Kebangkitan Yesus mengusir kesuraman PKP

Meskipun pergerakan kita terkawal, meskipun kita tidak dapat merayakan Paskah dalam Gereja tetapi pada hari ini, hari yang sangat mulia di mana Kristus telah bangkit. Kalau Kristus tidak bangkit, kepercayaan kita adalah sia-sia.

Apr 17, 2020

KENINGAU: Meskipun pergerakan kita terkawal, meskipun kita tidak dapat merayakan Paskah dalam Gereja tetapi pada hari ini, hari yang sangat mulia di mana Kristus telah bangkit. Kalau Kristus tidak bangkit, kepercayaan kita adalah sia-sia." kata Uskup Cornelius Piong semasa memimpin Misa Kudus Hari Kebangkitan Tuhan pada 12 April dan disiarkan secara langsung melalui youtube.

Meskipun merayakan Misa Kudus secara online namun perayaan Liturgi sepanjang Minggu Suci disertai aktif oleh keluarga, komuniti kecil dan individu di Keuskupan Keningau.

Bermula Hari Minggu Palma pada 5 April, keluarga menyediakan daun palma dan mengikut arahan paderi atau Uskup untuk memberkati daun palma tersebut dengan menggunakan air suci yang diberkati pada tahun lalu.

Pada hari Khamis Putih, selepas Misa Kudus, ada keluarga yang menjalankan upacara mencuci kaki sebagai ungkapan saling mengampuni dan mengasihi di kalangan  keluarga.

Keesokan harinya, semasa Ibadat Jumaat Agung, umat diminta menyediakan Meja Altar, Lilin dan Salib sebelum menonton Misa Kudus dalam talian. Selepas Misa, paderi atau Uskup mengarahkan umat  menghormati Salib dengan menundukkan kepala. Dan selama beberapa minit pada akhir siaran langsung Misa Kudus, lagu mengenang kesengsaraan Yesus dialunkan bagi mengiringi para umat di rumah menghormati Salib.

Meskipun pada Malam Paskah suram kerana tidak ada pembaptisan dan bejana air pembaptisan, namun umat tabah serta tetap bersemangat merayakan Liturgi penting dalam kalendar Gereja Katolik ini.

Misa Malam Paskah dan Hari Paskah, terlebih dahulu menyediakan lilin dan air berkat. Selepas Uskup selesai pemberkatan lilin Paskah, ketua keluarga memercik air berkat kepada lilin Paskah dan menyalakan lilin ahli keluarga masing-masing pada awal  Misa.

Lilin dinyalakan kembali semasa upacara pembaharuan janji baptis. Selepas pembaharuan janji baptis, ketua keluarga memercik air berkat kepada seluruh ahli keluarga.

Bagi para umat yang tidak mempunyai kemudahan Internet dan tidak dapat menonton siaran langsung Misa Kudus, kertas-kertas panduan merayakan Trihari Suci telah diedarkan melalui ketua-ketua Zon dan KUK masing-masing.

Kertas panduan untuk Hari Khamis Putih sehingga Hari Paskah itu menggalakkan keluarga mengadakan doa bersama, membaca Kitab Suci,  mendoakan doa-doa permohonan dan saling bermaaf-maafan antara sesama.

Dalam homilinya semasa perayaan Paskah, Uskup Cornelius turut menyebut akan para barisan hadapan, iaitu para petugas kesihatan yang melayani orang sakit di hospital bahawa, "Tabahkanlah hati kamu. Apa yang anda lakukan bukan sia-sia. Anda mengikuti teladan Yesus yang mengasihi dan merawat semua orang!"

Total Comments:0

Name
Email
Comments