Jiwai ‘Malaysia Prihatin’

Pesan Hari Kemerdekaan ke-64 dan Hari Malaysia ke-58 para Uskup Katolik Semenanjung Malaysia

Aug 28, 2021

Membangun Negara bukan tanggungjawab golongan elit atau beberapa orang terpilih. Ia tanggungjawab semua warganegara Malaysia — Para Uskup Katolik Semenanjung Malaysia.


Saudara dan Saudari yang dikasihi,

Setiap tahun, pada 31 Ogos dan 16 September, kita merayakan hari kebangsaan kita dengan bersyukur kepada Tuhan atas kedamaian dan keharmonian yang kita nikmati dalam pelbagai cara walaupun terdapat cabaran dan rintangan. Tema kita sama seperti tahun lalu "Malaysia Prihatin" dan perayaan ini bukan hanya dengan cara yang sederhana, tetapi juga dibayangi oleh kegelapan krisis kesihatan, ekonomi dan politik yang membebani hati kebanyakan rakyat Malaysia.

Pandemik COVID-19 yang terus menular telah mempengaruhi kehidupan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira status ekonomi dan sosial, bangsa atau agama, muda atau tua. Kehidupan kita merosot dalam cara yang tidak pernah kita bayangkan — secara psikologi, emosi, dan rohani. Bukan sahaja kita bergelut mencari keseimbangan dalam masa putus asa ini, realiti kehilangan orang yang tersayang akibat pandemik telah menjadikan hidup lebih sukar ditanggung oleh ramai orang.

Pandemik ini juga memberi kesan yang besar terhadap ekonomi Malaysia. Perniagaan terpaksa ditutup, penurunan pendapatan dan kehilangan pekerjaan hanyalah beberapa contoh impak langsung dalam kehidupan warga biasa dan juga tenaga kerja migran.

Krisis politik yang bermula pada awal tahun 2020 nampaknya menyebabkan ketidakstabilan yang lebih besar pada negara apabila kerajaan bertukar dua kali sejak PRU14. Terdapat perasaan kecewa dan tidak berdaya di negara ini sekarang. Adalah menjadi harapan kita agar Perdana Menteri yang baharu dilantik, bersama menteri kabinet yang baharu dibentuk, akan memimpin kita keluar dari tiga krisis ini demi kebaikan semua.

Kami meminta Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk menghormati janji-janji yang diucapkan dalam ucapan perdananya kepada negara — untuk mengutamakan pemulihan Malaysia di semua bidang dengan integriti, kebertanggungjawaban dan ketelusan tanpa rasa takut dan pilih kasih. Kami berharap Perdana Menteri yang amat dihormati, agar memimpin rakyat Malaysia untuk menghargai kekayaan dan kepelbagaian budaya, agama, dan bangsa masing-masing.

Malaysia Prihatin mesti berdasarkan pada prinsip-prinsip Rukun Negara jika kita ingin membina sebuah masyarakat yang bersatu, saling menghormati, inklusif, dan lestari. Kami meminta semua pemimpin politik, pemerintah dan parti pembangkang di negara ini, untuk menyingkirkan semua perbezaan, cita-cita peribadi dan bekerjasama untuk membantu semua rakyat Malaysia membina kembali kehidupan yang sangat memerlukan bantuan. Kami juga menyeru agar semua rakyat Malaysia diberi vaksin agar kehidupan kita dapat pulih kembali dengan segera.

Kami mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih atas kemurahan hati, pengorbanan diri dan tekad yang ditunjukkan oleh ramai orang dalam masa yang paling sukar ini, dari petugas kesihatan, para barisan hadapan hinggalah kepada wira-wira 'di belakang tabir' seperti penghantar makanan, pengawal keselamatan, pencuci, pengutip sampah dan ramai lagi yang mengambil banyak risiko demi memastikan perkhidmatan asas terus berjalan.

Membangun sebuah negara bukan tanggungjawab golongan elit dan beberapa orang terpilih sahaja. Ia tanggungjawab semua warganegara Malaysia. Ketika kita harus meminta semua pemimpin yang kita pilih bertanggungjawab kepada jawatan yang dipertanggungjawab kepada mereka, kita juga harus berusaha untuk mempromosikan perpaduan dan keharmonian pada peringkat akar umbi.

Politik perpecahan harus tidak boleh menjadi naratif berulang kali kerana kita masing-masing mempunyai peluang untuk mempromosikan perpaduan dalam kehidupan seharian kita. Jangan sampai rasa tidak peduli, tidak mengambil berat akan keperluan orang lain, membuat kita lupa akan tanggungjawab dan tugas bersama kita sebagai warga negara.

Sekiranya kita tunduk pada godaan untuk bersikap tidak peduli dalam cara kehidupan kita maka kita adalah orang yang hanya mementingkan diri sendiri dan tidak sensitif.

Marilah kita mengambil nasihat Petrus kepada Gereja: “Layanilah seorang akan yang lain, sesuai dengan karunia yang telah diperoleh tiap-tiap orang sebagai pengurus yang baik dari kasih karunia Tuhan" (1 Pet 4:10).

Sesungguhnya, masa depan negara kita dan kesejahteraan semua warganya, terutama yang miskin, yang memerlukan dan mereka yang hidupnya menjadi miskin dan berubah secara drastik disebabkan oleh pandemik, bergantung pada komitmen kita masingmasing hari ini .

Bersama-sama, marilah kita berganding bahu untuk membangun, dengan pertolongan Tuhan dan di bawah bimbingan-Nya, masa depan yang lebih baik untuk Malaysia sambil kita terus menjadi Malaysia Prihatin.

SELAMAT MENYAMBUT HARI MERDEKA DAN HARI MALAYSIA!

Taat di dalam Kristus,

Total Comments:0

Name
Email
Comments