Kaum muda berdoa ... “Semoga tidak ada perpecahan antara kita”

Pada 29 Julai 2018 yang lalu, Tim Kerasulan Belia Paroki atau PYA Sandakan, telah mengadakan satu rekoleksi di St John Paul II (Bilik Belia) sebagai salah satu persiapan rohani bagi tim penganjur Let's Unite Camp (LUC).

Aug 10, 2018

SANDAKAN: Pada 29 Julai 2018 yang lalu, Tim Kerasulan Belia Paroki atau PYA Sandakan, telah mengadakan satu rekoleksi di St John Paul II (Bilik Belia) sebagai salah satu persiapan rohani bagi tim penganjur Let's Unite Camp (LUC).

Rekoleksi ini telah disertai seramai 32 tim penganjur LUC yang terdiri daripada para belia St Mary, St Mark dan St Peter. Turut serta dalam rekoleksi ini adalah fasilitator rekoleksi, Sdri Anna Teresa.

LUC merupakan satu program belia Paroki Sandakan yang diadakan sekali dalam setahun. LUC telah ditukar nama dari Unite Camp kepada Let's Unite Camp dan akan diadakan pada 23-26 Ogos di St Mark Batu 12, Sandakan.

Tema bagi penganjuran LUC pada tahun ini dipetik dari 1 Korintus 1: 10 “Tetapi Aku menasihatkan kamu, saudara - saudara, demi nama Tuhan kita Yesus Kristus, supaya kamu seia sekata dan jangan ada perpecahan di antara kamu. tetapi sebaliknya supaya kamu erat bersatu dan sehati sefikir."

Tema ini merupakan sahutan belia paroki kepada Visi dan Misi Keuskupan Sandakan yang kini sedang diuar - uarkan di seluruh pelosok Keuskupan Sandakan.

Objektif penganjuran LUC adalah untuk menyatukan belia Paroki Sandakan dengan mendalami dan berkongsi iman serta mengenali Tuhan dengan lebih dekat melalui perantaraan Bonda Maria sebagai Santo Penaung Gereja.

Sebelum melayani, para belia yang akan menyertai program LUC ini, persiapan rohani diadakan terlebih dahulu agar apa sahaja yang dilakukan mereka adalah berpaksikan kepada Kristus dan sebagai cahaya Kristus kepada para peserta.

Perjalanan rekoleksi disampaikan seakan mirip program LUC yang akan diadakan nanti. Ia bermula dengan realiti komuniti, keluarga, diri sendiri, dan kemudiannya mengenali keperibadian Bonda Maria sehinggalah sesi Perjalanan ke Emaus yang menyentuh tentang panggilan.

Semoga dengan persiapan ini, para penganjur sentiasa yakin dan matang dalam iman untuk berjalan bersama para peserta LUC pada 23-26 Ogos nanti.

Dalam persiapan tersebut, para penganjur diberi penekanan bahawa merasakan serba sedikit perjalanan pelayanan bukan hanya apabila ada penganjuran dan masing - masing diberikan peranan maka itu dikatakan pelayanan.

Pelayanan tidak berhenti di situ malah perlu diteruskan setiap hari dan saat kepada setiap orang yang ditemui dan yang memerlukan. Harapan utama adalah para penganjur dapat menemui dan merasakan cintakasih Tuhan di dalam hati mereka kerana itulah dorongan yang diperlukan untuk memberi kasih kepada para peserta yang akan mengikuti LUC nanti.

Persahabatan yang terjalin juga lebih diperkuatkan dan ini juga menjadi inspirasi kepada sesama para penganjur untuk terus bersemangat dan berkomitmen dalam menjadikan LUC berjaya dan berbuah dengan baik. -- Fradely Brandon Amigo

Total Comments:0

Name
Email
Comments