Dipanggil untuk menyemai benih harapan

“Hidup kita lebih gembira apabila kita mengetahui siapa diri kita, apakah anugerah kita, di mana kita boleh mengongsikannya dan jalan mana yang perlu kita ikuti demi menjadi tanda dan instrumen cinta, kemurahan hati, keindahan dan damai, di mana sahaja.”

Mar 28, 2024

Bapa Suci menyeru kaum muda agar berani meneroka panggilan Tuhan. Gambar: Media Vatikan.


VATIKAN: “Hidup kita lebih gembira apabila kita mengetahui siapa diri kita, apakah anugerah kita, di mana kita boleh mengongsikannya dan jalan mana yang perlu kita ikuti demi menjadi tanda dan instrumen cinta, kemurahan hati, keindahan dan damai, di mana sahaja.”

Demikian pesan ringkas sempena Hari Doa Panggilan Sedunia ke-61 yang dirayakan oleh Gereja pada April 21, 2024.
Pesan itu dikeluarkan pada hari Mac 19 dengan tema, “Dipanggil untuk menyemai benih harapan dan untuk membina keamanan.”

Bapa Suci menyatakan bahawa semua orang Kristian dipanggil untuk mengalu-alukan panggilan Tuhan untuk melayani Dia di dunia, sama ada melalui kehidupan tertahbis, imamat, berkahwin bahkan sebagai seorang bujang.

Bersyukur harus menjadi ciri sambutan Hari Panggilan Sedunia, kerana kita memperingati ramai orang Kristian yang berbakti kepada Tuhan dalam semua bidang kehidupan.

Bapa Suci khususnya menjemput orang muda untuk memberi ruang kepada Tuhan, supaya mereka mendapat kebahagiaan dalam panggilan-Nya, yang sentiasa menghormati kebebasan kita.

“Biarkan Yesus menarik anda kepada-Nya,” kata Sri Paus. “Ajukan kepada-Nya soalan-soalan penting anda dengan membaca Injil; biarlah Dia mencabar kamu dengan kehadiran-Nya, yang sentiasa menimbulkan krisis yang sihat dalam diri kita.”

Sri Paus Fransiskus seterusnya mengajak orang Kristian untuk menjadi “penziarah harapan” semasa Gereja menuju ke Jubli 2025.

Di tengah-tengah pelbagai jenis karisma dan panggilan dalam Gereja, umat Tuhan dibimbing oleh Roh Kudus dan membentuk Tubuh Kristus sebagai ahli keluarga besar.

“Dalam pengertian ini, Hari Doa Sedunia untuk Panggilan mempunyai sifat sinodal: di tengah-tengah kepelbagaian karisma kita, kita dipanggil untuk mendengar satu sama lain dan untuk berjalan bersama-sama dan untuk meneliti ke mana Roh demi kebaikan bersama.”

Sri Paus juga menggesa semua orang untuk berdoa memohon panggilan kepaderian dan religius, agar Tuhan boleh “mengutus pekerja-pekerja ke ladang-Nya.” Pada akhir pesannya, Sri Paus mengajak umat Kristian untuk bangkit dan merangkul panggilan kita dengan membenarkan Roh Kudus membimbing kita. — media Vatikan

Total Comments:0

Name
Email
Comments