Kem Pelayan Altar Mandalipau 2018 menjiwai panggilan Tuhan

Kem Pelayan Altar Mandalipau 2018 menjiwai panggilan Tuhan

Jul 06, 2018

MANDALIPAU, Papar: 100 peserta yang dijangka tetapi 170 yang datang, demikianlah kata salah seorang penganjur Kem Pelayan Altari Zon Kogopon yang tidak menyangka Kem Pelayan Altari yang diadakan pada 21 Jun lalu, mendapat sambutan hebat daripada para pelayan Altari Paroki Holy Rosary Limbahau.

Kem Pelayan Altari 2018 Zon Kogopon diadakan di Gereja St Mandalipau dengan tema “Jadilah Terang dan Garam Dunia”. Chapel St Dominic Savio Mandalipau bernaung dalam Zon Kogopon. Bermula 21 Jun hingga 23 Jun, 170 peserta Kem telah memeriahkan perkampungan itu dengan doa-doa dan pujian memuliakan Tuhan.

Diadakan pada musim cuti sekolah, Kem Pelayan Altari tersebut dimulakan dengan pendaftaran dan sesi suai kenal.

Dalam Misa pembukaan pada petang Khamis, Fr Rayner Bisius yang mencetuskan idea penganjuran Kem Pelayan Altar telah menyeru pada remaja agar menghayati dan menjiwai semua sesi yang disampaikan dalam kem tersebut.

“Kem ini bukan sahaja peluang bagi anda untuk bermesra dan bersantai dengan rakan-rakan tetapi juga meneguhkan dan menyegarkan panggilan anda sebagai Pelayan Altari,” ujar Fr Rayner seraya menambah Pelayan Altar agar menjaga identiti mereka sebagai remaja Katolik, agar perbuatan dan perkataan mereka dapat diteladani oleh remaja lain.

Roberto Carlos salah seorang remaja berbangsa Indonesia yang menyertai Kem Altar tersebut mengatakan dia amat terharu di atas kerjasama rakan-rakan seiman.

Bekerja sejak usia muda dan tidak berpeluang ke sekolah seperti rakan-rakan lain, menyebabkan Roberto agak kurang keyakinan.

Namun, panggilan Tuhan mengatasi segala-galanya. Sejak usia sembilan tahun, Roberto telah menjadi Pelayan Altari dan ia telah memberikan impak hebat pada diri Roberto.

“Apa yang saya sangat suka dalam Kem ini ialah penerangan tentang Panggilan Tuhan. Saya tertarik dengan kesaksian Paderi dan Sister yang memberikan hidup mereka kepada Tuhan.

“Selama ini saya tertanya-tanya apa yang menariknya menjadi Paderi atau biarawan yang tidak akan mempunyai keluarga. Ternyata panggilan Tuhan itu begitu luar biasa dan mereka yang tertahbis itu sungguh dirahmati, ia adalah sesuatu yang dipandang remeh dalam dunia sekular tetapi sangat kudus di mata Tuhan.”

Kem Pelayan Altari diakhiri dengan Misa Kudus pada 23 Jun. Sebelum kembali ke tempat masing- masing, para pelayan Altari saling meneguhkan iman dan persahabatan dan bakal bertemu pada Kem Pelayan Altari 2019 di Zon Dambai

Total Comments:0

Name
Email
Comments