Msgr Nicholas ajak umat saling mendoakan kesejahteraan bersama

Msgr Nicholas ajak umat saling mendoakan kesejahteraan bersama

Jul 13, 2018

TAWAU: Hari Paroki Holy Trinity Tawau telah dirayakan agak lewat dari tarikh sebenar namun matlamat perayaan iaitu merayakan iman dan menghormati Tuhan Tritunggal tetap meresapi semangat para umat di paroki tersebut.

Hari Paroki dan Hari Keluarga dirayakan serentak pada 24 Jun lalu. Lebih 800 umat menghadiri perayaan Ekaristi yang dipimpin oleh Msgr Nicholas Ong dan dibantu oleh Fr Sunny Chung.

Dalam homilinya, Msgr Nicholas menyentuh tentang peranan umat dibaptis sebagai saksi Khabar Gembira. Memetik petikan Injil pada hari tersebut iaitu Pesta Kelahiran Sto Yohanes, Msgr Nicholas mengatakan Sto Yohanes adalah orang yang dipilih dan mempersiapkan jalan bagi Sang Mesias kepada orang-orang Yahudi dan bukan Yahudi.

Seperti Tuhan yang mengurapi Sto Yohanes untuk membawa semua orang bertobat dan kembali kepada Tuhan, Msgr Nicholas mengulangi bahawa, kita, umat beriman adalah diutus untuk menjadi alat kepada Kristus, membawa mereka yang tidak mengenal Tuhan untuk percaya kepada Yesus, Anak Domba Tuhan.

Sempena dua perayaan penting itu juga, Msgr Nicholas juga menekankan kepentingan kesatuan tanpa mengira status, bangsa dan budaya.

“Kita adalah umat yang dipilih dan menerima penyelamatan Tuhan, oleh itu, kita harus hidup bersatu dengan orang lain. Jadilah pencinta damai, penyatu antara umat, jadilah terang dan garam dunia, menerima, menyokong dan memperlihatkan semangat solidariti kita. Dengan sentiasa prihatin dan mengutamakan persaudaraan, Kristus dapat hadir di tengah-tengah kita.”

Selepas perayaan Ekatisti, semua umat beredar ke Kantin Paroki sempena jualan Baazar dan menyaksikan acara-acara Perayaan Hari Keluarga yang hebathebat belaka.

Semasa para paderi dan umat menuju ke dewan, mereka disambut oleh para penari tradisional Indonesia dari Komuniti St Thomas Bombala.

Di dewan, program diawali dengan doa oleh Msgr Nicholas, disusuli upacara memotong kek berama para paderi, religius dan ahli-ahli MPP.

Kemudian, para tetamu menonton tayangan video perjalanan iman Paroki Holy Trinity Tawau, yang berdurasi 13 minit, di mana ia disediakan oleh Komiti Pelayanan Sosial dan Komunikasi Paroki Holy Trinity.

Pihak penganjur juga telah menyediakan beberapa permainan untuk kanakkanak, remaja dan dewasa serta beberapa persembahan menarik.

Perayaan berakhir pada jam 2.30 petang dengan oda penutup yang dipimpin oleh Fr Sunny.

Total Comments:0

Name
Email
Comments