi gereja dan menyambut Tubuh Yesus ini selalu keluar di mulutnya apabila ada kesempatan bersama dengan sahabat- sahabatnya yang seiman.

Namun ada seorang teman yang bersimpati dengannya berkata, “Saya pun sudah empat puluh tahun berkahwin dengan isteri saya, tetapi satu pun kata-kata omelannya serta makanan dan minuman yang diberikannya selama ini saya tidak ingat lagi. Hanya yang saya pasti bahawa jika isteri saya tidak selalu mengomel, sudah lama saya tersilap langkah. Begitu juga dengan makan dan minum, kalau isteri saya tidak memberikannya pada saya, pasti sudah lama saya mati.”

Pada zamannya Yesus, orang-orang Yahudi pun suka bersungut-sungut, lebih lagi apabila Yesus berkata: “Akulah roti yang turun dari syurga.” Mereka mempersoalkan kelayakan Yesus yang berani berkata demikian. “Perkataan ini keras, siapakah yang sanggup mendengarkannya?” demikian sungutan mereka (Yoh 6:60).

Yesus tahu jika hati dan minda mereka tertutup untuk menerima ajaran-Nya, atau sudah lali dengan apa pun yang dikatakan-Nya, sama seperti beberapa orang di antara kita, maka Roh Kudus tidak akan dapat membawa mereka kepada sabda-Nya.

Dalam hal ini Paulus memberi peringatan keras kepada mereka dan juga kita sekarang! "Janganlah kamu mendukacitakan Roh Kudus Tuhan, yang telah memateraikan kamu menjelang hari penyelamatan" (Ef 4:30). Jelaslah bersungut-sungut itu boleh mendukakan Roh Kudus sebab sikap demikian dapat menimbulkan, “Segala kepahitan, kegeraman, kemarahan, pertikaian, fitnah dan segala kejahatan” (Ef 4:31).

Perkara ini mengingatkan saya pada seorang kontraktor bangunan bercakap dengan gahnya pada pekerja bawahannya, “Jangan tanya apa yang saya cakap atau suruh kamu lakukan. Sebab selama ini saya tidak pernah silap. Walaupun dulu saya pernah buat kesilapan. Saya sangka saya silap melakukan sesuatu, tetapi ruparupanya apa yang saya buat itu betul semua.”

Dalam hidup perkahwinan pula, betapa banyak pasangan yang kita anggap sungguh ideal, sungguh padan, mengalami masalah hidup bersama — di luar nampak mesra tetapi di dalam hati bagaikan gunung merapi yang siap untuk menumpahkan laharnya.

Sebaliknya pasangan yang nampaknya tidak sepadan, mengalami hidup dengan penuh kegembiraan, aman dan damai. Lihatlah pula betapa banyak anak-anak yang dulunya dianggap "jahat" menjadi orang-orang yang berjaya dalam hidup, sementara teman-teman sekelasnya yang begitu berbakat, pintar dalam pelajaran tetapi tidak seberapa berjaya dalam hidup.

Sampai sekarang ini pun saya tidak menemukan jawapan yang tepat terhadap segala persoalan tersebut. Apakah ini ada kaitan dengan kebijaksanaan manusia dengan keangkuhan intelektual?

Atau mungkin terdapat suatu kebijaksanaan yang sukar ditangkap oleh minda manusia? Dalam kes Yesus dan orang-orang Yahudi yang bersungutsungut itu, Ekaristi merupakan isu yang hangat. Ia merupakan suatu pertembungan antara kebijaksanaan manusia dengan Tuhan. Manusia beranggapan roti itu hanyalah roti biasa. Namun Tuhan mengisytiharkan: “Roti yang Ku berikan itu ialah daging-Ku, yang akan Ku berikan untuk hidup dunia” (Yoh 6:51).

Dengan menyambut Tubuh dan Darah Yesus, membantu kita untuk bertumbuh menjadi anak-anak Tuhan yang dewasa. Kita menukar sikap anak-anak yang suka bersungutsungut dengan sikap, "Ramah seorang terhadap yang lain, penuh kasih mesra dan saling mengampuni" (Ef 4:32).

Apakah anda mempunyai masalah dan kekhuatiran tentang dunia, keluarga, masyarakat dan agama anda? Jangan bersandar pada kebijaksanaan sendiri sahaja. Bersandarlah pada Tuhan terutama dalam doa dan Ekaristi. -- JL

Total Comments:0

Name
Email
Comments