Kita perlu Roh Kudus untuk berakar dalam Kristus

Menjelang Hari Pentakosta, seramai 118 calon menerima Sakramen Krisma dalam perayaan Ekaristi pada 22 Mei 2021 yang lalu.

Jun 05, 2021

KENINGAU: Menjelang  Hari Pentakosta, seramai 118 calon menerima  Sakramen Krisma dalam perayaan Ekaristi pada 22 Mei  2021 yang lalu. 

Upacara penerimaan Sakramen  tersebut berlangsung di Dataran  Keuskupan Keningau, dan para penerima Sakramen Krisma merupakan  para krismawan yang mengikuti kelas  Penguatan di bawah Paroki Katedral  St.Francis Xavier Keningau (KSFX). 

Pemimpin Misa Kudus Krisma, Uskup  Cornelius Piong di dalam homilinya menegaskan menerima Sakramen Krisma  adalah peluang terbaik untuk menghidupkan semula Roh Kudus yang kita  terima semasa pembaptisan.

"Semasa dibaptis, kita telah menerima Roh Kudus namun karunia Roh Kudus itu mungkin tidak mampu berkarya  dengan lebih giat disebabkan kelalaian.  Oleh itu, dengan menerima Sakramen  Krisma, kita semakin dikuatkan untuk  mengambil bahagian dalam karya keselamatan Kristus. "

Prelatus itu seterusnya memberi  panduan bagaimana untuk mengikuti  Kristus? Pertama, Uskup Cornelius  mengingatkan bahawa dalam Injil Lukas 9:23, mereka yang ingin mengikuti  Yesus, harus tidak mementingkan diri  (menyangkal diri), memikul salibnya  dan mengikut-Nya. 

"Bukan mudah untuk mengikut Kristus, oleh sebab itulah Yesus mengutus  Roh Kudus sebagai penolong. Roh Kudus yang akan mengajarkan, mengingatkan kita tentang ajaran-ajaran Kristus agar kita tidak terumbang-ambing  dalam kehidupan ini,” ujar gembala  Keuskupan Keningau itu. 

Bapa Uskup Cornelius mengingatkan  kepada semua krismawan yang sebahagian besarnya golonga belia, agar  menerima Sakramen tersebut kerana terdorong oleh keinginan mengikuti  Yesus. “Janganlah menerima Sakramen Krisma kerana terpaksa atau kerana mahu berkahwin," pesan Uskup  Cornelius. 

Ucapan syukur dan terima kasih juga  dizahirkan oleh Puan Mary Intang, pengerusi Tim Pembimbing Krisma  Pusat (KSFX, Keningau) yang menyatakan kerjasama di antara para pembimbing dan calon Krisma itulah yang  menyebabkan semua pembelajaran dalam buku SKM10 (Siri Katekatik Malaysia 10) berjaya dihabiskan, meskipun dalam kekangan masa di bawah  PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan  Bersyarat). — Juanis bin Ma

Total Comments:0

Name
Email
Comments