Kekitaan FM terbit segmen khas memperingati Kardinal Sim

Radio online Kekitaan FM telah menerbitkan segmen khas memperingati mendiang Yang Terutama Kardinal Cornelius Sim, yang meninggal dunia di Taiwan pada 29 Mei ketika menjalani rawatan untuk barah. Prelatus itu berumur 69 tahun.

Jul 03, 2021

KENINGAU: Radio online Kekitaan FM telah menerbitkan segmen khas memperingati mendiang Yang Terutama Kardinal Cornelius Sim, yang meninggal dunia di Taiwan pada 29 Mei ketika menjalani rawatan untuk  barah. Prelatus itu berumur 69 tahun.

Segmen dalam bahasa Inggeris itu dikendalikan oleh DJ Beth dengan menjemput  Uskup Cornelius Piong sebagai tetamu khas.  Mereka berbicara mengenai keperibadian  dan sumbangan Kardinal Sim yang telah  melayani Gereja Katolik Brunei lebih dari  tiga dekad. 

Menurut Uskup Cornelius Piong, Kardinal Sim merupakan paderi, uskup dan kardinal warga Brunei yang pertama. Antara  memori Uskup Cornelius bersama Kardinal  Sim ialah ketika bertemu dalam pertemuan  dwi tahunan konferensi para Uskup Katolik  Malaysia-Singapura-Brunei yang biasanya  diadakan di Pusat Majodi, Johor.

DJ Beth juga membacakan beberapa info  mengenai mendiang yang diperolehi dari beberapa media. 

Antaranya Kardinal Sim merupakan seorang Uskup dan Kardinal yang mempunyai  kasih mendalam terhadap umat tidak kira tua  atau muda. Sri Paus Fransiskus juga menitipkan ucapan takziah serta mengiktiraf ketekunan serta ketaatan kardinal itu dalam misi  pelayanan di vikariat Brunei. 

Uskup Cornelius mendedahkan ironi bahawa ketika mendiang Kardinal Soter meninggal pada 27 Oktober, sebulan kemudian,  Cornelius Sim diangkat menjadi sebagai  Kardinal. 

Pandemik melanda ketika Cornelius Sim diangkat menjadi kardinal maka upacara  pelantikannya tidak dapat dirayakan besarbesaran. 

Uskup Cornelius juga pernah berpesan  kepada Kardinal Sim, “Jika Kardinal rasa  sunyi, datanglah ke Keuskupan Keningau.”  Kardinal itu berjanji untuk datang, namun  Tuhan telah menjemputnya terlebih dahulu. Memiliki nama yang sama dengan Kardinal Sim, Uskup Cornelius Piong dengan  nada humor mengatakan ramai yang keliru  sehingga beliau menerima ucapan takziah. 

Prelatus Keuskupan Keningau itu menambah bahawa Kardinal Sim sangat mudah  menyesuaikan diri dengan pelbagai golongan. Beliau mudah bergaul dengan kaum  muda mahupun warga emas. Ini merupakan  ciri kepimpinan yang baik. Sebab itu, kata  Uskup Cornelius Piong, ramai yang berasa  sangat kehilangan apabila prelatus itu kembali ke rumah Bapa. 

Uskup Cornelius mengenali Kardinal Sim  semasa kedua dua mereka menjadi anggota  Konferensi para Uskup Malaysia-SingapuraBrunei. Sepanjang mengenalinya, Kardinal  Sim merupakan seorang yang merendahkan  diri, mudah didekati dan sangat gemar makan durian.

Uskup Cornelius juga memberitahu bahawa Kardinal Sim bukan sahaja mudah  didekati oleh umat, malah klerus itu amat  mengambil berat akan para paderinya. Semasa Ad Limina 2018, Kardinal Sim hampir  membatalkan pemergiannya ke Roma kerana mahu menjaga salah seorang paderinya  tidak sihat. 

Apabila paderi itu benar-benar sihat, barulah Kardinal Sim berasa lega untuk berlepas  ke Roma bagi menghadiri pertemuan dengan  Sri Paus, lima tahun sekali, bersama para  Uskup Malaysia, Singapura dan Brunei. Pada akhir segmen tersebut, Uskup Cornelius mengatakan Kardinal Sim telah pergi  namun warisan imannya terpahat teguh di  vikariat Brunei.

Total Comments:0

Name
Email
Comments