Devosi kita biarlah dilakukan dengan keluhuran hati

Pengalaman menulis renungan dan berkhutbah di depan umat bertahun-tahun lamanya memang meneguhkan iman saya sendiri dan sesama yang membaca dan mendengarkannya.

Aug 28, 2021

Hari Minggu Biasa Ke-22 (Tahun B )
ULANGAN 4, 1-2. 6B-8; YAKOBUS 1, 17-18. 21B-22. 27.
INJIL MARKUS 7, 1-8. 14-15. 21-23.

Pengalaman menulis renungan dan berkhutbah di depan umat bertahun-tahun lamanya memang meneguhkan iman saya sendiri dan sesama yang membaca dan mendengarkannya.

Tetapi tidak kurang juga ada segelintir umat merasa tergugat kedudukannya sehingga saya sering mendapat surat layang, telefon, e-mail atau ‘SMS’ dengan nada garang.

Namun yang paling menarik dan tidak akan pernah saya lupakan adalah komen sahabat saya sendiri, “Mulai hari ini kita putus hubungan persahabatan,” hanya kerana gara-gara renungan yang ada imbasan tentang kehidupannya yang memang tidak senonoh.

Betapa sering kita berhadapan dengan orang-orang yang merasa benar untuk marah terhadap Gereja dan ajaran-ajaran-Nya, dengan cara mencari kesalahankesalahan orang-orang tertentu terutama para pemimpin Gereja.

Di dalam Injil hari ini kita mendengar Yesus sentiasa mencabar orang-orang Farisi sebab perkataan dan tindakan mereka tidak konsisten.

Kali ini orang-orang Farisi membuat satu isu bahawa muridmurid Yesus makan tanpa mencuci tangan terlebih dahulu sesuai dengan adat istiadat orang-orang Farisi. Berasaskan isu ini, maka nampaknya orang-orang Farisi mendapat alasan untuk tidak mendengar cabaran Yesus itu.

Lalu Yesus ‘hilang’ kesabaranNya terhadap kedegilan mereka itu lalu memetik kata-kata nabi Yesaya, “Bangsa ini memuliakan Aku dengan bibirnya, pada hal hatinya jauh daripada-Ku, sedangkan ajaran yang mereka ajarkan ialah perintah manusia.”

Yesus seterus memperkatakan tentang kepentingan hati. Bahawa apa yang paling penting adalah bukan apa yang masuk ke dalam diri seseorang tetapi apa yang keluar daripadanya. Iaitu sikap dan tingkah lalu. Melalui sikap dan tingkah laku kita, dapat memperlihatkan apa yang tersirat di dalam diri kita. “Sebab dari dalam, dari hati orang, timbul segala fikiran jahat, pencabulan, pencurian, pembunuhan, zina, keserakahan, kejahatan, kelicikan, hawa nafsu, iri hati, hujat, kesombongan, kebebalan.” (Mrk 7:21-22).

Perbezaan yang sangat ketara di antara Yesus dan orang-orang Farisi itu adalah mereka yang melihat hal-hal lahiriah tetapi Yesus melihat hati, yang adalah merupakan sumber segala kejahatan. Orang-orang Farisi menumpukan aktiviti penyempurnaan hukum tetapi Yesus melihat pada kegiatan cinta kasih dan komitmen.

Orang-orang Farisi melihat pada ayat-ayat hukum tetapi Yesus melihat dari segi semangatnya.

Segala peraturan dan adat kebiasaan adalah baik. Tetapi jika ianya dilaksanakan dengan semangat yang salah, ia dapat meruntuhkan manusia itu sendiri.

Inilah sebabnya mengapa Yesus menegur orang-orang Farisi apabila mereka sengaja mencari-cari kesalahan murid-murid-Nya yang makan tanpa mencuci tangan.

Sebenarnya Yesus tidak menolak adat mencuci tangan itu tetapi sikap orang-orang Farisi yang suka menunjuk-nunjuk bahawa mereka itu orang suci hanya dengan mengikuti adat-adat tapi tidak menghayatinya di dalam hati.

Mungkin kita sendiri harus mengakui bahawa ada kalanya kita juga berlagak seperti orang-orang Farisi tersebut. Kita sangka bahawa kita adalah umat Kristian yang terpuji apabila kita rajin ke gereja hari minggu, menyambut Tubuh Kristus, memakai salib atau ‘medal’, ‘skapular’ dan rosari.

Bentuk-bentuk devosi seperti ini memang baik, namun ada bahayanya juga sebab boleh membawa kita hanya melaksanakan kewajiban agama secara luaran belaka.

Setiap minggu hampir semua umat yang hadir dalam Ekaristi, menyambut tubuh Kristus, perkara ini sungguh membanggakan. Tetapi jika kita tidak berusaha untuk mengasihi sesama kita di luar sana, bertolak ansur, murah hati dan menegakkan keadilan, maka jadilah kita orang-orang Farisi yang moden.

Amalan-amalan suci bersifat luaran tidak menjamin kita menjadi alim. Tuhan menghendaki kesucian yang tidak hanya melibatkan doa sahaja tetapi perlu dilengkapi dengan sikap dan tindakan, bukan manis di bibir mulut sahaja tetapi hati yang tulus ikhlas. Jika salah satu kurang, maka hipokritlah kita. Sebab menurut Oliver Wendell Holmes, “Apa yang terletak di belakang kita dan apa yang terletak di depan kita adalah persoalan kecil dibandingkan dengan apa yang terletak di dalam kita,” iaitu hati nurani dan fikiran kita. — santapan rohani

Total Comments:0

Name
Email
Comments