Paderi dan Sheikh bincang perpaduan dalam kepelbagaian

Bernama News Channel telah menyiarkan segmen temu ramah Inspirasi Pagi iaitu “Perpaduan Malaysia-Bersatu Dalam Kepelbagaian” di dalam rancangannya NINE 11 pada 18 Sept lalu.

Oct 13, 2017

KUALA LUMPUR: Bernama News Channel telah menyiarkan segmen temu ramah Inspirasi Pagi iaitu “Perpaduan Malaysia-Bersatu Dalam Kepelbagaian” di dalam rancangannya NINE 11 pada 18 Sept lalu.

Temu ramah itu menampilkan Sheikh Imran Angullia Al-Hafidz dan Fr Edward Rayappan sebagai para panel.

Sempena Sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia anjuran Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Februari lalu, para panel ditanya tentang pandangan mereka mengenai usaha kerajaan tersebut dan bagaimana penyatuan dalam kepelbagaian antara agama itu boleh dilakukan.

Sheikh Imran yang mewakili Pertubuhan Kebajikan Erth Ul Mustafa Johor Bahru menyatakan bahawa antara usaha yang dilakukan antara penganut agama adalah kembali kepada satu suara iaitu suara penyatuan umat manusia, kemanusiaan di mana kita semua hidup berjiran secara bersama-sama. Beliau menerangkan tentang kolaborasi dengan Gereja Katedral Hati Kudus Yesus, Johor Bahru. Melihat kepada situasi semasa di mana orang ramai terjebak dalam mempergaduhkan hal agama bukanlah cara yang baik.

Father Edward Rayappan merupakan Paderi Paroki bagi Gereja Katedral Hati Kudus Yesus, Johor Bahru dan merangkap Pengarah Pelayanan Keuskupan Bagi Ekumenikal dan Hal Ehwal Agama menyokong inisiatif kerajaan sebagai sesuatu yang bagus.

Bagi beliau, di Malaysia kita hidup berharmoni. Justeru, beliau menyarankan agar rakyat Malaysia melihat satu sama lain sebagai aset dan bukannya ancaman. Ujarnya lagi, jika memandang sesama sebagai aset yang berpotensi membangunkan negara maka ianya akan mendatangkan keharmonian. Idea “World Interfaith Harmony Week” yang diperkenalkan di peringkat dunia sewajarnya diteruskan di peringkat kebangsaan. Dari pihak Fr Edward pula, dia sudah memulakan inisiatif kolaborasi bersama Sheikh Imran dan NGO lain untuk keharmonian antara agama.

Temu ramah diteruskan lagi dengan bagaimana usaha untuk mendekatkan masyarakat ke arah perpaduan. Sheikh Imran menyatakan bahawa inisiatif telah digiatkan sejak dua tahun lalu bahawa masyarakat perlu disuaikan pemahaman mereka bahawa apabila dua pemimpin berlainan agama duduk bersama ia bukanlah suatu perdebatkan melainkan lebih menjurus kepada kerjasama dan perbincangan antara agama. Dan umat awam diberi peluang untuk bertanyakan soalan dengan hormat, oleh itu sebagai agamawan, tidak perlu rasa kekok untuk menjelaskan pegangan agama masingmasing. Ini sangat penting bagi meleraikan salah faham masyarakat terhadap agama tersebut.

Katanya lagi, amat baik jika pemimpin agama Islam dan pemimpin agama bukan Islam dilihat duduk dan berbincang bersama kerana ini akan dijadikan contoh kepada masyarakat serta mengurangkan jurang sensitiviti dan prejudis dalam masyarakat.

Fr Edward pula diajukan soalan tentang entiti serta sikap tidak enak yang ditimbulkan oleh segelintir masyarakat di media yang juga dilihat dapat memecahbelahkan perpaduan. Jawab Fr Edward, perkara itu tidak dapat dielakkan kerana di mana sahaja akan ada saja orang mendatangkan masalah. Fr Edward mencadangkan agar sumber daripada pihak pertama adalah lebih baik daripada pihak ketiga. Media berperanan penting untuk menyatupadukan masyarakat. Keperluan memberikan maklumat yang neutral disarankan agar tidak memihak segelintir masyarakat sahaja.

Selain itu, Fr Edward juga berkongsi mengenai pengalamannya bekerjasama dengan Sheikh Imran selama hampir dua tahun antaranya projek untuk membantu pelarian Rohingya dan bagaimana Gereja Katolik boleh membantu dan mengumpul dana serta melakukan projek secara bersama. Mereka berdua juga terlibat dalam program antara agama yang dinamakan “Sembang Harmoni the Series” anjuran Hidayah Centre Johor. Dan kemuncak dialog Sembang Harmoni terbesar antara Sheikh Imran dan Fr Edward adalah ketika di UTM pada April 2017 yang bertajuk "Berilmu dan Beragama" yang turut mendapat sokongan daripada Jabatan Agama Negeri Johor.

Untuk menonton keseluruhan temu ramah ini, ianya boleh dicari di laman Youtube dengan tajuk "NINE 11 ISNIN 18 September 2017 Sheikh Imran Angullia Dan Fr Edward Rayappan" menerusi pautan https://youtu.be/pWyx7- o8OaU.--Calvin Ohsey

Total Comments:0

Name
Email
Comments