Konsert Malam Pujian 2.0: Angkat inspirasi dan bakat belia Telupid

Konsert Malam Pujian 2.0: Angkat inspirasi dan bakat belia Telupid

Aug 24, 2018

TELUPID: Selepas dua tahun penganjuran Konsert Malam Pujian, sekali lagi Kerasulan Belia Paroki Santo Martin Telupid dengan kerjasama Telupid Event Management, menganjurkan konsert malam pujian 2.0 pada 27 Julai lalu.

Konsert meriah itu turut dihadiri oleh Father Jasery G. Emmanuel dan Father Stanley W. Matakim, kumpulan Infinite Worship, ibu bapa dan kira-kira 300 orang belia serta para belia dari gereja denominasi lain sebagai tanda solidariti.

Konsert Malam Pujian 2.0 dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Penganjur, Sdri Fettwinda Sipaan.

Dalam ucapannya juga, Fettwinda menyeru semua hadirin agar memberikan bimbingan dan sokongan kepada para belia dalam pelayanan kerana merekalah tonggak Gereja pada masa hadapan.

Fettwinda menegaskan bahawa tenaga, semangat serta kreativiti para belia perlu digilap agar lebih berbuah dan menggunakan bakatbakat tersebut dalam pelayanan.

Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus dari awal persiapan malam pujian sehingga pada hari konsert berlangsung. Begitu juga dengan mereka yang telah memberikan sokongan dan sumbangan dalam menjayakan Konsert Malam Pujian 2.0 tersebut, “Saya pasti, Tuhan yang Mahabaik akan memberkati anda semua!” ujarnya.

Selepas ucapan Fettwinda, Fr Stanley turut naik ke pentas untuk memberikan pesan serta mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat dalam penganjuran konsert Malam Pujian 2.0.

Paderi itu berharap agar para belia diberi sokongan dan galakan untuk mencari, mendengar da n menyahut panggilan mereka dalam pelayanan. Fr Stanley kemudiannya memimpin doa sebagai pembukaan konsert.

Konsert dimulakan dengan First Wave di mana para belia yang memimpin pujian membawa semua yang hadir memuji dengan lima buah lagu yang pertama.

Band Infinite Worship dari Kuala Penyu, meneruskan suasana hebat doa dengan mempersembahkan tujuh buah lagu memuliakan Tuhan.

Objektif utama penganjuran Konsert Malam Pujian 2.0 iaitu, membawa dan mengajak para belia Katolik dan Kristian untuk bergabung mesra di dalam doa, memberi inspirasi para belia untuk menggunakan bakat mereka dalam melayani Tuhan, menggilap bakat-bakat para belia serta menarik tumpuan para pemimpin pada masa kini untuk terus memberikan peluang serta bimbingan kepada para belia untuk terus berkembang dalam pelayanan.

Sebelum konsert bermula, aktiviti busking yang diketuai oleh band de ’Trips telah menarik ramai belia meninggalkan rasa segan mereka serta mengetengahkan bakat mereka dalam bermain alat muzik dan menyanyi.

Konsert Malam Pujian 2.0 diberkati dengan doa penutup yang dipimpin oleh Fr. Jasery. — SOCCOM Telupid

Total Comments:0

Name
Email
Comments