Hari Malaysia ke-58: Harapan umat di tengah-tengah pandemik

Biarpun pada musim pandemik, semangat Merdeka/Hari Malaysia harus disemarakkan. Dengan tema “Malaysia Prihatin”, beberapa orang religius dan umat awam menyatakan pandangan mereka

Sep 11, 2021

Biarpun pada musim pandemik, semangat Merdeka/Hari Malaysia harus disemarakkan. Dengan tema “Malaysia Prihatin”, beberapa orang religius dan umat awam menyatakan pandangan mereka:

Sedari tanggungjawab kita sebagai umat pembawa damai
Syukur dan puji Tuhan atas berkat dan rahmat yang dicurahkan-Nya sehingga Tanah Melayu mencapai Hari Kemerdekaan 64 tahun lalu dan merayakan pembentukan Malaysia yang ke-58.

Ini merupakan tahun kedua perayaan-perayaan bersejarah ini dirayakan secara unik kerana dunia masih bergelut dengan Pandemik Covid- 19.

Meskipun sambutan bersejarah ini tidak dapat dijalankan secara normal, sebagai rakyat Malaysia, sekaligus umat Kristiani, kita bersama Gereja perlu mengambil peranan dalam mempertahankan semangat "Malaysia Prihatin" di tengah-tengah pandemik.

Apa yang boleh kita lakukan adalah mengadakan Misa khusus kesyukuran sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia serta mengangkat doa permohonan bagi kesejahteraan negara agar bebas dari segala bentuk penjajahan, baik fizikal, mental ataupun secara rohani. Mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda solidariti dengan para mangsa Covid-19 di rumah masingmasing amatlah digalakkan.

Partisipasi Gereja sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab kepada negara merupakan suatu bentuk pelayanan, seperti yang diteladankan oleh Yesus; “Berikanlah kepada Kaisar apa yang menjadi hak Kaisar, dan kepada Tuhan apa yang menjadi hak Tuhan” (Luk 20: 25). Semoga melalui Hari Kemerdekaan Malaysia ini, kita semakin menyedari erti kesatuan dan tanggungjawab dalam mempertahankan semangat kemerdekaan di tengah pandemik ini.

Merdeka! “We become what we love and who we love shapes what we become” – St. Clare of Assisi — Kongregasi Poor Clare, Keningau

Bantu para migran dapatkan vaksin
Mari kita mengungkapkan kesyukuran kepada Tuhan kerana masih berpeluang menyambut Hari Malaysia ke-58 meskipun dalam suasana 'suram' pandemik.

Selama 18 bulan pandemik, kerajaan telah memberi banyak bantuan pemulihan kepada rakyat tempatan. Sebagai warga Malaysia dan Katolik yang prihatin, marilah kita mengingati para migran yang mungkin terpinggir dan hidup menderita sepanjang kawalan pergerakan ini.

Kita perlu membantu para migran ini untuk mendapat vaksin secepat mungkin bagi mengekang penularan Covid-19.

Kini, terdapat banyak pusat yang menawarkan pemberian vaksin tanpa janji temu dan untuk para pendatang.

Tetapi masih migran yang tidak mengetahuinya. Oleh itu, bukalah hati kita untuk menyebarkan hal ini dan membantu mereka ke pusat-pusat pemberian vaksin tersebut. — Theresa Joseph, Papar, Sabah

Novena untuk Negara kita
Syukur kerana sekali lagi kita pada tahun ini kita akan bersama-sama menyambut Hari Malaysia ke-58 dalam masa beberapa hari ini.

Pandemik masih melanda maka perayaan bersejarah ini dirayakan dalam skala sederhana.

Bagi saya, tema Hari Malaysia ke-58, "Malaysia Prihatin" amat menarik tetapi pada masa yang sama, mencabar.

Bagaimana menjadi “Malaysia Prihatin” pada masa yang pandemik ini sedangkan pergerakan kita terbatas dan harus mematuhi pelbagai SOP yang ketat?

Pandemik bukan penghalang kita untuk menjadi warga dan umat Katolik yang prihatin. Berdoa atau melakukan Novena bagi keamanan negara dan mendoakan negara-negara yang sedang mengalami konflik merupakan antara yang dapat kita lakukan.

Atau mengibarkan bendera Sabah dan Jalur Gemilang sebagai tanda solidariti dengan mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19. — Constantine Olot, Pusat Pembentukan Pra-Seminari St Joseph, Keningau

Merdekakan diri dari sikap mementingkan diri sendiri
Perayaan Hari Malaysia pada tahun ini agak unik disebabkan oleh situasi perintah kawalan pergerakan akibat pandemik. Namun, tema yang dibawakan oleh Hari Malaysia amat menarik dan sesuai dengan kita, umat Katolik.

Meskipun kita dibelenggu oleh pandemik pada masa ini, jangan kalah semangat, kita teruskan semangat “Malaysia Prihatin” dengan memperhatikan sesama terutamanya mereka yang sangat terkesan akibat pandemik, mendoakan para pesakit Covid-19 dan para barisan hadapan serta berdoa rosari untuk negara dan para pemimpin.

Semoga kita dapat menjalani hidup dengan penuh iman, harapan dan kasih dalam Yesus Kristus, merdeka dari tekanan hidup, merdeka dari perasaan putus asa disebabkan oleh pandemik ini.

Percayalah Yesus sentiasa hadir dalam setiap perjalanan hidup kita ... pandemik akan berlalu, namun semangat “Malaysia prihatin” akan hilang jika kita tidak memerdekakan diri dari sikap mementingkan diri! — Sr Dariah Ajap FSIC, Keuskupan Agung Kota Kinabalu

Gerakkan “Malaysia Prihatin” di mana sahaja kita berada
Bersama dan berkumpul dengan yang lain seperti dahulu kala pasti menjadi kerinduan kita semua.

Persahabatan dan pergaulan dalam Kristus mengajar kita, apa itu ertinya cinta yang sebenar dan itu kita kongsikan sesama. Maka, meskipun kini kita terpisah dan terpaksa berjauhan, cinta kasih Kristus itulah yang terus mengikat jalinan kita sesama.

Semangat dan cinta inilah yang menyemarakkan lagi semangat “Malaysia Prihatin”, tema Hari Malaysia ke-58 tahun ini. Ke manapun kita, apapun situasi yang kita alami, ingatlah, kitalah bangsa yang merdeka dan bersemangat prihatin. — Alexander anak Demong, Sibu,Sarawak

Usah tuduh menuduh
Sebagai rakyat Malaysia, semoga kita menghindari ungkapanungkapan yang boleh memecah belahkan masyarakat atau prejudis.

Pandemik Covid-19 yang melanda kita dan menyebabkan banyak kesukaran dalam rutin harian kita, harus ditangani bersama, bukannya saling menyalahkan atau bersikap mementingkan diri sendiri.

Sempena Hari Malaysia ke-58, mari kita semarakkan semangat Malaysia prihatin. Kibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri kita masing-masing dengan semangat perpaduan.

Berdiri teguhlah oh Malaysiaku. Selamat hari jadi buat mu Malaysia. Semoga sentiasa diberkati dan dilindungi Tuhan Yesus Kristus. Amen. — Joanne Lau Yee Ting, Bintangor, Sarawak

Dengan sikap prihatin, Covid-19 mampu dikalahkan
Malaysia prihatin” merupakan tema Hari Kebangsaan ke-64 dan Hari Malaysia ke-58 pada tahun ini.

Pada zaman moden ini, kita tidak lagi berjuang untuk membebaskan negara dari penjajahan kuasa asing tetapi kita berjuang untuk memerangi pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak tahun 2019.

Pandemik Covid-19 telah menjejaskan kehidupan seharian rakyat dari segi ekonomi, sosial, sistem pendidikan dan sebagainya.

Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia yang Prihatin dan sayang akan negara kita Malaysia marilah kita bersama-sama berganding bahu memerangi pandemik Covid-19 tanpa mengira status sosial, kaum mahupun ideologi politik.

“Malaysia Prihatin” kita mampu memerangi Covid-19. Salam Kemerdekaan dan salam Hari Malaysia — Olivia Dimna Simon, Papar, Sabah

Empati dengan kesusahan orang lain dan kelestarian alam ciptaan Tuhan
Makan bersama, memuat turun profil gambar kita di media sosial dengan tema Hari Malaysia dan menyanyikan lagu-lagu patriotik — antara aktiviti yang dapat kita lakukan bersama keluarga pada Hari Malaysia.

Tema Hari Malaysia, “Malaysia Prihatin” menggamit kita untuk merenung kehidupan kita lebihlebih lagi pada musim pandemik ini. Adakah pandemik telah memudarkan semangat prihatin kerana kemurungan dan kesuraman rutin kehidupan akibat kawalan pergerakan?

Inilah masanya untuk kita sebagai “Malaysia prihatin”, menjaga alam ciptaan Tuhan.

Pada awal PKP, ramai yang berkebun malah tular di media-media sosial khususnya di kalangan wanita tentang 'bunga keladi'. Usaha ini sangat baik untuk diteruskan. Diharapkan juga, umat Katolik segera menyedari tentang perubahan iklim yang semakin kritikal.

Kita mungkin masih ‘selamat’ tetapi bagaimana nasib anak cucu dan generasi akan datang? Jika kita tidak prihatin mulai sekarang, tidak mengubah sikap, anak cucu dan generasi yang akan datanglah yang menghadapi padahnya. — Florence Liangkim, St Patrick Kinuta, Papar, Sabah

Total Comments:0

Name
Email
Comments