Kaum muda Sarikei berziarah ke Keuskupan Agung Kuching

Sekumpulan belia mengalami pelbagai pengalaman menarik semasa mengunjungi beberapa Gereja, biara, seminari dan galeri sejarah Katolik.

Mar 28, 2024

Para penziarah muda dari St Francis of Assisi Pakan, Sarikei semasa berada di Gereja St Ann Kota Padawan


KUCHING:
Sekumpulan belia mengalami pelbagai pengalaman menarik semasa mengunjungi beberapa Gereja, biara, seminari dan galeri sejarah Katolik.

Baru-baru ini, seramai 46 belia St Francis of Assisi Pakan, Sarikei berziarah ke Keuskupan Agung Kuching.

Ziarah itu dimulakan dengan Misa Kudus dan Ibadat Jalan Salib di Chapel Mount Hosanna, Sri Aman yang dipimpin oleh Fr Henry Jimby.

Semasa melawat ke Biara Sisters of St Francis di Padungan, para belia disambut oleh Sr Rowena, Sr Delicia dan Sr Dianna. Para Sister menceritakan tentang kehidupan harian rohani mereka dan berkongsi tentang panggilan serta mengingatkan para belia bahawa hidup ini sangat indah lebih-lebih lagi dengan berpandukan iman.

Di Seminari Tinggi Kolej Sto Petrus, para belia dilayan mesra oleh salah seorang pensyarah iaitu Fr Francis Dakun.

Lawatan ke seminari mendorong para belia merenung panggilan mereka dan semangat untuk memperkasa pelayanan.

Kemudian, para penziarah muda itu mengunjungi Biara Karmelit, Katedral St Joseph dan Galeri Sejarah, yang memperkaya pengetahuan para belia tentang hidup kudus, memahami warisan dan tradisi Gereja yang kaya.

Para belia bermalam di Pusat Sto Lukas Kota Padawan, di mana sesi sebelah petang diisi dengan doa dan perkongsian bersama komuniti tempatan.

Kemuncak ziarah para belia ini ialah menghadiri Misa Senja dan sesi penyembahan yang dipimpin oleh Fr Don Don Ramerez, OFM di Gereja St Ann.

Ziarah belia itu diakhiri di Gereja St Peter Padungan di mana mereka dialu-alukan oleh paderi paroki, Fr Vincent Chin dan Fr Ramon Borja, SDB. Kedua-dua paderi itu memberikan kata-kata semangat dan beberapa nasihat bijak kepada para kaum muda tentang menyebarkan kasih Tuhan dan sentiasa membuat kebaikan khususnya kepada mereka yang memerlukan.

“Saya berasa sangat diberkati kerana dapat mengikuti perjalanan ziarah ke Keuskupan Agung Kuching. Pengalaman spiritual yang saya perolehi sangat luar biasa. Dari kunjungan ke biara, ke Gereja sehinggalah aktiviti berdoa bersama umat setempat, semuanya membuat saya merasa lebih dekat dengan Tuhan,” kata Edern Jeremy Sunang, salah seorang peserta ziarah.

Bagi Elvian Matherll, “Pengalaman ziarah ini bukan sahaja membuka mata iman saya terhadap panggilan, kehidupan bakti dan keindahan hidup selibat, tetapi juga mengeratkan lagi hubungan sesama belia St Francis of Assisi.

“Selepas pulang dari ziarah ke Keuskupan Agung Kuching, saya sangat tersentuh dan mengingatkan saya betapa pentingnya memperkasakan iman demi membangun kerajaan Tuhan,” ujar Lucy Lolita Layam.

Lucy menambah, “Para paderi, Sister dan umat setempat yang kami temui sepanjang ziarah memberikan banyak nasihat dan dorongan untuk tekun berdoa!” -- Today’s Catholic

Total Comments:0

Name
Email
Comments