Katolik@Home bantu ibu bapa kendali kanak-kanak ‘stress’

Kesihatan mental dan kesejahteraan kanak-kanak menjadi perhatian lebih-lebih lagi pada masa pandemik ini kerana tahun-tahun pembentukan mereka terganggu, menyebabkan sebilangan mereka menderita kegelisahan dan kemurungan.

Jul 10, 2021

Masalah tingkah laku pada kanakkanak mungkin menandakan anak itu memerlukan perhatian dan perlu dibantu. Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Kesihatan mental dan kesejahteraan kanak-kanak menjadi perhatian lebih-lebih lagi pada masa pandemik ini kerana tahun-tahun pembentukan mereka terganggu, menyebabkan sebilangan mereka menderita kegelisahan dan kemurungan. Untuk mengetahui bagaimana ibu bapa dapat menolong anak mereka, podcast Katolik @ Home baru-baru ini menganjurkan sesi dengan dua orang panel bertauliah untuk membicarakan topik ini.

Salah seorang panel, Madeleine Yong yang merupakan ahli terapi dan pencipta bersama Power of Play mengatakan bahawa kanakkanak pada umumnya tidak memahami pandemik COVID-19. Power of Play adalah organisasi yang menawarkan sesi klinikal kepada individu dan kumpulan kanak-kanak. Jelasnya, “Ada sebilangan kanak-kanak menghadapi kerisauan seperti takut ibu bapa mereka dijangkiti virus dan meninggal dunia meninggalkan mereka sebagai anak yatim. Sebilangan kanak-kanak pula mengalami tekanan akibat tidak dapat menghadapi pembelajaran dalam talian. Semua tekanan ini boleh menyebabkan kemunculan masalah tingkah laku.”

Menurut Yong, penutupan sekolah, pengasingan, tidak mempunyai kawan dan kebosanan adalah beberapa sebab yang menyebabkan kanak-kanak bertindak. Dia berkata, “Ada dua perkara yang boleh berlaku — sama ada anak itu akan menjerit dan berteriak, atau berdiam diri. Seorang anak yang pendiam tidak semestinya bererti mereka taat. Sebaliknya, ia mungkin bermaksud bahawa anak itu murung dan sedih.”

Yong mengingatkan bahawa seorang kanak-kanak yang mempunyai masalah tingkah laku tidak boleh dianggap sebagai kuat melawan atau pemberontak, tetapi ia adalah tanda anak itu memerlukan perhatian dan perlu dibantu.

“Kita harus melupakan hukuman terhadap anak itu kerana ketika anak bertindak, misalnya memukul, menendang, berteriak, menyalahkan, menuntut, melawan atau melarikan diri, ini adalah perilaku yang tidak dapat diartikulasikan oleh anak itu.”

Untuk mengatasi situasi seperti itu, Yong menasihati ibu bapa untuk belajar mengatur, iaitu kemampuan untuk mengurus emosi dengan tenang atau belajar untuk bersantai. Katanya, ini dapat dilakukan dengan menarik nafas panjang, berdoa, mendengar muzik, renungan, hening, meditasi dan melalui gerakan (senaman).

“Apabila kita dapat mengurus emosi kita, anak-anak dapat meneladani kita dan kita dapat membantu anak-anak mengendalikan emosi mereka. Anak kemudian akan belajar dari ibu bapa mereka untuk menenangkan diri.”

“Ramai kanak-kanak berasa tidak selamat dan memerlukan seseorang untuk mendengarkan mereka. Melainkan anda tahu apa yang sedang dihadapi oleh anak anda, anda tidak akan dapat bertindak balas dari hati anda,” katanya.

Total Comments:0

Name
Email
Comments