Menemui terang dengan berseru kepada Tuhan!

Injil Markus pada Hari Minggu Biasa ke-23 ini bercerita tentang penyembuhan seorang yang bisu dan tuli. Sebelumnya (Mrk 7:24-30) Markus juga mencerit

Sep 03, 2021


Hari Minggu Biasa Ke-23 (Tahun B )

YESAYA 35: 4-7A; YAKOBUS 2: 1-5.
INJIL MARKUS 7: 31-37.

Injil Markus pada Hari Minggu Biasa ke-23 ini bercerita tentang penyembuhan seorang yang bisu dan tuli. Sebelumnya (Mrk 7:24-30) Markus juga menceritakan pengusiran roh jahat/syaitan daripada seorang kanak-kanak.

Dalam kedua-dua kisah ini, Markus bukan hanya ingin menunjukkan bagaimana Yesus datang untuk menyelamatkan manusia dengan menyembuhkan orang sakit, mengusir roh jahat, namun pesan penting yang juga ingin disampaikan Markus dalam ceriteranya kepada kita ialah, bahawa Yesus mahu menyelamatkan semua orang, tanpa perbezaan!

Orang yang diusir syaitan daripada tubuhnya dan orang yang di sembuhkankan sebagai orang yang bisu dan tuli, adalah bukan orang Yahudi.

Yesus adalah penyelamat bagi semua orang tanpa perbezaan.

Tempat di mana Yesus mengusir syaitan dan menyembuhkan orang yang bisu dan tuli, iaitu di Tirus, Sidon, daerah Dekapolis — daerah orang-orang yang bukan-Yahudi.

Memang Yesus sering tidak langsung mewartakan khabar gembira kepada orang-orang bukan-Yahudi, tetapi ternyata kehadiran, perjalanan dan perjumpan-Nya di antara orangorang bukan-Yahudi juga dikenal dan bergema dalam hati ramai orang!

Pesan apa sebenarnya yang ingin disampaikan Markus kepada kita dalam Injilnya? Tidak lain tak bukan: Yesus datang untuk menolong, menyelamatkan semua orang tanpa perbezaan. Yesus adalah orang Yahudi dan Dia hanya mewartakan Injil di daerah orangorang Yahudi. Tetapi di antara penduduknya ada juga orangorang bukan-Yahudi.

Oleh itu, segala pekerjaan baik yang dilakukan-Nya ternyata tidak terbatas, dan dapat dialami oleh siapapun juga, baik Yahudi mahupun bukan-Yahudi.

Apa yang dilakukan-Nya, iaitu berbuat baik kepada sesiapapun tanpa perbezaan. Kerana itu di kemudian hari, sesudah Dia mati dan bangkit kembali, Dia memberi perintah kepada muridmurid-Nya: “Pergilah ke seluruh dunia, beritakanlah Injil kepada segala makhluk” (Mrk 16:15).

Berbuat baik kepada sesama tanpa melihat status dan keturunan ternyata merupakan pewartaan Injil (evangelisasi) yang paling baik dan berdaya guna! Sangat menarik catatan Injil yang dibuat oleh Markus ini di mana Yesus berpesan kepada orang-orang yang menyaksikan mukjizat penyembuhan yang dilakukan-Nya, supaya jangan menceritakannya kepada siapa pun juga.

Tetapi mereka tetap memberitakannya kepada orang-orang dan berseru: “Dia, Yesus, menjadikan segala yang baik!”.

Masyarakat kita sekarang mengalami banyak kemajuan, namun juga sekaligus kemunduran. Kita setiap hari melihat iklan-iklan tentang pembangunan gedung-gedung pencakar langit, kompleks bangunan yang indah serta hebat .

Penjualan dan pembelian kenderaan berkualiti tinggi terus berlangsung meskipun dilaporkan ekonomi sedang merosot.

Tetapi sekaligus juga selalu ada berita tentang bencana gempa bumi, kebakaran, nasib golongan migran dan pelarian, nasib kanak-kanak yang kurang gizi makanan dan minumannya, dan tidak mampu meneruskan sekolahnya. Belum lagi berita negatif tentang korupsi dan adanya pengaruh dadah yang tidak kunjung henti.

Inilah “pelbagai penyakit” di dunia masyarakat kita, yang harus disembuhkan. Seperti pada zaman Yesus dahulu, sekarang ini pun kita harus mewartakan Injil, bukan hanya melalui pewartaan sabda (ajaran, pendidikan, ibadat), tetapi juga melalui segenap usaha penyembuhan “penyakit-penyakit masyarakat kita” yang banyak dideritai oleh orang-orang kita sezaman dan semasyarakat.

Bukan hanya bagi orang-orang yang seagama, sekeluarga, segolongan, sejabatan atau apa pun, melainkan kepada semua orang secara tulus.

Dahulu orang-orang “takjub dan tercengang” melihat Yesus dan berseru: “Dia menjadikan segala-galanya baik, yang tuli dijadikan-Nya mendengar, yang bisu dijadikan-Nya berkatakata.”

Betapa kita pun akan bersyukur kepada Tuhan dan bergembira,apabila ucapan orang-orang itu ditujukan juga kepada kita, murid-murid Yesus!

Sri Paus Paulus VI telah menulis suatu seruan apostolik Evangelii Nuntiandi, yang mengingatkan kita bahawa tugas hakiki kita sebagai Gereja ialah mewartakan khabar gembira.

Dan Paus Fransiskus juga mengeluarkan seruan apostolik Evangelii Gaudium, yang juga mengingatkan lagi, bahawa kita harus sungguh bergembira menerima Injil Kristus sebagai khabar keselamatan rohani dan jasmani kepada kita.

Sri Paus Fransiskus juga menegaskan kegembiraan kita itu harus diteruskan kepada semua orang tanpa perbezaan, seperti yang dilaksanakan oleh Kristus sendiri.

Dengan demikian kita akan dikenali oleh masyarakat sebagai Gereja Kristus yang sungguh Katolik, ertinya sebagai persekutuan umat beriman yang berbuat baik kepada semua orang tanpa membeza-bezakan, tanpa pilih kasih! — Msgr. F.X. Hadisumarta O.Carm

Total Comments:0

Name
Email
Comments