Langit dan bumi akan berlalu tetapi perkataan Tuhan tidak akan berlalu

Langit dan bumi akan berlalu tetapi perkataan Tuhan tidak akan berlalu

Nov 16, 2018

HARI MINGGU BIASA KE 33
TAHUN B
DANIIEL12:1-3;
IBRANII 10: 11-14,18;
IINJJIIL MARKUS 13:24-32

Sejak dahulu orang suka berspekulasi dan meramal hari kiamat. Mereka meramalkan tarikh dan masa tetapi sampai sekarang ramalan tersebut belum ada yang benar.

Akhir-akhir ini tanda-tanda hari mahu kiamat semakin diperkatakan kerana memandangkan banyak bencana alam terjadi di mana-mana di seluruh dunia, lebih-lebih lagi perubahan cuaca sudah tidak menentu lagi.

Minggu ini kita sudah berada di ambang pintu untuk mengakhiri kalender Gereja. Injil pada hari ini seakan-akan menyimbah air ke atas segala ramalan dan spekulasi panas tentang hari kiamat. Yesus memberikan kita nasihat: “Tentang hari atau saat itu tidak seorang pun yang tahu, malaikat-malaikat di syurga tidak, dan Anakpun tidak, hanya Bapa saja” (Mrk 13:32).

Yesus menasihati kita supaya tidak terlalu memikirkan terhadap hari kiamat tapi menumpukan kehidupan kita seharian. Dengan kata lain, apa yang penting adalah hari ini. Tetapi masalahnya bagi setiap kita, persoalan hari kiamat itu selalu kita baca dalam Alkitab. Menurut pengertian kita, ‘akhir zaman’ itu telah dijangkakan sebagai kematian dan kebangkitan Yesus. Di dalam Yesus, keselamatan kita telah dicapai namun kita belum sepenuhnya menikmatinya. Fahaman bahawa kita sudah diselamatkan namun ‘belum lagi’ ini boleh kita bayangkan seperti kita terhidu bau ayam goreng dari dapur sebelum kita makan tengah hari. Kita tahu ayam goreng itu sedang dihidangkan tapi kita belum lagi menjamahnya. Demikian juga hakikat kerajaan Tuhan tersebut.

Pesan-pesan Yesus merupakan harapan yang sebenarnya boleh diperolehi di dunia ini. Ianya merupakan pesan-pesan yang menyatakan bahawa Tuhan berjalan bersama kita di dalam suka mahupun duka dan bahawa sabda- Nya sentiasa hadir bersama kita untuk memberi cahaya pengharapan. Memang pesan-pesan Yesus ini cukup mencabar dan kurang menyenangkan: “Apa gunanya seorang memperoleh seluruh dunia, tetapi ia kehilangan nyawanya?” (Mrk 8:36).

Pesan-pesan Yesus ini sungguh mencabar kita sebab ianya telah memutarbalik semua nilai-nilai kehidupan yang biasa kita lakukan setiap hari. Namun pesan-pesan Yesus telah memberikan kita semangat, pedoman serta memberikan kita harapan dan kedamaian. Sekali kita mendengar-Nya, kita tidak akan melepaskan ‘kata-kata emas’ tersebut. Sebab Yesus pernah berkata, “Langit dan bumi akan berlalu, tetapi perkataan-Ku tidak akan berlalu” (Mrk 13:31).

Menurut Kitab Suci, pada hari penghakiman terakhir nanti, kita akan diadili dengan soalan: “Apa yang telah engkau lakukan terhadap sesamamu yang memerlukan?” (Baca Mat 25:32 dst).

Adalah kisah seorang pemuda menderita di api pencucian. Siang dan malam dia berteriak-teriak memohon kepada Bapa agar dia dibebaskan dari tempat yang sangat mengerikan itu.

Tuhan mendengarkan permohonannya itu dan bertanya pada para malaikat apa kebaikan-kebaikan yang pernah dilakukan orang muda itu sewaktu hidupnya di dunia agar boleh dipertimbangkan untuk mengabulkan permohonannya.

Seorang malaikat melihat biodata pemuda tersebut melalui komputer dan melaporkannya kepada Bapa bahawa orang muda tersebut hanya sekali memberi beberapa ikat buah pinang kepada seorang ibu tua. “Baiklah,” kata Tuhan, “Buatlah rentaian tali daripada pemberiannya itu dan hulurkan kepadanya”. Lalu sang malaikat melakukan apa yang diarahkan oleh Bapa kepadanya.

Sementara malaikat tersebut dengan hati-hati menghulurkan tali tersebut, orang muda menyambarnya dengan segera. Lalu malaikat mula menariknya ke atas. Apabila teman-temannya yang lain melihat, mereka semua bergegas menyambar kakinya bagaikan lintah.

Apabila berada di pertengahan jalan menuju ke syurga, tali tersebut terputus sebab tidak dapat menampung berat sang pemuda tersebut dengan teman-temannya yang lain. Lalu mereka semua jatuh kembali ke api pencucian.

Pemuda yang malang tersebut tidak dapat menyelamatkan dirinya dan teman-temannya kerana dia hanya melakukan sedikit kebaikan semasa hidupnya. Persoalannya, bagaimana dengan diri kita sendiri? Apakah segala kebaikan dan tanggung jawab sosial kita selama ini sudah mencukupi untuk menyelamatkan kita dari api neraka?

Pada penghujung kalender Gereja pada bulan ini, adalah baik kiranya kita merenung dan melihat jauh ke dalam diri kita. Apakah selama ini saya terlalu sibuk dengan diri saya sendiri? Apakah saya memberi masa untuk Tuhan, keluarga dan sesama saya yang memerlukan?

Segala sesuatu yang kita lakukan sekarang mempunyai akibat yang kekal. Penghakiman sebenarnya hanyalah sebagai pengesahan Tuhan akan segala pilihan, keinginan atau perbuatan yang telah kita lakukan semasa hidup kita di dunia fana ini. Apa yang kita tanam sekarang akan kita tuai pula di masa akan datang. Tuhan berfirman, “Aku akan melakukan pembebasan kepadamu sesuai dengan hasil perbuatanmu” (Yer 21:14). — JL

Total Comments:0

Name
Email
Comments