Penubuhan KWK di Mision Paitan

Hampir 100 ahli Kerasulan Wanita Katolik (KWK) Keuskupan Sandakan telah mengadakan lawatan ke St. Francis Assisi, Sukang, Paitan pada 9 Julai lalu

Aug 05, 2017

SANDAKAN: Hampir 100 ahli Kerasulan Wanita Katolik (KWK) Keuskupan Sandakan telah mengadakan lawatan ke St. Francis Assisi, Sukang, Paitan pada 9 Julai lalu.

Rombongan ini turut disertai oleh perwakilan wanita Katolik dari Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Telupid dan Beluran. Lawatan ini merupakan antara acara besar KWK. Turut menyertai lawatan ini ialah Sr Appollonia Gumpu FSIC dan Ketua Penyelaras Keuskupan Sandakan, Puan Cecelia D’Souza.

Objektif utama lawatan ini ialah bersuai kenal dan beramah mesra antara satu sama lain. Selain itu juga bertujuan menubuhkan Kerasulan Wanita Katolik di St. Francis Assisi, Sukang.

Setibanya di Sukang, En. Willie selaku Pengerusi Komiti Umat Katolik Paitan telah mengalu-alukan kedatangan rombongan KWK. Seterusnya para KWK dan umat, menyertai Misa Kudus yang dipimpin oleh Fr Thomas Majakil selaku Paderi Mision Paitan.

Pada akhir Misa, Puan Cecelia menyampaikan ucapan di mana beliau berterima kasih kepada semua ahli KWK di St. Francis atas kesudian serta layanan mesra yang diberikan kepada semua ahli yang datang melawat.

Puan Cecelia juga mengucapkan terima kasih kepada Fr Thomas kerana merayakan Misa dan mengalu-alukan rombongan besar KWK ke St. Francis of Asissi, Sukang.

Fr Thomas di dalam ucapannya berkata, “Lawatan ini telah membuka mata umat di sini terutama kaum wanita. Saya percaya mereka terinspirasi untuk melayani Tuhan semampu dan sebaik mungkin.”

Selepas Misa Kudus, semua ahli KWK dijemput ke dewan untuk mendengar penjelasan garis panduan KWK yang disampaikan oleh Puan Cecelia.

Pada masa yang sama, KWK induk Misi Paitan berjaya ditubuhkan dengan melantik Puan Suzie Paulus selaku Pengerusi KWK Paitan.

Selepas itu, acara diteruskan dengan makan tengah hari dan sesi penyampaian cendera hati kepada Fr Thomas. Acara diakhiri dengan persembahan tarian tradisi dan semua ahli dipelawa untuk menari bersama. Lawatan berakhir pada jam 2.30 petang.

Gereja St Francis Assisi, Sukang, telah diberkati dan dirasmikan pada 16 Januari 2011. Mision Paitan di bawah naungan Katedral St Mary, mempunyai 14 chapel.

Melihat pertambahan umat beriman dan keperluan rohani mendesak di kawasan ini, Uskup Julius Dusin Gitom telah melantik Fr Thomas Makajil sebagai Paderi Paroki Mision Paitan. Gereja sentiasa prihatin dengan keperluan-keperluan umat Katolik yang semakin bertambah di Mision ini.

Di bawah bimbingan Paderi Mision Paitan dan Jawatankuasa Mision Paitan (PMC), pembangunan iman dan cabaran dalam pelaksanaan pastoral di mision ini sentiasa dipantau serta diberi perhatian serius.--Cecelia D’Souza, dospo

Total Comments:0

Name
Email
Comments