Jadi gila atau kudus?

Dalam puisi Serenade, seorang penyair Brazil, Adelia Prado berbicara tentang rasa sakit hati yang pedih kerana menunggu terlalu lama akan sesuatu atau seseorang datang agar kita berasa gembira semula.

Apr 19, 2024

Kehidupan ini ada simfoni yang tidak akan selesai dan keresahan itu hanya akan diam ketika kita kembali di pangkuan Tuhan — Fr Ron Rolheiser


Dalam puisi Serenade, seorang penyair Brazil, Adelia Prado berbicara tentang rasa sakit hati yang pedih kerana menunggu terlalu lama akan sesuatu atau seseorang datang agar kita berasa gembira semula.

Apa yang kita tunggu? Cinta? Teman sehati sejiwa? Tuhan? Tidak kira apa yang kita nantikan, kekecewaan dan rasa tidak sabar mendorong kita kepada dua pilihan: menjadi gila atau menjadi kudus.

Aku mulai resah
Dan aku hanya dapat melihat dua pilihan:
Sama ada jadi gila atau menjadi kudus.
Dan bila sesuatu atau seseorang yang
dituggu itu tiba:
Bagaimana aku dapat membukakan
tingkap, kecuali aku gila?
Bagaimana aku akan menutupnya, kecuali
aku kudus?

Sama ada menjadi gila atau menjadi kudus, semakin kita dewasa, semakin kita menyedari bahawa kita selalu didorong kepada dua pilihan itu: kedua-duanya bergantung kepada cara kita dibesarkan dan batasan kita masing-masing.

Mengapa? Adakah ada yang salah dengan hidup dan dengan jiwa kita? Mengapa kita tidak dapat mendamaikan — gila dan kudus?

Penulis dalam Kitab Pengkhotbah ada menawarkan penerangan. Penulis menulis teks yang indah dan sering dipetik atau dirujuk tentang bagaimana segala-galanya di dunia ini mempunyai masa tertentu: Ada untuk dilahirkan dan masa untuk mati; masa untuk menanam dan masa untuk menuai; masa untuk sakit dan masa untuk sembuh; masa untuk menangis dan masa ketawa; masa untuk berkabung dan masa untuk menari; masa untuk memeluk dan masa untuk menahan diri daripada memeluk; masa untuk berdiam diri dan masa untuk bercakap; masa untuk cinta dan masa untuk membenci; dan masa untuk perang dan masa untuk damai.

Tuhan telah meletakkan irama yang indah untuk kehidupan dan telah menjadikan segala-galanya indah pada masanya sendiri, tetapi Tuhan juga telah meletakkan “masa percubaan” dalam hati manusia yang tidak selari dengan musim dari awal hingga akhir (Pengkhotbah 3, 1-11).

Tuhan telah menetapkan irama yang indah kepada alam; tetapi kita tidak mempunyai irama yang sama seperti unsur fizikal, tumbuh-tumbuhan dan haiwan kerana.

Berbanding dengan binatang, kita adakalanya boleh tersasar dari ritma semulajadi. Kita mempunyai ‘beban’ lebih sedikit berbanding alam, tumbuh-tumbuhan dan haiwan.

Ungkapan-tungkapan ini ada ditulis dalam pelbagai kesusasteraan di kalangan agamawan dan sekular.

Sebagai contoh, ahli teologi Jerman terkenal, Karl Rahner pernah menegaskan bahawa dalam rasa terseksa kerana berasa tidak puas hati kerana tidak semua perkara yang diingini dapat dicapai, kita juga belajar menerima hakikat bahawa kehidupan ini ada simfoni yang tidak akan selesai.

Dalam hal itu, Rahner memetik tulisan terkenal Sto Augustine, 1700 tahun, “Engkau telah menjadikan kami untuk diri-Mu, Tuhan, dan hati kami resah. Dan hati ini hanya akan tenang sehingga ia berada dalam dakapan-Mu.”

Kata-kata Sto Augustine itu menyatakan kenyataan tegas bahawa ada simfoni dalam kehidupan yang tidak dapat diselesaikan dan tidak dapat dielakkan.

Ini adalah kerana, rumah abadi kita bukan di dunia ini. Itulah sebabnya, pada penghujung hari, kita tiada pilihan selain menjadi gila atau menjadi kudus.

Tidak menghairankan Ruth Burrows, seorang penulis rohani yang terkenal, memulakan autobiografinya dengan katakata ini: Saya dilahirkan ke dunia ini dengan kepekaan yang menyeksakan dan laluan saya tidak mudah.

Walaupun kenyataan seperti ini terdapat di mana-mana dalam kesusasteraan agama tetapi kita juga menemuinya dalam penulisan ramai penyair, novelis dan ahli falsafah sekular.

Sebagai contoh, selepas memenangi Hadiah Nobel untuk Kesusasteraan, Albert Camus, seorang yang mengaku ateis, pernah ditanya oleh seorang wartawan sama ada dia percaya kepada Tuhan.

Dia menjawab: Tidak, saya tidak percaya kepada Tuhan, tetapi itu tidak bermakna saya tidak taksub dengan persoalan Tuhan.

Kenapa dia mempunyai obsesi itu? Kerana dalam pemikirannya, dia tidak dapat memahami mahupun dapat mencari tempat yang bebas dari keresahan kecuali ada Tuhan. Tanpa Tuhan, manusia tidak dapat berdamai dengan dirinya sendiri.

Camus menyamakan keadaan itu umpama seorang banduan di penjara zaman pertengahan di mana mereka diletakkan di dalam sel yang sangat kecil sehingga dia tidak boleh berdiri tegak sepenuhnya atau meregangkan badan.

Perasaan sesak dan terbatas serta berterusan itu, dipercayai, akhirnya akan mematahkan semangat banduan.

Bagi Camus, itulah situasi hidup kita. Kita tidak boleh benar-benar berdiri atau tidak pernah dapat meregang sepenuhnya. Akhirnya, ini mematahkan semangat kita — yang menjadikan kita gila atau kudus. Itu juga pandangan asas eksistensialis ateistik lain seperti Martin Heidegger dan Jean-Paul Sartre.

Menjadi gila atau menjadi kudus! Richard Rohr menawarkan kita pilihan ketiga, menjadi pahit.

Dia berhujah bahawa apabila kita mencapai usia tertentu, kita hanya mempunyai tiga pilihan yang masih terbuka kepada kita: Kita boleh menjadi orang tua bodoh yang menyedihkan; atau kita boleh menjadi orang tua bodoh yang pahit; atau kita boleh menjadi orang bodoh tua yang kudus.

Perhatikan perkara yang tidak boleh dapat kita lari. Kita semua akhirnya akan menjadi bodoh tetapi kita mempunyai pilihan menjadi orang bodoh yang bagaimana — gila, pahit, atau kudus. — Hakcipta Terpelihara 1999-2024, Fr Ron Rolheiser

Total Comments:0

Name
Email
Comments