Kaum muda Paguokon bersatu berkarya demi Yesus

Selepas melalui tempoh suram dalam pelayanan akibat pandemik, belia KUK Gereja Trintunggal Mahakudus, Kg.Paguokon, Tenom bangkit untuk mengadakan Fellowship pada Mac 7 di perkarangan Gereja Tritunggal Mahakudus.

Mar 31, 2023

Aktiviti permainan rohani yang mengeratkan lagi persahabatan para belia.


TENOM, Sabah: Selepas melalui tempoh suram dalam pelayanan akibat pandemik, belia KUK Gereja Trintunggal Mahakudus, Kg.Paguokon, Tenom bangkit untuk mengadakan Fellowship pada Mac 7 di perkarangan Gereja Tritunggal Mahakudus.

Fellowship yang bertemakan “Bangun, Bangkit dan Bersatu”, itu bertujuan untuk menyemarakkan semula semangat pelayanan belia, mengungkapkan rasa syukur atas penyertaan Tuhan khususnya pada waktu sukar dan memberi input tentang Keindahan Liturgi.

Para belia datang seawal jam 6.00 pagi lagi untuk mendaftar, bersarapan disusuli sesi Ice Breaking.

Sesi pertama bermula pada jam 9.00 pagi yang disampaikan oleh Sdra. Juanis bertajuk “Kepimpinan dan Kesatuan belia”.
Melalui sesi ini para belia diberi pencerahan bahawa, “Tiada pemimpin belia yang sempurna. Namun dengan mengenal setiap kelemahan dan kekuatan, serta dengan inspirasi kepimpinan Yesus, para belia dapat membantu sesama belia.
Dengan rahmat kerendahan hati dan kepimpinan bersumber kepada Yesus, dapat mengajak belia lain untuk berjalan bersama dalam kesatuan,” jelas Juanis.

Sesi kedua, iaitu Liturgi Gereja yang disampaikan oleh Sdra. David Malanting, Pengerusi Liturgi KUK Gereja Tritunggal Mahakudus, menekankan, “Katekismus Gereja Katolik mendefinisikan liturgi sebagai “keikutsertaan dalam doa yang Kristus sampaikan kepada Bapa dalam Roh Kudus”, yang menjadi sumber dan puncak kegiatan Gereja. Liturgi adalah sarana yang diturunkan oleh Yesus Kristus sendiri kepada kita semua, dan tujuannya adalah Yesus itu juga. Dalam Liturgi adanya Ekaristi yang mana kita dapat bersatu dengan sungguh-sungguh Yesus itu sendiri,”

“Jadi liturgi adalah karya Kristus, karya Gereja dalam kesatuan dengan Kristus, yang menyatakan Gereja sebagai tanda persekutuan antara Tuhan dan manusia, di dalam Kristus,” jelas David.

Pada sebelah petang pula, para belia dengan penuh semangat dan sukacita mengikuti permainan-permainan yang telah disediakan.

Kemuncak fellowship diadakan pada se-belah malam melalui program yang dipanggil Friendship Night.

Mereka memuliakan Tuhan dengan pujian dan penyembahan, Makan Malam Agape dan juga penyampaian hadiah serta keputusan King and Queen.

Malam Fellowship itu diakhiri dengan upacara “Salam Damai” yang diiringi lagu “Kesatuan, Kesetian dan Kekudusan dalam Yesus Kristus.”

Pengerusi KUK Gereja Tritunggal Mahakudus, Sdra George Kungin berpesan kepada para belia, “Program ini memberi tanda bahawa, sesukar manapun keadaan, jika para belia terus berakar kepada Yesus Kristus, tiada yang mustahil untuk para belia untuk terus maju dan berjalan bersama dalam semangat sinodal.” — Juanis bin Marcus

Total Comments:0

Name
Email
Comments