Menjadi rakan Tuhan membangun masyarakat damai Malaysia

Perutusan Uskup Agung Simon Poh sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021

Aug 28, 2021

Saudara-saudari yang dikasihi dalam Tuhan,

Kita meraikan peristiwa-peristiwa yang signifikan dalam masa beberapa bulan ini bagi Sarawak dan Malaysia.

--Pada 22 Julai, kita menyambut Hari Kemerdekaan Sarawak. 

--Pada 31 Ogos, Malaysia akan meraikan Hari Kebangsaan.

--Pada 16 September akan datang, kita akan menyambut Hari Malaysia untuk memperingati hari Sarawak, Sabah dan Singapura sebagai negara-negara berdaulat, menyertai Malaya untuk membentuk Malaysia. Nama “Malaysia” diguna pakai pada 1963 apabila negeri-negeri sedia ada dalam Persekutuan Tanah Melayu, bersama Singapura, Borneo Utara dan Sarawak membentuk persekutuan baharu. Satu teori tentang pemilihan nama Malaysia ialah “si” melambangkan penggabungan Singapura, Borneo Utara Sabah dan Sarawak dengan Malaya. Walau apa pun, pada 16 September 1963, sebuah negara baharu dipanggil Malaysia dilahirkan.

Sebagai orang Kristian yang tinggal di Malaysia selepas 58 tahun, satu soalan yang berkaitan adalah, “Sebagai warga negara, apakah peranan kita sebagai orang Kristian dan Gereja di Malaysia pada hari ini?” Dalam masa beberapa bulan ini di mana kita meraikan pembinaan negara bangsa kita, saya ingin membahagikan renungan saya tentang kewajipan kita kepada Tuhan dan kepada negara kita, Malaysia.

1.Berdoa bagi Negara dan Para Pemimpin Kita
Tugas pertama orang Kristian untuk negaranya adalah berdoa. Rasul Paulus menulis, “Maka itu, pertama sekali, saya menggesa agar permohonan, doa syafaat dan ucapan syukur dipanjatkan bagi semua, bagi rajaraja dan semua pembesar, agar kita dapat menjalani kehidupan yang tenang dan tenteram, soleh dan hormat dalam segalanya!”

(1 Timotius 2:1–2). Ia adalah penting untuk mengambil kira bahawa pada Abad Pertama, Maharaja menindas orang Kristian, namun Paulus tidak meminta mereka menggunakan kaedah yang ganas untuk melawan balik. Sebaliknya, dia menyeru kepada semua orang percaya untuk berdoa setiap hari dan meminta Tuhan mengubah keadaan dengan doa dan tindakan yang akan pada akhirnya menjurus kepada kedamaian dan kemenangan kebaikan ke atas kejahatan.

Maka itu orang Kristian dipanggil untuk menjadi “garam bumi” dan “cahaya dunia” (Matius 5:13–14) dengan membawa nilainilai yang mengubah masyarakat. Semua nilai manusiawi yang tulen dapat dijumpai dalam ajaran Injil.

Dalam doa, kita diseru untuk datang dengan rendah hati kepada Tuhan kita dan berdoa untuk negara dan para pemimpin kita—baik politik mahupun rohani. Tuhan menjanjikan itu “dan maka itu, jika umat Aku yang atasnya nama-Ku disebut merendahkan diri, berdoa dan mencari wajah-Ku, lalu berbalik daripada jalan-jalannya yang jahat, maka Aku akan mendengar dari syurga dan mengampuni dosa mereka, serta memulihkan negeri mereka.” (2 Tawarikh 7:14)

2. Daftar Diri Sebagai Pengundi dan Mengundi
Dalam kerajaan yang demokratik, kebebasan untuk memilih para pemimpin menerusi pengundian merupakan hak setiap warga negara. Untuk mengundi bermaksud untuk berdiri dan diambil kira. Maka itu, pendaftaran untuk pengundi merupakan satu tanggungjawab yang semula jadi sebagai seorang warga Kristian yang sudah mencapai usia mengundi. Tuhan telah mengamanahkan penjagaan ini kepada kita sebagai hambaNya yang taat untuk bekerja demi kebaikan Negara kita dan Gereja pada umumnya. Ini bukan bermaksud bahawa kita mengundi dengan membabi-buta atau menurut populariti seseorang calon. Setiap Kristian harus mencari ilmu pengetahuan untuk mengetahui dengan baik tentang visi parti politik dan ahli politik. Dalam Keluaran 18:16–22, apabila Musa memerlukan para pemimpin untuk membantunya memerintah rakyat, Tuhan meminta Musa memilih lelaki-lelaki dengan kualiti-kualiti ini.

-- Keupayaan dalam kepimpinan. 
--Kealiman dan sentiasa berusaha untuk menjalin perhubungan yang betul dengan Tuhan. 
--Boleh dipercayai. 
-- Integriti supaya mereka tidak dapat disogok.
--Para pemimpin yang saksama.

Maka itu, kita mencari kualiti-kualiti di atas dalam para pemimpin kita. Setiap warga negara perlu mengundi menurut nurani hatinya di hadapan Tuhan. Justeru, kita mahu memilih para pemimpin yang alim dan dapat memastikan kebaikan rakyat yang berbagai kaum, agama dan kedudukan sosial.

Sementara ia adalah penting bagi kita untuk menuntut kualiti-kualiti sedemikian daripada para pemimpin rohani atau politik kita, marilah kita juga mengingatkan diri tentang pedang bermata dua ini.

Setiap orang Kristian diseru untuk mencapai kualiti-kualiti ini sebagai sebahagian daripada kepimpinan dan penjagaan kita dalam setiap keluarga, tempat kerja dan kepimpinan kita, di mana kita telah diamanahkan.

Apabila kita dengan ikhlas “cari kerajaan Tuhan dan kebenaran-Nya (perhubungan yang betul dengan Tuhan dan sesama), maka semua perkara lain yang kita perlukan akan diberikan kepada kita juga”. (Mat 6:33)

“Berikanlah kepada Kaisar apa yang kamu wajib berikan kepada Kaisar, dan kepada Tuhan apa kamu wajib berikan kepada Tuhan.” (Matius 22:15–22)

Yesus mengajar kita bahawa sebagai warga negara yang tinggal di sesebuah negara, kita memberikan kepada kerajaan kita apa yang wajib diberikan kepadanya. Pada masa yang sama, sebagai umat yang dikasihi Tuhan, kita mesti memberikan kepada Tuhan apa yang wajib diberikan kepada-Nya—ibadat kita, masa kita, bakat, harta karun dan amalan yang baik. Sebagai penjaga yang baik, kita mesti menjadi rakan Tuhan dalam usaha untuk mewujudkan dunia penuh kasih, kedamaian, keadilan dan kelimpahan bagi semua.

--Bayar cukai kita yang sepatutnya kepada kerajaan yang kita pilih. (Roma 13:7)

--Bertanggungjawab dan telus dalam urusan kita. (Lukas 3:13–14) 

--Bertanggungjawab bagi ekologi yang Tuhan telah cipta. Tuhan mengamanahkan kita untuk menjadi para penjaga-Nya di bumi ini. Secara konkrit, kita berusaha untuk mengurangkan tapak kaki karbon dioksida. Kita menggunakan produk tempatan untuk merangsang ekonomi tempatan. Kita mengurangkan pengambilan daging dan penggunaan produk plastik. 

--Dermalah untuk mengurangkan penderitaan terutamanya pada waktu pandemik sekarang. Berikanlah kepada Catholic Welfare Services (CWS), Society of St Vincent de Paul (SSVP) atau badan kebajikan yang diiktiraf untuk mengurangkan kemiskinan. 

--Derma darah untuk menyelamatkan nyawa warga senegara. 

--Berdoa untuk negara kita dan dunia. Sebagai orang Kristian yang meraikan Hari Sarawak, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, semoga doa-doa, pengorbanan, komitmen dan tindakan kita dalam kerjasama demi kebaikan semua manusia dan ekologi dapat membina solidariti, keharmonian, penerimaan antara satu sama lain, dan rasa hormat di tanahair kita.

“Hendaklah cahayamu bersinar di depan orang lain; supaya mereka melihat perbuatanmu yang baik dan memberi pujian kepada Bapa kamu di syurga.” (Matius 5:16) Dengan berkat dan doa saya.




Total Comments:0

Name
Email
Comments