Henti guna Lubnan, Timur Tengah untuk keuntungan luar

Semasa memimpin upacara khusus berdoa untuk Lebanon pada 1 Julai, Sri Paus Fransiskus mengatakan bahawa negara itu harus tidak lagi digunakan untuk melayani “kepentingan yang tidak bertanggungjawab.”

Jul 03, 2021

VATIKAN: Semasa memimpin upacara khusus berdoa untuk Lebanon pada 1 Julai, Sri Paus Fransiskus mengatakan bahawa negara itu harus tidak lagi digunakan untuk melayani “kepentingan yang tidak bertanggungjawab.”

“Berhenti menggunakan Lubnan dan Timur Tengah untuk kepentingan dan keuntungan pihak luar,” kata Sri Paus. “Rakyat Lubnan harus diberi kesempatan untuk menjadi arkitek masa depan yang lebih baik di tanah kelahiran mereka sendiri, tanpa campur tangan yang tidak semestinya.”

Pemimpin Katolik dan Ortodoks dari Lubnan meluangkan masa sehari di Vatikan dalam perbincangan tertutup meja bulat mengenai masa depan negara mereka, yang sedang menghadapi krisis ekonomi yang teruk.

Perwakilan dari komuniti Maronite, Melkite, Ortodoks Yunani, Ortodoks Syria, Ordodan Syria, Chaldean, Katolik Syria, dan komuniti evangelikal Lubnan datang ke Vatikan untuk berdoa.

Acara itu dimulakan dengan berdoa sejenak di hadapan mezbah tinggi di Basilika Santo Petrus, di hadapan Sri Paus dan para Patriak meletakkan lilin menyala di kapel crypt di makam Sto Petrus.

Ini diakhiri dengan doa perdamaian bersama anggota komuniti diaspora Lubnan yang berkumpul di basilika Katolik terbesar di dunia, bersama-sama dengan Sri Paus dan para Patriak, dengan doa-doa permohonan dalam bahasa Arab, Armenia, dan Syria.

Koir yang terdiri daripada pelajar-pelajar dari Lubnan yang belajar di Rom, melantunkan kidung pujian dari kitab mazmur di antara setiap doa.

Pada akhir doa, Sri Paus Fransiskus mendesak harapan dan masa depan kedamaian bagi negara yang sedang mengalami krisis tersebut.

“Kita berhimpun hari ini untuk berdoa dan merenungkan, didorong oleh keprihatinan mendalam kita terhadap Lubnan - sebuah negara yang sangat dekat di hati saya dan yang ingin saya kunjungi - sedang terjerumus dalam krisis serius, seperti yang kita dapat lihat pada ketika ini,” kata Sri Paus.

Bank Dunia telah menggambarkan keadaan kewangan semasa di Lubnan sebagai antara “episod krisis paling teruk di seluruh dunia sejak pertengahan abad ke-19.”

Dianggarkan KDNK sebenar Lubnan menguncup lebih daripada 20% pada tahun 2020, dengan inflasi yang meningkat, pengangguran yang tinggi, dan lebih daripada separuh penduduk di situ di bawah garis kemiskinan nasional.

Para pemimpin Lubnan gagal mentadbir kerajaan untuk melaksanakan reformasi selepas letupan dahsyat di pelabuhan Beirut pada 4 Ogos. Letupan itu mengorbankan hampir 200 orang, mencederakan 600 yang lain, dan menyebabkan kerosakan lebih dari $ 4 bilion. — CNA

Total Comments:0

Name
Email
Comments