Keluarga beriman, sukacita bagi Gereja

“Gereja tidak menggalakkan perkahwinan yang diatur keluarga kerana ia adalah salah satu penyumbang kepada perceraian.

Apr 19, 2024

Sesi perdamaian dalam Seminar Sukacita dalam Kasih Keluarga di Mission Paitan, baru-baru ini.


PAITAN, Sandakan:
“Gereja tidak menggalakkan perkahwinan yang diatur keluarga kerana ia adalah salah satu penyumbang kepada perceraian. Suami isteri harus saling mengampuni sesama dan saling menyokong antara satu sama lain dari segi fizikal, emosi dan rohani,” demikian kata paderi penguasa Mission Paitan baru-baru ini.

Seminar “Sukacita Dalam Kasih Keluarga” yang berlangsung di Kapela St Simon, Kg Timpus, Mission Paitan telah dihadiri 156 peserta.

Sebanyak tujuh ceramah berkaitan komunikasi dan peranan dalam keluarga, pengambilan substan dan ketagihan gajet, cabaran keluarga dan harapan, telah disampaikan dalam seminar tersebut.

Semasa memimpin Misa Kudus, Fr Arthur John selaku paderi penguasa Mission Paitan berpesan kepada pasangan suami isteri agar saling membangun komunikasi sihat dan bertanggungjawab.

Tegasnya, “Perceraian bukan satu pilihan Gereja untuk menyelesaikan masalah rumah tangga.” Paderi itu menasihati pasangan suami isteri bahawa semua cabaran dalam rumahtangga harus dijadikan peluang untuk memperbaiki kelemahan diri dan keluarga.

Tambahnya, para suami dan isteri bertanggungjawab untuk memberikan pendidikan akademik dan rohani kepada anak-anak.

Fr Arthur turut menekankan betapa pentingnya meluangkan masa bersama anak-anak tanpa penggunaan telefon bimbit.

Beliau juga menggalakkan budaya berdoa diamalkan dalam keluarga.

“Semua keluarga pasti akan berhadapan dengan kesedihan, krisis, perselisihan faham dan banyak lagi. Tetapi, apa jua cabaran dilalui, kembalilah kepada Tuhan, buang rasa ego dan mengampuni, akan menjadikan sebuah keluarga lebih kukuh.”

Salah sebuah sesi yang menyentuh hati dalam seminar tersebut ialah “Harapan Keluargaku” yang menekankan perdamaian dalam keluarga. Semua peserta memberikan kerjasama yang baik dalam sesi ini. Mereka saling merendahkan hati untuk berdamai, berpelukan dan mengucapkan kata-kata maaf.

Salah seorang peserta yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail mengongsikan seminar itu membuka mata rohaninya serta menyedari kelemahan diri dan memberinya semangat untuk memperbaiki kesalahan.

Rakannya, Kayun mengatakan selama ini beliau berfikir kehidupan keluarganya sudah cukup baik dan bahagia. Hakikatnya keluarganya mengalami keruntuhan kekeluargaan tanpa disedari. Kayun amat bersyukur kerana melalui seminar itu, Tuhan telah memberinya inspirasi untuk memperbaiki diri serta lebih peduli dengan keluarganya.

Mission Paitan merupakan satusatunya mission di Keuskupan Sandakan di bawah jagaan Katedral St Mary, Sandakan. Ia terletak kirakira 250 km dari Katedral St Mary. — Anna Sauna

Total Comments:0

Name
Email
Comments