Kanak-kanak mahu bertumbuh dalam kasih Bapa

LSKK Paroki St. Peter Bundu diketuai oleh Sdra. Michael Kimsin telah berjaya merancang dan melaksanakan Kem Rohani Kanak-Kanak Paroki St Peter Bundu Kuala Penyu Kali Ke-12 yang menyasarkan kanakkanak berumur di antara sembilan hingga 12 tahun.

Sep 30, 2016

KUALA PENYU: LSKK Paroki St. Peter Bundu diketuai oleh Sdra. Michael Kimsin telah berjaya merancang dan melaksanakan Kem Rohani Kanak-Kanak Paroki St Peter Bundu Kuala Penyu Kali Ke-12 yang menyasarkan kanakkanak berumur di antara sembilan hingga 12 tahun.

Kem Rohani tersebut telah menghimpunkan 117 orang kanak-kanak yang datang dari Paroki St Peter Bundu, Paroki St. Patrick Membakut, Paroki St. Valentine Beaufort dan St. Yohanes Pembaptis Sipitang.

Pada hari pertama Kem, dalam sesi pertama iaitu para peserta bersama ibu bapa mengikuti Misa Kudus Pembukaan oleh Fr Harry Dorisoh yang bertema, “Bapa Pengasih.”

Dalam homilinya, Fr Harry menarik perhatian kanak-kanak dengan mengongsikan betapa kukuhnya cinta kasih Bapa seperti mana kukuhnya hubungan lima deria utama seorang manusia.

Katanya, sekiranya salah satu deria tidak berfungsi maka akan berlaku kegagalan kepada sistem badan kita. Justeru, setiap deria hendaknya berfungsi dan melaksanakan fungsinya dengan baik supaya tidak ada masalah yang timbul.

Begitu juga hubungan kita dengan Bapa, sekiranya ada kekurangan atau kecacatan akan mengakibatkan kita mengalami kerugian maka kita akan jauh daripada- Nya.

Fr. Harry mengongsikan sedikit kisah hidupnya sebelum menjadi Katolik sehinggalah beliau ditahbis menjadi Paderi. Beliau menyatakan bahawa semuanya itu bukan kebetulan, tetapi disebabkan sikap pengasih Bapa, yang melalui kuasa Roh Kudus- Nya telah memberinya kekuatan dan bimbingan sehinggalah terlaksana segalanya menurut kehendak Tuhan.

Selepas Misa Kudus, para peserta menikmati makan malam di Kantin Gereja seterusnya masuk ke Dewan Paroki bagi sesi lagu-lagu pujian dan suai kenal.

Malam hari pertama diahiri dengan doa Rosario dan tidur malam di khemah masing-masing yang dibina khas untuk mereka di dalam dewan.

Pada hari kedua, setelah para peserta menyiapkan diri dan bersarapan pagi, mereka dihimpunkan untuk mendengar sesi dua iaitu perkongsian daripada Fr Harry yang bertajuk “Mengasihi Seperti Bapa.” Manakala ibu bapa bersama Sdri. Ansilla dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu mengendalikan sesi “Bertumbuh Dalam Kasih Bapa” di dalam gereja.

Sdri. Ansilla juga memimpin sesi ketiga, “Buah-buah Kasih Dalam Keluarga ku" yang melibatkan para peserta bersama ibu bapa mereka.

Dalam sesi keempat, sesi “Perdamaian” diadakan upacara mencuci kaki. Para peserta mencuci kaki ibu bapa mereka dan ibu bapa juga melakukan hal yang sama untuk anak-anak mereka. Upacara ini amat memberi kesan mendalam di dalam hati para peserta dan ibubapa kerana melalui titisan air mata dan wajah terharu daripada para peserta dan ibu bapa sendiri.

Pada sebelah petang, setelah menikmati makanan tengah hari dan rehat terpimpin di dalam Gereja, para peserta dipecahkan kepada 12 kumpulan untuk berlatih dan membuat persembahan untuk Malam Kebudayaan. Mereka juga dilatih untuk koir Misa Kudus Hari Minggu pada keesokannya.

Semasa Malam kebudayaan, para peserta membuat pelbagai bentuk persembahan seperti lakonan, tarian dan nyanyian lagulagu medley puji-pujian.

Walaupun waktu latihan mereka sangat singkat tetapi mereka telah dapat membuat persembahan- persembahan yang sangat menghiburkan di hadapan ibu bapa dan tetamu pada malam tersebut.

Sebelum tidur, para peserta bersama ibubapa diberikan kejutan dengan menyaksikan persembahan bunga api di padang sekolah SK St. Peter Bundu dan menjamu selera dengan hidangan bubur kacang di Kantin Gereja. Pada hari ketiga kem, seawal jam 6.00 pagi para peserta telah membuat persiapan diri dan bersarapan, sebelum menyertai Misa Kudus.

Mereka teruja untuk mengambil tempat di hadapan sebagai anggota koir Misa Kudus yang dipimpin oleh Fr. Boniface Kimsin. Salah seorang daripada peserta seminar diberikan tanggungjawab sebagai pewarta sabda Tuhan.

Selepas Misa, Fr Boniface bergambar bersama para peserta kem dan AJK LSKK di hadapan Gereja. Para peserta seterusnya mengikuti sesi kelima yang bertajuk “Roh Kudus Urapi Aku” dan upacara mendoakan keluarga yang dikendalikan oleh Sdri Ansilla bersama Tim Doa Kelompok dari Gereja St Catherine Of Siena Menunggang.

Selesai sesi kelima, para peserta menikmati makan tengahari sebelum bergotong-royong dan menerima sijil penyertaan di dalam Dewan Paroki.

Sdra. Michael Kimsin selaku Pengerusi Tim LSKK Paroki yang sempat ditemui merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Rektor Paroki iaitu Fr. Boniface dan pembantunya iaitu Fr. Harry, kepada Pengerusi MPP dan AJK, Sisters, Sdri. Ansilla, para ibu bapa, AJK LSKK Paroki dan semua penyumbang dari segi kewangan, barangan dan doa.

Beliau berharap semoga pada masa hadapan, akan sentiasa ada sokongan dan bantuan daripada semua pihak supaya programprogram seumpamanya dapat dilaksanakan dengan lebih berjaya dan yang paling penting demi pembentukan dan keteguhan iman kanak-kanak kita agar terpelihara semenjak mereka kecil. Oleh itu, kerjasama semua pihak perlu berkekalan dan sepatutnya semakin padu dari masa ke semasa.--Marcus Angang

Total Comments:0

Name
Email
Comments