Indahnya perkahwinan: Cintai pasangan dan beranaklah!

Pada bulan Mac lalu, Msgr Nicholas Ong telah memuat turun video mengenai perkahwinan di laman sosial Facebook beliau.

Jun 12, 2021

TAWAU: Pada bulan Mac lalu, Msgr Nicholas Ong telah memuat  turun video mengenai perkahwinan  di laman sosial Facebook beliau. 

Sempena bulan Jun, Intensi  Sri Paus Fransiskus “Keindahan  Perkahwinan”. Video Msgr Nicholas Ong tentang “Perkahwinan dan  Prokreasi (Beranak)” kembali viral  kerana ia menegaskan kembali peranan keluarga dalam meneruskan  agama Kristian, tentang bahaya  kadar kelahiran rendah dan sebagainya. 

Msgr Ong mengatakan dua peranan penting dalam perkahwinan  ialah cinta dan beranak! 

“Untuk memahami apa itu cinta,  lihatlah Salib Yesus. Hayati dan  fahami bagaimana Tuhan mencintai kita sungguhpun manusia tidak  mencintai-Nya. Melalui salib-Nya, Tuhan menunjukkan ketaatan-Nya  meskipun manusia tidak taat kepada-Nya kerana Dia adalah Kasih  dan Dia mahu menyelamatkan kita  semua.

“Suami dan isteri harus sentiasa  mencintai. Tetapi jika suami atau  isteri tidak mencintai pasangannya, salah seorang mereka harus  mencintai sehingga pasangannya  kembali taat dan mencintai kerana  ini adalah penyelamatan. Cinta dan  ketaatan dalam perkahwinan bukan sahaja melahirkan kebahagiaan  tetapi membawa ke syurga.

“Tujuan perkahwinan yang kedua  ialah prokreasi atau beranak! Kita  dicipta oleh Tuhan mengikut imejNya. Tetapi hari ini sedih betul, kita  seperti dicipta mengikut wajah iblis.  Setiap hari, kira-kira 125,000 pengguguran berlaku. Ini menunjukkan  kejahatan manusia yang membunuh  manusia.”

Mgsr Nicholas menekankan  pasangan harus melahirkan anak  sekurang-kurangnya tiga hingga  lima orang. Namun menyedihkan,  pasangan moden tidak mahu anak  ataupun menolak untuk mempunyai  ramai anak. Di Eropah, Australia, Canada dan Korea Selatan kadar  kelahiran amat rendah. “Sedih, kadar kelahiran sangat kurang. Nanti  lama kelamaan K-Pop pun pupus!”

Mengapa perlu anak ramai? Untuk menjawab soalan ini, Msgr  Nicholas mengimbas pengalamannya semasa melayani di Keuskupan Agung Kota Kinabalu. Uskup  Agung Emeritus John Lee mengeluh kerana paderi berbangsa cina  amat kurang di Sabah. Ini adalah  kerana ramai pasangan Cina hanya  mempunyai seorang atau dua orang  anak sahaja. 

Kadar kelahiran rendah juga  boleh menyebabkan kurangnya  penganut Katolik. Kini, amat jelas  di negara Barat, akar agama dan  tradisi Kristian mulai hilang kerana  amat kurang penganut Kristian.

Msgr Nicholas memetik petikan  dari Kejadian 1: 26-28, 31 bahawa  Tuhan mencipta manusia mengikut  imej-Nya maka kita harus mengikuti apa yang Tuhan telah lakukan. Apabila Tuhan mencipta mengikut  rupa-Nya maka Dia juga menyeru  kita untuk beranak ramai, kerana  beranak itu baik! 

Kemudian beliau memetik petikan dari Injil Matius 19:3-6 tentang penceraian, bahawa Sakramen  Perkahwinan tidak ada penceraian.  "Jika bercerai bagaimana kita dapat  mencintai, beranak dan hidup gembira?" 

Bagi Msgr Nicholas, orang yang  memelihara, taat dan mengikut perintah Tuhan dalam perkahwinan  adalah orang yang sangat berbahagia. 

Pada akhir videonya, Msgr Nicholas mengatakan, "pada musim  Covid-19 ini, kita diseru untuk tinggal di rumah. Maka, kita mempunyai banyak masa untuk bersama  keluarga, memupuk perasaan cinta  dan beranak! 

Total Comments:0

Name
Email
Comments