Evangelisasi menghadirkan sukacita Yesus di tengah-tengah pandemik

Sekali lagi Pelayanan Bahasa Malaysia (BMA) Vikariat Melaka Keuskupan Melaka Johor telah menganjurkan kursus Sukacita Katekis sebagai sahutan kepada keperluan kerohanian dan pembangunan iman yang dinantikan para umat khususnya para katekis dan guru pembimbing.

Aug 28, 2021


MAJODI:
Sekali lagi Pelayanan Bahasa Malaysia (BMA) Vikariat Melaka Keuskupan Melaka Johor telah menganjurkan kursus Sukacita Katekis sebagai sahutan kepada keperluan kerohanian dan pembangunan iman yang dinantikan para umat khususnya para katekis dan guru pembimbing.

Seramai 230 orang peserta telah menyertai kursus yang diadakan selama empat kali iaitu pada 13,15,20 dan 22 Julai 2021 dengan penceramah undangan Fr. Moses Rayappan.

Dalam sesi pertama, Fr Moses memberikan pengenalan yang berkaitan dengan sejarah Katekatik dan juga istilah-istilah yang sering digunakan dalam Kateketikal.

Pada sesi kedua dengan mengambil tema “Sukacita dalam penderitaan”, Fr Moses mengajak para Katekis untuk tetap mahu bersukacita walau apa pun keadaan atau situasi yang melanda dunia, masyarakat, keluarga mahu pun dalam pelayanan dan pekerjaan.

Seperti teladan yang diberikan oleh rasul Paulus, yang tetap bersukacita meskipun di penjara untuk mewartakan Firman Tuhan

Sebagai kesyukuran bagi para peserta Kursus Sukacita Katekis, perayaan Ekaristi diadakan dalam talian sempena Perayaan Bonda Maria diangkat ke Syurga.

Pada akhir kursus, ramai memberikan perkongsian membina yang memberikan mereka inspirasi serta motivasi untuk keluar memberitakan Khabar Gembira Tuhan meskipun ‘terkurung’ semasa PKP.

Sr Theresa Petrus dari Mision Terengganu mengatakan beliau bersyukur kerana dapat menyertai Kursus Sukacita Katekis sebanyak empat kali.

Katanya, sesi disampaikan oleh Fr Moses, banyak mencabarnya sebagai seorang religius untuk melayani tanpa batas.

Sr Theresa juga tersentuh dalam salah satu sesi Fr Moses bahawa, pelayanan tidak sepatutnya dipegang seorang diri selama bertahun-tahun sebaliknya harus memberi peluarng kepada orang lain.

Semangat menginjil Sr Theresa juga disuntik apabila Fr Moses mencabar para peserta untuk berani memberi peluang bagi orang lain mencuba bakat mereka sebagai pelayan Tuhan, bukannya melantik orang yang sama sahaja pada setiap tahun, khususnya semasa perayaan-perayaan besar.

Markus DB Raphael dari Paroki St Theresa Kota Marudu Sabah mengatakan, “Intipati dalam kursus ini telah memberikan banyak berkat dan sukacita kepada saya secara peribadi. Semoga program seperti ini akan ada susulan dan lanjutan pada masa hadapan.”

“Kursus ini sungguh membantu saya dalam cara menangani situasi kini,” kata Esther Ping dari Gereja Christ The King Kulai, Johor

Tambahnya lagi, “Kehidupan Paulus memberi inspirasi kepada saya untuk terus bersukacita dan tidak berputus asa dalam pelayanan apabila mengalami situasi yang tidak menyenangkan dalam kehidupan. Keadaan sekarang bukan penghalang untuk saya mengungkapkan iman saya dalam perbuatan. Khabarkan sukacita Kristus dengan sukacita,” ujar Esther.

Seorang peserta dari Keningau mengatakan beliau banyak menimba pengalaman dan ilmu yang dipelajari melalui kursus tersebut.

Alice Bendict dari Katedral St Francis Xavier Keningau mengatakan sebelum memulakan kursus, para peserta terlebih dahulu diminta membaca dan membuat renungan secara peribadi tentang surat Rasul Paulus kepada jemaat di Filipi.

“Secara peribadi perkataan ‘Sukacita’ memberikan kesan mendalam terhadap peribadi saya. Saya merenung apakah selama ini saya mempunyai perasaan sukacita itu di dalam diri saya semasa melayani keluarga, rakan-rakan di tempat kerja dan orang-orang di sekeliling saya selama ini?”

Alice menambah, “Makna ‘sukacita’ ini diteguhkan lagi melalui penerangan daripada Fr Moses Rayappan. Apa yang diterangkan oleh Fr Moses menguatkan saya secara peribadi untuk kekal menjadi seorang pengikut Yesus yang sentiasa bersukacita dalam segala pelayanan yang saya lakukan baik sebagai seorang ibu, penjawat kerajaan mahu pun pelayan di gereja, sama ada dalam keadaan suka mahu pun duka,” ujar Alice.

“Saya tidak pernah merasa jemu mengikuti formasi atau kursus yang disampaikan oleh Fr Moses Rayappan. Fr Moses telah memberikan begitu banyak siri formasi dan kursus kepada umat berbahasa Malaysia di Keuskupan Melaka-Johor,” ucap Jonathan George dari Gereja St. Theresa Masai, Johor.

“Kursus "Sukacita Katekis” memberikan saya pandangan baharu dan segar. Kini, saya memahami pentingnya untuk setiap kita memiliki semangat kerasulan yang mendalam agar apa pun situasi, kita dapat menghadapinya dengan rasa syukur dan sukacita kerana tahu Tuhan sentiasa menyertai kita! “Dan saya berharap agar kerjasama dari Fr Moses dapat diteruskan agar para Katekis dapat mendalami iman melalui penghayatan Firman Tuhan,” kata Jonathan. — Tim Penganjur KSK 2021

Total Comments:0

Name
Email
Comments