Para klerus Sabah, Sarawak terima vaksin cegah penularan COVID-19

Uskup Agung John Wong berterima kasih kepada tim perubatan kerana menganjurkan program vaksin khas untuk para biarawati Kamerlit dan para klerus.

Jun 18, 2021

Para klerus merupakan golongan berisiko tinggi mendapat jangkitan Covid-19 kerana tugas pelayanan mereka dalam memberi pengurapan, pengakuan, pengebumian dan banyak lagi  yang melibatkan ramai orang.

Di Sabah dan Sarawak, para paderi dan Uskup/Agung menjadi teladan kepada para umat beriman di mana mereka menerima vaksin Covid-19 malah sebahagian mereka sudah  lengkap menerima dos kedua vaksin pada awal bulan Mei dan Jun.

Berikut merupakan berita singkat dari pelbagai keuskupan/agung di Malaysia Timur:

                                                          Sarawak

KUCHING: Lebih separuh paderi  di Keuskupan Agung Kuching telah  menerima vaksin Covid-19. Mereka menerima vaksinasi di paroki  masing-masing, kata Uskup Agung  Simon Poh. 

“Secara umumnya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri  Sarawak (SDMC) dan Unit Agama Lain (UNIFOR) mengatakan bahawa para pemimpin pelbagai agama, pastor dan paderi serta mereka yang terlibat dalam pengebumian dan  pemakaman, adalah golongan berpotensi tinggi mencetuskan kluster. Oleh itu, para paderi masing-masing  berusaha dan mengadakan program vaksinasi khususnya di luar banda,”  jelas prelatus itu lagi.

Gereja di Kuching juga membantu merekrut sukarelawan untuk  berkhidmat di pusat vaksinasi. Laman web kami mempunyai pautan untuk mendapatkan sukarelawan  bagi Bulan Sabit Merah dan Hospital Umum Sarawak.



Persatuan Gereja-gereja di  Sarawak (ACS) juga menawarkan Pusat vaksinasi kami dan akan meminta sukarelawan untuk berkhidmat, ujar Uskup Agung Poh yang  juga ketua ACS.

Uskup Agung Poh juga telah menawarkan Pusat Katolik St Lukas di Kota Padawan untuk digunakan  sebagai pusat vaksinasi sekiranya  diperlukan. Ini dikhususkan untuk penduduk kampung.

Di Sibu, para paderi di Keuskupan ini mengambil langkah positif  menerima vaksin Covid-19 untuk melindungi diri dan masyarakat. Kebanyakan mereka menerima vaksin sekitar awal bulan Mei dan  menerima dos kedua pada akhir bulan Mei atau Jun. 

Malah Uskup Emeritus Dominic  Su juga telah lengkap menerima  dua dos vaksin Covid-19. Uskup Joseph Hii juga bakal menerima vaksin tidak lama lagi. Antara paderi  yang sudah menerima vaksin ialah Fr Fabian Kong dan Fr James Ting  dari paroki Sarikei, Fr Philip Obaso dari paroki Kapit, Fr Paul Ling Keh  Yiing, pensyarah di Kolej Seminari  Sto Petrus, dua orang Paderi Kapusin yang melayani di Keuskupan  Sibu iaitu Fr Raphael Samosir dan Fr Rawi Alexander, paderi Redemtorist yang melayani di Keuskupan  Sibu iaitu Fr Cruzito Manding, Fr Joseph Sebastian dari paroki Mukah, Fr Ivan Fang MHM of St Joseph's Mission Animation Centre  dan Fr Philip Hu dari Katedral Sacred Heart, Sibu.

Lokasi paroki-paroki di Keusupan Miri agak berjauhan. Oleh itu, sukar bagi para paderi untuk berkumpul dan mendapatkan vaksin pada masa yang sama. Walaupun permohonan telah diajukan kepada pemerintah agar vaksin diberikan kepada semua  anggota paderi tetapi keuskupan belum mendapat balasan. Tanpa menunggu dan disebabkan oleh keadaan yang mendesak, beberapa paderi  telah menerima vaksin.



                                                               Sabah

KOTA KINABALU: Uskup Agung John Wong berterima kasih  kepada tim perubatan kerana menganjurkan program vaksin khas untuk para biarawati Kamerlit dan para klerus. 

Prelatus itu juga mengingatkan para umat beriman agar “stay  home, stay safe and stay healthy”  serta menasihati mereka agar segera mendapatkan vaksin covid-19. “Jika anda sudah mendapat temujanji, pergilah segeralah  mendapatkan vaksin, jika belum  mendaftar, daftarlah segera. Ini  adalah untuk keselamatan diri  anda dan orang-orang yang anda  kasihhi. Cintai diri anda sendiri  dan cintai orang lain.”

Prihatin dengan respon orang  ramai yang masih ragu-ragu menerima vaksin, Fr Johnny Raju,  pembantu Paderi Paroki Nativity Terawi, menyakinkan umat bahawa, “Vaksin adalah pemberian  dari Tuhan, sama seperti ubat yang  merupakan antidot kepada setiap  penyakit dan kita perlu menerima  vaksin bagi membendung penularan Covid-19,” ujarnya. 

Uskup Sandakan, Julius Dusin  Gitom telah lengkap menerima  dua dos Covid-19 pada 4 Mei dan 30 Mei lalu. Kebanyakan para  klerus di Keuskupan Sandakan telah menerima vaksin Covid-19. 

Antara mereka ialah Msgr Nicholas Ong dan Fr Stanley Matakim  dari paroki Tawau, para paderi dari  paroki Lahad Datu iaitu Fr Simon  Kuntou dan Fr Marcelinus Pongking, Fr Christopher Ireneus dari paroki Telupid, para paderi di Katedral St Mary iaitu Fr David Garaman, Fr Stephen Esguerra dan Fr  Thomas Makajil. 

Fr Stanley ketika dihubungi  mengatakan beliau tidak mengalami sebarang alahan atau masalah  kesihatan selepas menerima dos  pertama covid-19 pada 25 Mei dan  akan menerima dos kedua pada 16 Jun. 

Melalui media sosial Facebooknya, Fr Stanley juga menggesa umat beriman agar jangan  bertangguh untuk mendapatkan  vaksin Covid-19. “Jika anda berasa takut, berdoalah dan bacalah  maklumat yang benar mengenai  vaksin Covid-19,” tulisnya yang  melampirkan beberapa keping  gambar sebagai bukti beliau sudah  menerima vaksin Covid-19. 

Di Keuskupan Keningau, Uskup  Cornleius, para paderi Paroki Katedral St Francis Xavier, Tambunan  dan Sook, telah pun menerima dos  pertama dan kedua pada awal bulan Mei dan Jun. 

Manakala para paderi di pedalaman bawah iaitu Fr Benedict Daulis dari Paroki Membakut, Fr Bede dan Fr Wilfred James dari Paroki  Beaufort serta Fr Clement dan Fr  Claudius dari Paroki Kuala Penyu  juga telah menerima vaksin COVID-19.

Total Comments:0

Name
Email
Comments