CSSUM anjur Hari Keluarga

Persatuan Mahasiswa Katolik Universiti Malaya (CSSUM), menganjurkan Hari Keluarga tahunan pada Mac 9 lalu di Dewan Perdana 1, Kompleks Perdanasiswa, Universiti Malaya.

Mar 28, 2024


PETALING JAYA:
Persatuan Mahasiswa Katolik Universiti Malaya (CSSUM), menganjurkan Hari Keluarga tahunan pada Mac 9 lalu di Dewan Perdana 1, Kompleks Perdanasiswa, Universiti Malaya.

Seramai 40 orang mahasiswa dari pelbagai bidang pengajian menghadiri majlis itu yang turut dihadiri oleh Prof Madya Dr Patricia Nore Riget, Fr Alberto Irenus SJ dari Gereja St Francis Xavier serta Prof Christopher Ng dan isteri.

Mahasiswa baharu CSSUM diberi peluang untuk menerajui Hari Keluarga ini di bawah bimbingan senior mereka.

Hari Keluarga adalah acara yang memupuk perpaduan di kalangan pelajar Katolik dan memperdalam hubungan mereka dengan Tuhan.

Acara dimulakan dengan doa pembukaan diikuti sesi ice breaking agar mahasiswa saling berkenalan dan mesra di antara satu dengan yang lain.

Semasa permainan ABC, Annette Rudy Balamun, Ketua Aktiviti, menyatakan kegembiraannya, “Sungguh mengharukan melihat semua mahasiswa bergembira dan bekerjasama dalam permainan yang bermatlamat memupuk persahabatan baharu di kalangan pelajar Katolik.”

Selain itu, para mahasiswa juga menyertai sesi pujian dan penyembahan di mana Roh Kudus memenuhi suasana.

Prof Madya Dr Patricia mengetuai sesi perkongsian rohani tentang kehidupan sehariannya semasa Pra-Paskah dan kepentingan meluangkan masa untuk Tuhan serta beramal.

Selain itu, senior CSSUM, Isaiah Disimond berkongsi pengalaman transformatifnya semasa berziarah di Korea Selatan, yang memberi kesan positif terhadap imannya sebagai pelajar Katolik.

Ramai hadirin memberikan maklum balas positif tentang Hari Keluarga. Thierry Harry, naib pengarah Hari Keluarga CSSUM, berkata, “Sebagai seseorang yang terlibat dalam pengurusan acara, majlis ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga memberi kesempatan kepada setiap ahli jawatankuasa melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sempurna.”

Lavannya Edmond, Ketua Jabatan Multimedia, mengatakan, “Kehidupan universiti boleh mencabar, terutamanya berjauhan dengan keluarga.

“Hari Keluarga ini mengingatkan kita bahawa, dalam Kristus, kita semua adalah saudara dan saudari, sentiasa ada untuk satu sama lain,” ujar Lavannya.

Hari Keluarga diakhiri dengan doa oleh Jocelyn Dania Macdonald, setiausaha CSSUM.

Total Comments:0

Name
Email
Comments