Misi jangkau umat hingga ke kampung terpencil

Lawatan Komiti Katekis bersama Fr David Mamat, Paderi Paroki St Anthony Tenom ke Kg Korolok baru-baru ini telah berjalan dengan jayanya

Sep 30, 2016

KEMABONG: Lawatan Komiti Katekis bersama Fr David Mamat, Paderi Paroki St Anthony Tenom ke Kg Korolok baru-baru ini telah berjalan dengan jayanya. Tujuan lawatan ini adalah untuk memberikan Sakramen Inisiasi kepada umat di Kg Korolok.

Sepanjang setahun para Katekis bergilir-gilir ke Kg Korolok, iaitu pada hari Jumaat dan Sabtu, untuk memberi sesi pembelajaran kepada umat Korolok.

Kg Korolok terletak di Mukim Rundum. Kampung terpencil ini masih mempunyai masalah bekalan elektrik dan jalan raya yang belum dinaik taraf. Jarak 123KM dari Kg Korolok ke Gereja Mision Kemabong dan terpaksa melalui jalan kayu balak, menyukarkan ramai umat di sini untuk menyertai perayaan Misa.

Sempena Tahun Belas Kasihan, sehari sebelum kunjungan paderi, Komiti Katekis dan Komiti Kateketikal, terlebih dahulu berada di Kg Korolok untuk memberi rekoleksi singkat kepada calon baptis.

Apabila rombongan paderi tiba, sesi pertama yang diadakan ialah temuduga bagi umat yang bakal menerima Sakramen Perkahwinan.

Pada waktu petangnya, Fr David memimpin Misa Kudus dan 68 orang Katekumen telah menerima Sakramen-sakramen Inisiasi.

Fr David di dalam homilinya mengongsikan tentang cabarancabaran menjadi seorang Katolik, dan memilih menjadi Katolik bukan perkara yang dipandang ringan. Paderi itu juga memberi peluang kepada umat yang belum bersedia menjadi Katolik untuk menarik diri, ini kerana menjadi Katolik bukanlah satu paksaan. Beliau juga menegaskan, bukan kuantiti yang diperlukan dalam mengimani agama tetapi kualiti yang dititik beratkan.

Selepas Misa, majlis kesyukuran bagi meraikan baptisan baru diteruskan. Sebelum rombongan Paderi kembali pada keesokan harinya, sekali lagi Fr David memimpin Perayaan Ekaristi pada waktu pagi. Upacan tahniah diberikan kepada para calon baptis, para Katekis, Komiti Kateketikal, KWK, MPM dan semua umat yang turut serta dalam menjayakan misi itu selama setahun.

Turut menyampaikan ucapan ialah En. Sigoh Matius, Pengerusi KUK Kg Korolok, mengucapkan rasa syukur di atas kejayaan misi itu. Beliau juga berbesar hati mendermakan tapak tanah berdekatan rumahnya untuk dibina sebuah Gereja

Total Comments:0

Name
Email
Comments