Iman membolehkan kita meraih yang terbaik!

Dalam Injil hari ini, Yesus mengajak kita untuk menjadi hamba yang setia, yang selalu merasa belum berbuat apaapa atau tidak menyumbang apaapa.

Sep 30, 2016

HARI MINGGU BIASA 27
TAHUN C
HABAKKUK 1:2-3; 2:2-4
2 TIMOTIUS 1:6-8, 13-14
INJIL: LUKAS 17:5-10

Dalam Injil hari ini, Yesus mengajak kita untuk menjadi hamba yang setia, yang selalu merasa belum berbuat apaapa atau tidak menyumbang apaapa.

“Kami ini hamba yang tak berguna, kami hanya melaksanakan tugas kami!”

Seorang hamba yang baik melaksanakan tugasnya dengan penuh tanggungjawab dan tidak mengharapkan gaji serta ucapan terima kasih.

Dia melaksanakan semua dengan cermat dan teliti meskipun tidak dipuji. Dia selalu merasa bahawa wajar melaksanakan tugasnya.

Kebesaran dan kebahagiaan yang sejati tidak terletak pada gaji atau hormat yang disampaikan tetapi pada rasa bahagia dan terima kasih kerana dia diperkenalkan untuk bekerjasama dengan Tuhan dan dapat mengabdi sesama manusia.

Kesedaran yang tinggi untuk melaksanakan kewajipan, boleh bekerja untuk tuannya, dapat menunjukkan pengabdian iman yang subur. Orang yang bekerja bersama Yesus semestinya bekerja dengan semangat itu.

Seorang hamba yang baik adalah seorang hamba yang selalu merasa bahawa dia adalah hamba yang tidak berguna.

Bukan kerana hanya pelayanan tidak berguna, tetapi kerana apa yang diusahakan itu sedikit dibandingkan dengan kepercayaan yang telah dilimpahkan oleh tuan itu kepada hambanya.

Anugerah Tuhan jauh lebih banyak daripada yang boleh dikembangkan oleh manusia. Maka sudah semestinya manusia tidak menyombongkan diri kerana hasilnya, melainkan terus mengembangkan kepercayaan itu sesubur dan sebaik mungkin.

Dengan menggunakan perumpamaan seorang hamba yang mengerjakan suatu pekerjaan, penginjil ini menyajikan suatu pedoman dasar bagi pemimpin umat dalam bentuk pengajaran.

Hal itu dijadikan sebuah pedoman untuk umat, lebih-lebih untuk para pemimpin mereka.

Seseorang yang mendapatkan suatu martabat yang penting dalam umat Kristian, tidak boleh menyombongkan diri. Setiap martabat dalam umat adalah pengabdian.

Seorang pemimpin diingatkan agar menaruh kepercayaan mutlak pada kekuatan Ilahi dan terutama pada suatu cinta kasih Tuhan.

Iman betapa pun lemah, boleh membuat suatu yang mengagumkan atau membanggakan mengatasi perhitungan manusiawi yang rumit dan terbatas. Iman tanpa mengharapkan pembalasan mengarahkan orang tertumpu sepenuhnya kepada kekuatan Tuhan dan bukan kepada kekuatan diri sendiri.

Seorang Kristian yang baik, tidak bekerja kerana perhitungan-perhitungan. Kita yang diselamatkan oleh Tuhan tidak boleh membuat perhitungan di hadapan Tuhan.

Sesiapa di hadapan Tuhan, masih suka menuntut gaji dan balasan serta menagih “wang jasa” dia belum tahu tentang rahmat dan kasih Tuhan.

Di dalam Injil juga, para murid memohon pada Yesus: “Tambahkanlah iman kami!” Nampaknya para murid yang diutus Yesus untuk mewartakan khabar gembira begitu tertekan akan tugas mereka ini. Yesus menjawab “Jika kamu mempunyai iman sebesar biji sesawi sahaja kamu dapat berkata kepada pohon ara ini: Terbantutlah engkau dan tertanamlah di dalam laut, dan ia akan taat kepadamu.”

Ini bukan bererti bahawa iman boleh memindahkan pohon tersebut. Tetapi iman memberi kita kekuatan untuk mengatasi segala kesulitan demi meraih sesuatu yang terbaik untuk Tuhan.

Tetapi jangan lupa, iman dan kesetiaan pada Tuhan pun belum cukup jika kita tidak mahu bekerjasama dengan Tuhan untuk mengubah segala sesuatu.

Mungkin kita bertanya pada Tuhan “Tuhan, mengapa terjadi kemiskinan di tempat kami?” Tetapi jangan lupa, Tuhan pun akan bertanya demikian juga “Mengapa kamu tidak melakukan sesuatu untuk mengatasinya?”

Iman adalah kurniaan Tuhan yang ditawarkan kepada kita. Iman itu adalah jawaban atau tindak balas kesetiaan kita terhadap Tuhan. Sebab Tuhan lebih dahulu mendekati kita dan kitalah yang bebas untuk memberi respon.

Pendek kata kita perlu bekerjasama dengan Tuhan. Sebab kita perlu berusaha tetapi Tuhanlah yang menentukannya.

Akhirnya setelah kita melakukan segala sesuatu yang terbaik hendaknya kita serahkan pada Tuhan dengan mengamalkan nasihat Yesus untuk berkata: “Kami adalah hamba-hamba yang tidak berguna, kami hanya melakukan apa yang harus kami lakukan” (Luk 17:10b)--IJN

Total Comments:0

Name
Email
Comments