Kaum muda kenali “Jodoh, Takdir dan Pilihan”

Kaum muda kenali “Jodoh, Takdir dan Pilihan”

Aug 03, 2018

LAHAD DATU: Program Parish Youth Gathering-11 (PYG11) telah dianjurkan oleh tim Kerasulan Belia Paroki (KBP) St. Dominic pada 8 Julai lalu.

PYG11 ini membawa tema Jodoh Vs. Pilihan dengan objektif agar para belia sedar dan memahami konsep ‘“Jodoh” dalam Katolik. Tema ini dipilih kerana realiti zaman sekarang terdapat ramai belia Katolik yang meninggalkan agama atas alasan “Jodoh.”

Berlangsung selama empat jam, program ini telah menarik seramai 115 orang belia. Ia dimulakan dengan nyanyian pujipujian, games dan juga doa pembukaan yang dikendalikan oleh ahli Komiti Pelayan Altar Paroki St. Dominic.

Sesi pertama menampilkan sketsa ringkas yang dipersembahkan oleh tim KBP. Sketsa ini menceritakan tentang realiti kehidupan seorang belia yang berhadapan dengan dilema dalam membuat pilihan mengenai “Jodoh”.

Selepas sketsa dipersembahkan, satu soalan renungan iaitu, “Apakah yang akan anda lakukan sekiranya anda ialah pelakon dalam sketsa sebentar tadi?” telah diajukan kepada para belia. Jawaban bagi soalan ini dijawab secara peribadi oleh belia.

Seterusnya, dua soalan iaitu “Adakah jodoh di tangan Tuhan?” dan “Apakah itu takdir?” diajukan kepada para belia. Mereka telah berkongsi pendapat mereka bersama ahli-ahli kumpulan mereka.

Sesi kemuncak iaitu sesi kupasan tentang konsep “Jodoh dan Pilihan” oleh Sdra Teodulfo Rosalia Jr. @ Bing-Bing. Melalui sesi ini, belia dapat memahami apa itu takdir, pilihan dan jodoh. Beliau juga turut menyelitkan kriteria untuk mencari pasangan hidup. Antara kriteria tersebut ialah mengasihi, sedia memberi komitmen, komunikasi yang baik, kejujuran, penerimaan dan penyerahan, kesabaran dan peranan diri sendiri dan pasangan sepenuhnya kedalam kasih Tuhan.

Aktiviti diteruskan lagi dengan perkongsian mengenai Amoris Laetitia (Sukacita Dalam Kasih) oleh Sdri Rosaina, ahli tim KBP, yang lebih menjelaskan tentang kehidupan bujang, berpasangan dan cinta berbuah.

Program PYG11 ini diakhiri dengan para - liturgi yang dikendalikan oleh Sdra Martinus Simon. Sdra Martinus membimbing belia agar mereka dapat membuka hati untuk berkongsi masalah mereka dengan Tuhan, sekaligus memberi ruang kepada para belia agar merasa lebih dekat dengan Tuhan melalui doa.

Setiap belia diberi sekeping kertas dan pen untuk menulis masalah yang sangat menggusarkan hati mereka dan berdoa di hadapan Tuhan. Kertas itu kemudiannya digantung pada “ranting harapan”.— Maureen Joy P. Kinsung

Total Comments:0

Name
Email
Comments