Di mana ku dapat cari wajah-Mu ya Tuhan?

Pasangan yang baru berkahwin biasanya berbahagia. Tetapi setelah beberapa tahun, apa lagi jika sudah beranak pinak, suasana tidak sehangat seperti semula.

Aug 24, 2018

HARI MINGGU BIASA
KE-21 TAHUN B
YOSUA. 24:1-2.15-18;
EFESUS. 5:21-32;
INJIL YOHANES. 6:60-69

Pasangan yang baru berkahwin biasanya berbahagia. Tetapi setelah beberapa tahun, apa lagi jika sudah beranak pinak, suasana tidak sehangat seperti semula.

Mungkin sudah ada yang kurang, kewangan tidak cukup, tuntutan hidup terlalu membebankan, ada rasa cemburu dan curiga terhadap pasangan. Menghadapi keadaan ini maka kesetiaan yang dilafazkan pada saat perkahwinan dulu tercabar. Apakah betul mahu setia dalam baik dalam suka mahupun duka?

Ketika orang ramai mendengar Yesus mengajar, melihat Yesus menyembuhkan orang sakit dan lebih-lebih lagi apabila mereka mengetahui Yesus membuat mukjizat memperbanyakkan roti sehingga mereka kenyang, mereka ingin tetap bersama Yesus dan mahu agar Yesus menjadi raja mereka.

Tetapi apabila Yesus berkata, “Sesiapa yang makan daging-Ku, ia mempunyai hidup yang kekal dan Aku akan membangkitkannya pada akhir zaman” (Yoh 6:54), iman mereka mulai diuji. Ramai murid Yesus berkata, “Perkataan ini keras, siapakah yang sanggup mendengarkannya?” Sejak itu ramai pengikut-pengikut Yesus mengundurkan diri dan tidak menyertai- Nya lagi.

Apakah kita tidak sama dengan sikap pengikut-pengikut Yesus sewaktu kita mengalami keraguraguan yang hampir serupa itu? Mungkin secara tidak disedari tetapi apabila mendengar kata-kata yang “pedas” bukankah kita cepat bersungut-sungut malah sampai ke tahap membelakangi Yesus pula?

Memang tidak ada orang yang suka kesilapan atau dosanya disebut- sebut orang walaupun bukan ditujukan kepadanya.

Pernah suatu ketika semasa seminar hidup baru diadakan, ada seorang pengkhutbah berkhutbah dengan penuh semangat. “Jangan membunuh!” katanya dengan mata yang terbeliak sambil melakukan aksi mengerat leher.

Salah seorang peserta yang begitu bersemangat berseru, “Amin!” “Jangan mencuri!” kata pengkhutbah itu dengan nada yang lebih tinggi. “Amin, Amin!” kata orang itu lagi seakan-akan menjerit mengimbangi seruan pengkhutbah tersebut.

Setelah hening beberapa ketika sambil menarik nafas lalu sang pengkhutbah berseru dengan dahsyat, “Jangan mengingini isteri orang lain!”

Suasana menjadi senyap. Senyap sesenyapnya. Lalu kedengaran orang tadi mengomel, “Huss … ini bukan khutbah, ini jaga tepi kain orang sudah ini!”

Nampaknya mudah bagi kita untuk menerima ajaran Yesus, ajaran Gereja sejauh ia tidak ada kena mengena dengan peribadi kita. Tetapi sekali kita kena, pasti respons kita mungkin sama dengan orang yang berkata tadi, “Huss … ini bukan khutbah, ini jaga tepi kain orang ini!”

“Jangan mencuri, jangan membunuh, jangan berzina, jangan menyembah berhala!" Mungkin nasihat ini mudah kita terima sebab kebanyakan kita tidak terlibat di dalamnya. Tetapi, "Kasihilah sesama mu dan doakan mereka yang menyeksa kamu?" Wah, nasihat ini sukar ditelan, sukar dilakukan.

“Ampunilah musuhmu bukan hanya tujuh kali tapi tujuh puluh kali tujuh kali! Aduh!” Kita mula mengeluh, “Bagaimana saya mengampuni suami/isteri saya yang tidak setia? Kawan yang telah menipu saya? Teman sepejabat yang sentiasa memburuk-burukkan nama saya?

Lalu ada lagi ajaran Yesus: "Sesiapa yang terdahulu hendaknya dia terakhir dan menjadi hamba bagi semua orang." Tetapi berapa orang saja kakitangan awam kita yang sungguh mengamalkan nasihat Yesus ini?

Yesus pernah juga berkata: "Jikalau engkau hendak sempurna, pergilah, juallah segala milikmu dan berikanlah itu kepada orangorang miskin, maka engkau akan beroleh harta di syurga … ikutilah Aku.” (Mat 19:21). Bukankah dengan kata-kata ini orang muda yang kaya itu pergi meninggalkan Yesus dengan sedih?

Bagi seorang ibu yang ditinggalkan oleh suami yang tidak bertanggung jawab, bagi seorang wanita muda yang mendapati dirinya hamil tanpa suami, para pegawai yang dipercayai untuk menyimpan wang puluhan ribu ringgit, ajaran Gereja tentang perceraian, pengguguran janin atau kejujuran boleh menjadi “sangat keras, siapakah yang sanggup mendengarkannya dan menerimanya dengan hati yang terbuka?”

Sewaktu-waktu kita digoda untuk mengambil jalan tengah yang lebih mudah dan praktikal. Namun dengan iman yang teguh, godaangodaan untuk berbuat sesuatu yang tidak baik itu seharusnya dapat kita atasi.

Dalam hidup setiap kita memang sering mengalami persoalan yang ada kaitan dengan iman. Apabila kita mengalami pertentangan antara iman dengan hidup sehari-hari, kadang-kadang kita digoda untuk melupakan Tuhan, mahu meninggalkan agama.

Lalu muncul suara-suara mengatakan, "Apa guna beragama.Hanya membatasi kehidupan dari dipenuhi dengan pantang larang. Tidak ada kebebasan." Bagi kita yang mempunyai persoalan ini, Yesus mahu bertanya pada kita juga: "Apakah engkau juga mahu pergi dari-Ku?"

Berbahagialah jika kita dapat menjawab dengan penuh keyakinan, "Tuhan kepada siapakah kami pergi? Perkataan-Mu adalah perkataan hidup yang kekal; dan kami telah percaya dan tahu, bahawa Engkau adalah yang kudus daripada Tuhan?" — JL

Total Comments:0

Name
Email
Comments