Mengingat kembali misi pembaptisan kita

Pada 16 Oktober 2021, Bapa Uskup Bernard Paul telah melancarkan pembukaan Sinod Keuskupan bagi Keuskupan Melaka-Johor dalam perayaan Ekaristi di Gereja Immaculate Conception yang juga disiarkan secara langsung dalam talian.

Oct 22, 2021


JOHOR BAHRU:
Pada 16 Oktober 2021, Bapa Uskup Bernard Paul telah melancarkan pembukaan Sinod Keuskupan bagi Keuskupan Melaka-Johor dalam perayaan Ekaristi di Gereja Immaculate Conception yang juga disiarkan secara langsung dalam talian.

Dalam homilinya, Bapa Uskup menjelaskan tentang seruan Sri Paus Fransiskus tentang Gereja Sinodal. Uskup Bernard menyatakan bagaimana kita dapat menjadi Gereja yang berbeza sesuai dengan tuntutan Sinod, yang berjalan bersama dalam suka duka, dalam ketidakpastian, dalam skandal dan juga krisis. Gereja yang menjadi milik kita bersama dan saling memperhatikan.

Prelatus itu menekankan tiga tanda bagaimana kita boleh menjadi gereja yang berbeza: Pertama, menjadi Gereja bersinode yang mendirikan struktur-struktur untuk berjalan bersama, menjadi pemilik bersama, bukannya gereja yang tidak berfungsi.

Kedua, menjadi Gereja yang mendengar: Mendengar kepada suara Roh Kudus dan juga mendengarkan satu sama lain dengan sungguh-sungguh. Ketiga: Gereja yang menawarkan penyembuhan.

“Tiga tanda ini,” menurut Uskup Bernard, “Dapat membantu kita untuk menjadi Gereja yang berbeza khususnya apabila kita membenarkan kuasa Roh Kudus bekerja dalam kehidupan kita. Pada masa yang sama, kita juga dipanggil untuk kembali ke akar umbi kita iaitu kepada Sakramen Pembaptisan, Sabda Tuhan dan kembali kepada proses sinodal itu sendiri.

Menjadi Gereja Sinodal adalah sebuah proses pengamatan rohani yang akan membantu kita untuk mengalami pembaharuan dan perubahan. Gereja yang terbuka kepada suara-suara dalam Keuskupan yang terabai agar mereka juga dapat diberi perhatian dan didengar.

Pada akhir homilinya, Bapa Uskup menjemput setiap umat agar memiliki sikap seorang hamba Tuhan yang sedia untk berkorban dan siap untuk minum dari cawan penderitaan dan akhirnya untuk mengalami kekuatan ini, kita perlu memiliki kedekatan dalam hubungn kita dengan Tuhan.

Sebelum pelancaran Sinod di peringkat Keuskupan, sesi taklimat secara menyeluruh telah disampaikan oleh Fr. Moses Rayappan selaku Ketua Tim Sinod Keuskupan pada 7 Oktober 2021.

Pada minggu berikutnya pula, sesi taklimat mengikut kumpulan bahasa telah diadakan pada 11-14 Okt yang disampaikan oleh Fr. Moses Rayappan, Msgr. Peter Ng dan Sr. Magdalena Kopong, Fsic. – Oleh Tim Sinod Keuskupan Melaka-Johor

Total Comments:0

Name
Email
Comments