DOCAT bantu anak muda hargai keluarga

Satu aktiviti lawatan khas Komuniti Kristian Dasar (KKD/BEC) khasnya untuk golongan belia telah dijalankan di Paroki Tawau, barubaru ini.

Jul 13, 2018

HOLY TRINITY, Tawau : Satu aktiviti lawatan khas Komuniti Kristian Dasar (KKD/BEC) khasnya untuk golongan belia telah dijalankan di Paroki Tawau, barubaru ini.

Lawatan yang dicetuskan oleh Paderi Paroki Holy Trinity, Msgr Nicholas Ong bertujuan untuk mendekati golongan belia dan memperkenalkan mereka dengan dokumen Gereja iaitu DOCAT.

Pada Hari Belia Sedunia di Krakow, Poland pada akhir Julai 2016, Paus Fransiskus telah memperkenalkan “DOCAT: What to do?” iaitu sebuah buku dan aplikasi smartphone mengenai Ajaran Sosial Gereja (ASG) dengan bahasa khas kaum muda.

Seramai 61 orang belia telah menyertai KKD Belia kali ke-4 yang diadakan di Taman bersatu iaitu di rumah salah seorang belia, Sdra James Joseph Kumanireng pada 10 Jun, bermula dari 7.30 malam dan berakhir pada 10.00 malam. Lawatan ini turut disertai oleh Bro. Dafrin Diwol dan Sr.Julita Joseph, FSIC.

Belia dari tiga Komiti iaitu Tinimungan KadazanDusun Murut (TUKAD), Filipino Pastoral Community (FPC), dan Komuniti Pastoral Indonesia (KPI) turut serta dalam pertemuan ini. Penyertaan mereka memperlihatkan upaya mereka dalam menjelmakan visi keuskupan Sandakan iaitu “Komuniti Berpusatkan Kristus Melayani Sesama Dengan Kasih ”.

Dalam lawatan KKD Belia kali ini, Msgr Nicholas telah mengutarakan tema “Keluarga” yang dipetik dari buku DOCAT. Katekesis dan perkongsian beliau kali ini menjurus kepada topik perbincangan yang bernombor 112, 114, 115 dan 117.

Semasa menjelaskan, Msgr Nicholas menegaskan bahawa Tuhan mengkehendaki kita hidup bersama dalam keluarga. Dalam erti kata lain, manusia dicipta untuk saling berkomunikasi di dalam keluarga, begitu juga dengan para paderi dan para religius juga yang harus saling berkomunikasi antara umat dan keluarga dalam sesebuah komuniti.

Gereja melihat keluarga adalah komuniti pertama dan terpenting serta tempat kehidupan manusia terjadi dan perhubungan pertama peribadi berkembang. Jelaslah bahawa keluarga adalah dasar masyarakat dan sebuah intitusi Ilahi.

Di samping itu, Msgr Nicholas menghuraikan ciri-ciri keistimewaan sebuah keluarga iaitu : Dicintai tanpa syarat, generasi berlainan tinggal bersama dan mengalami kasih sayang, solidariti, memberi bantuan serta adil dan menghargai komited tanpa ada kepentingan diri. Dewasa ini perkara-perkara duniawi banyak mempengaruhi pemikiran dan tindakan manusia yang mencabar dan memusnahkan institusi keluarga.

Walaubagaimanapun, sebagai seorang individu dan belia di dalam sesebuah keluarga, ada kalanya kita mengalami masalah seperti ketidaksefahaman atau pergaduhan antara ahli keluarga. Apabila hal tersebut berlaku, kita seharusnya bersabar dan mencari punca sebenar masalah dan cuba untuk menyelesaikan masalah tersebut. Kita harus sentiasa berfikiran positif dan mengambil sikap hormat-menghormati.

Selepas perkongsian input dari Msgr Nicholas, sesi soal jawab diadakan dan beberapa orang belia mengutarakan soalan. Lawatan ini berakhir dengan doa permohonan dan disusuli dengan jamuan makan malam secara potluck. Jelas sekali lawatan Msgr Nicholas dalam program seumpama ini telah memberi ilmu pengetahuan yang mendalam serta dapat meneguhkan iman para belia sebagai Katolik. — Florian Nor Gabriel Nunang Belia turun ke KKD promosi DOCAT

Total Comments:0

Name
Email
Comments