Pertemuan AYC dengan para pemimpin belia di SHC

Belia dan Gereja sinodal yang menyertai, bermisi dan berpartisipatif

Jul 01, 2022


KOTA KINABALU:
Bertindak balas terhadap seruan Bapa Suci untuk sebuah gereja sinodal, Komisi Belia Keuskupan Agung Kota Kinabalu (AYC) telah melakukan lawatan pastoral ke paroki-paroki di Keuskupan Agung Kota Kinabalu.

Setelah tertangguh akibat COVID-19, akhirnya pada 4 Jun lalu, AYC berkesempatan mengunjungi paroki Katedral Sacred Heart (SHC).

Tiga perwakilan AYC, Sr Terry Loukang FSIC, Sr Dora Obod FSIC dan Caroline Juanis disambut oleh 19 pemimpin belia paroki bersama paderi paroki SHC, Fr Paul Lo.

Acara dimulakan dengan pentakhtaan Alkitab, diikuti pewartaan Injil dan refleksi yang disampaikan oleh Fr Paul.

Dalam ucapannya kepada pemimpin belia, Fr Paul mengakui bahawa aktiviti belia terhenti selama dua tahun akibat pandemik. Dengan beralihnya ke fasa endemik, aktiviti fizikal perlahan-lahan dilakukan semula.

Fr Paul juga menekankan tentang kepentingan golongan muda dalam misi. Tegasnya, “Misi adalah berdasarkan apa yang Tuhan panggil untuk kita lakukan dengan dorongan Roh Kudus; ia bukan berdasarkan perasaan kita.”

Paderi itu mengakhiri renungannya dengan menggalakkan para pemimpin belia agar sentiasa “melakukan apa yang dikehendaki oleh Yesus” dan sentiasa meluangkan masa dalam doa dan mendengar Firman Tuhan.

Seterusnya para pemimpin belia menonton video sejarah Komisi Belia Keuskupan Agung KK.

Ini membuka kesempatan kepada setiap pemimpin untuk berkongsi tentang apa yang mereka rasa selepas menonton video itu, serta tentang suka dan duka mereka semasa melayani dalam kerasulan belia.

Ramai yang mengongsikan bahawa video itu mendorong mereka untuk bersyukur dan menyedari bahawa pelayanan belia di Keuskupan Kota Kinabalu diinspirasikan untuk kaum muda, kerana sebagai anak muda pada satu ketika, telah menyahut gerakan Roh Kudus dan panggilan Tuhan.

Pagi itu diluangkan untuk mendengar dan berkongsi antara satu sama lain. Para pemimpin belia memberikan perkongsian tentang kegembiraan mereka yang termasuk melihat kehidupan orang muda berubah semasa melayani dan sukacita kerana dipanggil untuk membawa Kristus ke dalam kehidupan remaja.

Ada juga yang meluahkan rasa sedih kerana melihat seorang muda meskipun telah dibimbing dan didekati tetap memilih untuk menolak Tuhan.

Secara keseluruhan, kebanyakan berkongsi bahawa terdapat lebih banyak kegembiraan daripada kesedihan semasa mereka melayani.

Para pemimpin belia juga mendengar perkongsian peribadi Sr Dora, Sr Terry dan Fr Paul tentang bagaimana mereka bermula dalam pelayanan belia. Perkongsian paderi dan religius ini memberi inspirasi kepada kaum muda bagaimana Tuhan menggunakan orang muda untuk melakukan misi- Nya, dan bagaimana hari ini, ketiga-tiga mereka melayani dalam skala yang lebih besar itu pelayanan imamat dan religius.

Kunjungan itu ditutup dengan doa yang dipimpin oleh Fr Paul diikuti dengan jamuan makan tengah hari. --Sumber Catholic Sabah

Total Comments:0

Name
Email
Comments