Keuskupan Agung Singapura perkenal SATU tahun persiapan perkahwinan

Keuskupan Agung Singapura perkenal SATU tahun persiapan perkahwinan

Nov 16, 2018

SINGAPURA: Keuskupan Agung Singapura telah memperkenalkan polisi baharu untuk memastikan pasangan mengambil masa yang diperlukan sebagai mempersiapkan diri dengan sempurna untuk perkahwinan.

Umat Katolik yang ingin berkahwin di mana-mana 32 gereja di Keuskupan Agung itu harus menempah tarikh perkahwinan mereka sekurang-kurangnya satu tahun lebih awal, demikian seperti yang dilaporkan oleh Catholic News.

Sebelum ini, pasangan hanya perlu memberitahu gereja enam bulan sebelum perkahwinan. Uskup Agung Singapura, Msgr William Chye membuat keputusan itu pada Oktober selepas berbincang mengenai polisi tersebut dengan para paderi keuskupan.

Pasangan masih harus menjalani program persediaan perkahwinan yang sama, termasuk kursus perkahwinan dan pertemuan dengan Paderi yang akan merayakan perkahwinan itu.

Seorang jurucakap Katolik untuk Keuskupan Agung memberitahu akhbar Strait Times bahawa dasar baru ini menekankan pentingnya komitmen perkahwinan dan membantu umat Katolik untuk bersiap melangkah ke alam perkahwinan.

“Sebagai tindak balas kepada maklum balas dan membantu umat Katolik mempersiapkan diri untuk memikul komitmen utama dalam kehidupan mereka, Uskup Agung, selepas berbincang dengan majlis para Paderi, meneliti dan memperbaiki dasar-dasar yang disyorkan sekarang ini,” katanya.

“Ia menandakan permulaan perjalanan bersama Gereja dan pasangan, dalam langkah mempersiapkan pasangan berkomitmen kepada satu sama lain,” katanya.

Banyak denominasi Kristian di Singapura juga sudah mengenakan dasar yang sama, di mana menetapkan enam hingga sembilan bulan persiapan sebelum hari perkahwinan.

Daniel Seah, seorang Katolik yang telah bertunang di Singapura dan merancang untuk berkahwin pada tahun 2020, memberitahu Strait Times bahawa beliau gembira dengan polisi baharu itu.

“Pada pandangan saya, kadar perceraian agak tinggi dan saya fikir Gereja sedang mencari cara untuk membantu pasangan untuk meneliti dan merenung, adakah pasangan mereka merupakan orang yang tepat, sebelum mereka melafazkan ikrar perkahwinan di Gereja,” ujar beliau.

“Malah, dalam urusan penempahan hotel, anda juga perlu menempah satu tahun lebih awal tetapi kita tidak pula mengeluh tentang hal ini!” — CNA

Total Comments:0

Name
Email
Comments