Kisah panggilan religius wanita pertama Sarawak sertai Daughters of Divine Charity di England

Sr Anna Yeo Chai Luan dari Kuching merupakan satu-satunya religius wanita dari Malaysia yang menyertai kongregasi Daughter of Divine Charity di England.

Oct 30, 2021

Sr Anna Yeo FDC, Selepas upacara pelafazan kaul kekal. Kredit Gambar: Today’s Catholic/fdc-sisters.


KUCHING:
Sr Anna Yeo Chai Luan dari Kuching merupakan satu-satunya religius wanita dari Malaysia yang menyertai kongregasi Daughter of Divine Charity di England.

Berikut merupakan perkongsian Sr Anna Yeo:

Pada 28 Ogos 2021, sempena Pesta Santo Augustine, saya telah melafazkan kaul kekal saya sebagai anggota Anak Perempuan Kasih Ilahi (Daughter of Divine Charity) di England. Saya sudah bersama kongregasi biarawati ini selama tujuh tahun.

Menyertai kongregasi ini tidak pernah saya bayangkan selama ini. Saya tidak pernah melihat diri saya sebagai seseorang yang alim, malah doa juga menjemukan bagi saya.

Sebagai seorang warga Malaysia berbangsa Cina yang tipikal, saya membesar dengan mengejar keputusan akademik terbaik supaya saya dapat berjaya dan memiliki pekerjaan bergaji lumayan selain berkahwin dengan seorang lelaki yang baik dan mempunyai keluarga kecil.

Saya berjaya melakukan sebahagian cita-cita saya, bersekolah di sekolah terbaik dan bekerja sebagai Konsultan Alam Sekitar selama enam tahun. Saya berpuas hati dan selesa dengan kehidupan saya di Kuching. Saya memiliki lebih daripada segalanya yang saya perlukan.

Kemudian saya melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana (Masters) di England agar karier saya bertambah sukses. Saya diterima memasuki Universiti East Anglia atau UEA (walaupun pada mulanya, ia bukan pilihan pertama saya).

Tanpa disedari, Tuhan ada sebab bagi saya untuk memilih universiti tersebut.

Saya amat seronok ketika belajar di UEA. Saya pergi ke Pusat Chaplain Katolik UEA setiap hari kerana saya berasa selamat dan selesa di situ.

Saya lulus dengan cemerlang dalam pengajian Sarjana Sains.

Saya ingin tinggal di England hingga visa pelajar saya tamat supaya dapat meneroka Eropah. Tinggal di biara adalah pilihan yang terbaik dan percuma!

Paderi Pusat Chaplain Katolik yang mencadangkan perkara ini, mengaturnya untuk saya. Di biara ini, saya tinggal bersama para biarawati dan membantu mereka di sekolah kendalian mereka. Saya turut menyertai mereka di dalam aktiviti doa mereka dan menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.

Ketika visa pelajar saya hampir tamat tempoh, saya tidak mahu pulang sedangkan saya sangat merindukan keluarga dan rakan-rakan saya!

Pada ketika itu, saya mula bertanya dan menilai bahawa ada kemungkinan saya dipanggil untuk menjadi biarawati namun saya masih ragu dan takut.

Apabila visa saya luput, saya kembali ke Kuching dan mula memaklumkan hal ini kepada keluarga dan beberapa rakan. Sudah tentu, berita ini kurang diterima dengan baik.

Ramai yang merasakan saya akan melepaskan terlalu banyak perkara apabila menjadi religius malah mencadangkan pelayanan lain yang tidak memerlukan hidup berkaul.

Saya memutuskan untuk kembali ke England untuk lebih menilai dan merenung. Ia bukan fasa yang mudah. Dalam masa sebulan, saya tahu bahawa inilah yang Tuhan ingin saya lakukan.

Para biarawati Daughter of Divine Charity) tidak pernah mendesak agar saya menjadi biarawati.

Saya menulis surat kepada ibu saya dan Sr Superior (Ketua Biarawati) untuk memberitahu mereka tentang hasrat saya untuk menyertai kongregasi ini.

Ini adalah kisah tujuh tahun lalu. Ia merupakan satu perjalanan yang mencabar, tidak semudah yang disangka (kami bukan hanya berdoa, makan dan tidur sahaja). Namun saya tidak pernah menyesal dengan keputusan hidup membiara.

Memang wujud tanggapan yang salah tentang kehidupan religius yang dikonsekrasi. Orang menyangka bahawa ia membatas dan rendah.

Tetapi saya mengalami hidup bebas dan berkelimpahan. Saya gembira kerana saya menyahut panggilan ini. Jika ada orang yang mempunyai seruan kecil dalam dirinya untuk melayani di ladang Tuhan, nasihat saya: Cubalah!

Kita bebas untuk meninggalkannya, tetapi terlebih dahulu, alami dan jalaninya meskipun dalam jangka masa yang pendek.

Kini, saya tenang, saya penuh dengan sukacita dan saya benar-benar rasa puas hati.

Saya telah mengalami dan menjalani kehidupan yang ditakrifkan sebagai berjaya dan hebat menurut standard biasa. — Sr Anna Yeo Chai Luan (Daughter of Divine Charity)

Total Comments:1

Name
Email
Comments
Shannen Christy[email protected]
Shalom, saudara. Saya punya pertanyaan ni.. Saya orangnya pekak dan dari dulu punya keinginan mahu menjadi Sister di Gereja, mahu melayani Tuhan seumur hidup saya????.. Apa kalian tahu bagaimana caranya..? Apakah bisa orang pekak seperti saya ini diterima jadi Sister?? Terima kasih????????..