Marilah memuliakan Tuhan dengan hati yang benar!

Marilah memuliakan Tuhan dengan hati yang benar!

Aug 31, 2018

HARI MINGGU BIASA
KE-22 TAHUN B
ULANGAN.4:1-2,6-8;
YAKOBUS.1:17-18,21-22,27;
INJIL MARKUS. 7:1-8,14-15,21-23

Pengalaman menulis renungan dan berkhutbah di hadapan umat bertahun-tahun lamanya memang meneguhkan iman saya sendiri dan sesama yang membaca dan mendengarkannya.

Tetapi tidak kurang juga ada segelintir umat merasa tergugat kedudukannya sehingga saya sering mendapat surat layang, telefon atau ‘SMS’ dengan nada agak mengancam: “Awas, hati-hati renungan dan khutbah kamu itu. Jangan terlalu peribadi sehingga menyakitkan hati.”

Ada juga yang memberi komen, “Setiapkali saya ke gereja hari minggu, hati saya disakiti kerana kisah kesalahan masa lalu saya terungkit.” Dan ada yang menambah: “Kalau begitu lebih baik saya tidak ke gereja lagi.” Namun yang paling menarik dan tidak akan pernah saya lupakan adalah komen sahabat saya sendiri, “Mulai hari ini kita putus hubungan persahabatan,” gara-gara renungan yang ada imbasan tentang kehidupannya yang memang tidak senonoh.

Nampaknya sifat manusia yang menganggap orang lain sebagai musuh apabila segala bentuk dosa dan kesilapan dibongkar walaupun secara tidak langsung itu merupakan naluri semulajadi. Dan mengalihkan perhatian daripada kenyataan yang sebenarnya dengan cara menuduh orang lain yang bersalah. Seperti kata pepatah, “Tidak ada orang yang mengaku berak di tengah jalan.”

Betapa sering kita berhadapan dengan orang-orang yang membenarkan kemarahan mereka terhadap Gereja dan ajaran-ajaran-Nya, dengan cara mencari kesalahan-kesalahan orang-orang tertentu terutama para pemimpin Gereja.

Di dalam Injil hari ini kita mendengar Yesus sentiasa mencabar orang-orang Farisi sebab perkataan dan tindakan mereka tidak konsisten. Kali ini orang-orang Farisi membuat satu isu bahawa murid-murid Yesus makan tanpa mencuci tangan terlebih dahulu sesuai dengan adat istiadat orang-orang Farisi. Berasaskan isu ini, maka nampaknya orangorang Farisi mendapat alasan untuk tidak mendengar cabaran Yesus itu. Lalu Yesus ‘hilang’ kesabaran-Nya terhadap kedegilan mereka itu lalu memetik kata-kata nabi Yesaya, “Bangsa ini memuliakan Aku dengan bibirnya, pada hal hatinya jauh daripada-Ku, sedangkan ajaran yang mereka ajarkan ialah perintah manusia.”

Yesus memperkatakan tentang kepentingan hati. Bahawa apa yang paling penting adalah bukan apa yang masuk ke dalam diri seseorang tetapi apa yang keluar daripadanya. Iaitu sikap dan tingkah lalu. Melalui sikap dan tingkah laku kita, dapat memperlihatkan apa yang tersirat di dalam diri kita. “Sebab dari dalam, dari hati orang, timbul segala fikiran jahat, percabulan, pencurian, pembunuhan, perzinaan, keserakahan, kejahatan, kelicikan, hawa nafsu, iri hati, hujat, kesombongan, kebebalan.” (Mk 7:21-22).

Perbezaan yang sangat ketara di antara Yesus dan orang-orang Farisi itu adalah terletak pada unsur-unsur dalaman dan luaran. Orang-orang Farisi melihat hal-hal lahiriah tetapi Yesus melihat hati, yang adalah merupakan sumber segala kejahatan. Orang-orang Farisi menumpukan aktiviti penyempurnaan hukum tetapi Yesus melihat pada kegiatan cinta kasih dan komitmen. Orangorang Farisi melihat pada ayat-ayat hukum tetapi Yesus melihat dari segi semangatnya.

Segala peraturan dan adat kebiasaan adalah baik. Tetapi jika ianya dilaksanakan dengan semangat yang salah, ianya dapat meruntuhkan manusia itu sendiri. Inilah sebabnya mengapa Yesus menegur orangorang Farisi apabila mereka sengaja mencari-cari kesalahan muridmurid- Nya yang makan tanpa mencuci tangan.

Sebenarnya Yesus tidak menolak adat mencuci tangan itu tetapi sikap orang-orang Farisi yang suka menunjuk-nunjuk bahawa mereka itu orang suci hanya dengan mengikuti adat-adat tapi tidak menghayatinya di dalam hati.

Mungkin kita sendiri harus mengakui bahawa kadang-kadang kita pun berlagak seperti orang-orang Farisi tersebut. Kita sangka bahawa kita adalah umat Kristian yang terpuji apabila kita rajin ke gereja hari minggu, pergi menyambut Tubuh Kristus, memakai salib atau ‘medal’, ‘skapular’ dan rosari.

Bentuk-bentuk devosi seperti ini memang baik, namun ada bahayanya juga sebab boleh membawa kita hanya melaksanakan kewajiban agama secara luaran belaka.

Boleh terjadi seseorang kelihatan sangat alim, suka berdoa sebelum dan sesudah makan, baik hati, bertolak ansur tetapi kenyataannya itu semua dilakukan kerana keegoannya sahaja.

Namun jangan salah sangka, bukan saya menyatakan tidak perlu lagi ‘berdoa sebelum makan dan sesudah makan, atau ke gereja, memakai skapular dan lain-lain’. Maksud saya sesuai dengan ajaran Injil hari ini bahawa hanya dengan aksi luaran sahaja tidak akan menjadikan kita seorang yang alim.

Bernyanyi dan mengucapkan doa dengan suara yang kuat semasa Ekaristi itu penting. Begitu juga dengan menjawab, “Amin!” apabila datang menyambut Tubuh Kristus dengan suara yang kuat sehingga semua orang mendengarkannya. Tapi jika ini dibuat secara automatik tanpa tujuan dan devosi yang ikhlas, mungkin Tuhan pun dengan nada yang sinis menegur kita, “Bangsa ini memuliakan Aku dengan bibirnya saja!”

Setiap minggu hampir semua umat yang hadir dalam Ekaristi, menyambut tubuh Kristus, perkara ini sungguh membanggakan. Tapi jika kita tidak berusaha untuk mengasihi sesama kita di luar sana, bertolak ansur, murah hati dan menegakkan keadilan, maka jadilah kita orangorang Farisi yang moden.

Amalan-amalan suci bersifat luaran tidak menjamin kita menjadi alim. Tuhan menghendaki kesucian yang tidak hanya melibatkan doa sahaja tetapi perlu dilengkapi dengan sikap dan tindakan, bukan manis di bibir mulut sahaja tetapi hati yang tulus ikhlas. — JL

Total Comments:0

Name
Email
Comments