Kehidupan Keluarga: tema perayaan Minggu Kateketikal 2022

Mesyuarat tahunan Komisi Kateketikal Malaysia (MCC), yang awalnya dijadualkan untuk diadakan di Kuching, Sarawak, diadakan pada tahun ini melalui plat

Jul 16, 2021

KUCHING: Mesyuarat tahunan Komisi Kateketikal Malaysia (MCC), yang awalnya dijadualkan untuk diadakan di Kuching, Sarawak, diadakan pada tahun ini melalui platform dalam talian Cisco Webex pada 5-7 Julai 2021.

Uskup Agung Julian Leow Beng Kim, Presiden Episkopal Kateketikal, para klerus, religius dan perwakilan awam yang dilantik dari sembilan keuskupan/agung dan Brunei, menyertai mesyuarat di alam maya ini. Uskup Agung Julian, dalam ucaptamanya, mengakui cabaran semasa yang dihadapi di keuskupan masing-masing akibat pandemik Covid-19.

Prelatus itu menyatakan bahawa pandemik telah mempengaruhi banyak keluarga khususnya kanak-kanak dan kesejahteraan mental mereka. Uskup Agung Julian menekankan bahawa pandemik ini juga secara langsung mempengaruhi Pelayanan Kateketikal kita. Katanya, masa-masa sukar ini memerlukan kaedah baru dan kreatif untuk mengatasi cabaran tersebut.

Dalam mesyuarat ini diputuskan bahawa sambutan Minggu Kateketikal tahun 2022 jatuh pada 30 Januari, dengan tema “Kehidupan Keluarga: Jalan menuju Kekudusan” (1 Kor 12:12).

Tema yang dipilih tercetus dari Fokus Strategik untuk Katekis untuk tahun 2022 — “Keluarga”, dan menekankan pentingnya cinta keluarga, doa keluarga, perpaduan, menerima dan mendakap satu sama lain.

Dalam mesyuarat MCC, semua keuskupan/agung berkongsi program yang dilaksanakan, cabaran yang dihadapi, maklum balas yang dibuat, dan pengalaman umum dengan kelas dalam talian.

Ternyata setiap keuskupan mengalami cabaran unik dan memerlukan pendekatan khusus untuk mengatasinya.

Pertemuan ini juga menekankan bahawa adalah sangat penting untuk kekal berhubung dengan pelajar secara konsisten menggunakan pelbagai cara seperti persidangan video, WhatsApp, atau media sosial yang lain. Antara perkara lain yang dibincangkan dalam pertemuan itu, adalah bagaimana menyelesaikan kes-kes unik yang melibatkan calon antara paroki dan antara keuskupan, untuk kelas katekismus dan penguatan dalam talian, serta sesi IKD.

MCC membuat keputusan untuk mewujudkan garis panduan, yang kemudian akan dibincangkan oleh para Uskup/Agung semasa pertemuan Konferensi Para Uskup Katolik, pada bulan Ogos 2021.

Mesyuarat MCC seterusnya dijadualkan diadakan di Sandakan, Sabah dari 4-7 Julai 2022.

Total Comments:0

Name
Email
Comments