Menyantuni pelajar SPM dan STPM bersama Dr Jerome

Pertama kali dalam sejarah, peperiksaan SPM dan STPM tertangguh akibat Pandemik COVID-19.

Mar 12, 2021

KENINGAU: Pertama kali dalam sejarah, peperiksaan SPM dan STPM tertangguh akibat Pandemik COVID-19. Pelajar yang menduduki peperiksaan SPM dan STPM 2020 terpaksa menduduki peperiksaan itu pada bulan Februari 2021 lalu. Keadaan krisis kesihatan yang tidak menentu menyebabkan para guru, ibu bapa dan pelajar mudah berasa bimbang kerana hal ini tidak pernah terjadi sebelumnya.

Bagi memberi semangat kepada para pelajar SPM dan STPM 2020, Radio Online Kekitaan FM telah mengambil inisiatif untuk menjemput Dr Jerome Jollie, Pengerusi Komiti Pendidikan Katedral St Francis Xavier untuk memberikan motivasi kepada para pelajar yang terlibat.

Dr Jerome, sebelum ke IPG Keningau, merupakan pendidik di beberapa buah sekolah sekitar Keningau. Beliau sempat mengongsikan kisahnya semasa kecil yang bersekolah di Sekolah Cina dan selalu mendapat tempat paling 'belakang'. Namun Dr Jerome tidak mahu terus berada di tangga terbawah, dengan bantuan guru dan perubahan paradigma, beliau berjaya membuktikan “murid yang selalu nombor ‘uncit itu’ boleh menjadi cemerlang dan gemilang. 

DJ Pirut dalam Segmen Gema Keuskupan menampilkan topik "Menyantuni Pelajar SPM dan STPM 2020" dengan tetamu jemputan, Dr Jerome Jolly. Dr Jerome juga merupakan pensyarah dan Ketua Jabatan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di Institut Pergurugan Keningau serta terkenal sebagai penceramah rohani jemputan khususnya Seminar Hidup Baru Dalam Roh, bukan sahaja di Sabah, malah di luar Sabah dan denominasi gereja lain.

“Menyantuni” bermaksud memberi motivasi, kata-kata semangat dan sokongan kepada para pelajar SPM dan STPM. Peperiksaan nasional itu sudah berlalu namun apa yang dikatakan oleh Dr Jerome amat baik untuk dibaca dan direnungkan oleh calon pelajar SPM dan STPM seterusnya.

Berikut merupakan petikan kata-kata motivasi dari Dr Jerome: 

––Gereja melalui Komiti Pendidikan sentiasa memberi ruang,  memberi semangat kepada pelajar Katolik. Oleh itu Misa Kudus untuk pelajar yang menghadapi peperiksaan diadakan. Ini membuktikan Gereja prihatin dan menghormati perjuangan para pelajar.  

––Ada pelajar yang mengalami kesedihan kerana rencana mereka mungkin terpaksa diubah akibat pandemik. Namun, apa yang sedang didoakan pasti dalam karya Tuhan, Dia mendengar apa yang kamu doakan dan pada waktuNya, Dia pasti mengabulkannya. 

––Setiap orang pasti mengalami masa sukar, kepahitan,kekecewaan, kesukaran dalam kewangan ... percayalah, pada akhirnya, dengan iman,  semua akan baik-baik sahaja. 

––Give up atau GET UP. Jangan cepat menyerah! Dengan bangkit (GET UP), kita menghancurkan rasa kecewa dan putus asa. Ada  perkara yang kita tidak dapat kawal dan tidak dapat ubah. Kita perlu terima seikhlasnya apa yang tidak dapat kawal, dan jika kita gagal, bangkit semula, memaafkan diri dan jangan menyalahkan guru atau keluarga sebaliknya memaafkan orang-orang sekeliling dan dirimu sendiri. 

––Melangkah dengan kesabaran. Tetap senyum kerana Tuhan tahu segala-galanya.

–– Selalu bersyukur. Pandemik menyebabkan kehidupan kita terkongkong dan terbatas. Tetapi ia juga memberi pengalaman unik misalnya dapat merasai pengalaman belajar atas talian. 

––Belajar bukan sahaja untuk lulus peperiksaan. Setiap kehidupan ada peperiksaan atau ujian. Selesaikan tanggungjawab anda sebagai pelajar dengan selalu berdoa dan akrab dengan Bapa di Syurga. 

––Lebih baik menderita semasa  dalam persiapan peperiksaan daripada menderita selama-lamanya kerana menyesal. 

––Jangan malu bertanya kepada guru jika ada masalah dalam pelajaran. Para guru adalah terlatih dan pakar. Mereka pasti sentiasa membantu. 

––Masalah lupa - atasinya dengan terus mengulangkaji, berlatih sehingga pandai, kurangkan masa membaca atau mengupdate status di FB, Tiktok dan sebagainya. 

––Bulatkan tekad - fokus. Kekalkan semangat

––Kehebatan pelajar bukan pada penampilan atau terkenal di media sosial tetapi terletak pada prestasi! 

––Ubah cara fikir. Cara fikir yang negatif harus dikikis. Fikiran yang tertutup mudah diserang kuasa jahat. "Kuatkanlah dirimu dengan rahmat-Nya yang menjadi milik kita, kerana kita bersatu dengan Kristus Yesus." (2 Tim 2: 1.)

Total Comments:0

Name
Email
Comments