Pesta KAGAPE Pulau Pinang: Iman merapatkan sempadan budaya

Merayakan Perayaan Ekaristi Pesta Kaamatan, Gawai dan Panen (KAGAPE), Uskup Sebastian Francis mengatakan meskipun kita mempunyai latarbelakang yang berbeza dari segi budaya, umur, pekerjaan, geografi, dan sebagainya, namun kita mempunyai identiti yang sama – iaitu kita adalah anak-anak Tuhan dan Tuhan adalah Bapa kita – dan inilah iman kita, bahawa kita mempunyai Tuhan yang sama.

Jul 03, 2021

PULAU PINANG: Merayakan Perayaan Ekaristi Pesta Kaamatan, Gawai dan Panen (KAGAPE), Uskup Sebastian Francis mengatakan meskipun kita mempunyai latarbelakang yang berbeza dari segi budaya, umur, pekerjaan, geografi, dan sebagainya, namun kita mempunyai identiti yang sama – iaitu kita adalah anak-anak Tuhan dan Tuhan adalah Bapa kita – dan inilah iman kita, bahawa kita mempunyai Tuhan yang sama.

Tambahnya, “Dan kerana IMAN ini, segala jarak perbezaan yang wujud antara kita termasuklah dari segi kebudayaan, dirapatkan. Perbezaan kita bukan diketepikan, namun dirapatkan,” ujar Uskup Sebastian yang berkenan memimpin Misa Kudus KAGAPE peringkat Keuskupan Pulau Pinang pada 20 Jun lalu.

Penganjur Pesta KAGAPE tahun ini memilih tema ‘Iman, Merapatkan Sempadan Budaya’.

Prelatus Pulau Pinang itu menegaskan, "Gereja tidak mengajar kita untuk mengetepikan perbezaan hanya kerana kadang-kadang perbezaan itu menyebabkan perpecahan, namun Gereja mengajar kita untuk ‘mendakap’ asal-usul kita, ‘to embrace’ our upbringing, our background kerana itu adalah akar identiti kita.

Bapa Uskup Sebastian turut mengongsikan dua nilai dipelajarinya melalui KAGAPE iaitu nilai pengorbanan dan kesyukuran.

Katanya, lagenda pengorbanan Huminodun mendorong umat untuk menyelami kisah Yesus – yang menderita dan mati di Kayu Salib untuk keselamatan manusia. Huminodun, (mengikut kepercayaan masyarakat Kadazan-Dusun di Sabah pada masa lalu), adalah korban yang menyebabkan tanah menjadi subur dan seterusnya menghasilkan makanan fizikal yang memberikan kekuatan kepada memberi kekuatan kepada tubuh manusia.

“Namun,” kata Uskup Sebastian, “Kita juga perlu makanan rohani iaitu Sakramen Ekaristi dan Sabda Tuhan. Tetapi hanya dengan pengorbanan Yesus di Kayu Salib, maka kedua-dua hal ini mempunyai erti. Ringkasnya, jika Huminodun adalah korban yang menyelamatkan tubuh fizikal dari bencana kebuluran, Yesus pula (mengikut ajaran Gereja), adalah korban yang memberi hidup dan keselamatan kekal kepada manusia.

“Kasih Kristus menguasai hidup kita, dan kita yakin bahawa apabila seseorang telah mati bagi semua orang, maka semua orang itu pun telah mati. Dia telah mati bagi semua orang, supaya mereka yang hidup tidak lagi hidup untuk diri sendiri tetapi untuk Dia yang telah mati dan telah dibangkitkan bagi mereka.”

Dalam nilai kedua iaitu kesyukuran, Uskup Sebastian mengatakan, pesta KAGAPE bukanlah semata-mata perayaan sosial atau masa untuk berkumpul dan merapatkan hubungan antara sesama, tetapi juga suatu ungkapan syukur atas tuaian padi yang sudah siap dikerjakan selama empat hingga lima bulan.

“Sudah tentu padi merupakan tanaman utama masyarakat pelbagai suku di Sabah dan Sarawak, tapi saya percaya, pada masa ini, ucapan syukur ini bukan sahaja untuk tuaian padi, tetapi juga setiap jenis tanaman yang mereka tanam dan jaga dibawah panas terik atau hujan. Tuaian yang menjadi makanan dan sumber pendapatan, terutamanya bagi para petani. Rasa syukur merupakan suatu respon yang sangat indah bila mana kita menyedari apa yang kita terima daripada Tuhan.

“Ada banyak cara untuk mengucap syukur,” jelas Uskup Sebastian. “Salah satunya adalah berdoa, kedua adalah memberi. Dan apabila kita menghadiri ‘ngabang’ atau ‘karamayan’ (perayaan) bersama komuniti Sabah-Sarawak, kita akan melihat bahawa setiap keluarga ada membawa beberapa jenis lauk dan makanan untuk dikongsi bersama dengan orang lain.”

Bagi Uskup Sebastian, “Ini adalah satu cara menyatakan rasa syukur dan pujian kepada si Pemberi.”

Bapa Uskup juga menyedari bahawa ramai di antara umat mendapati bahawa sukar untuk mempraktikkan kedua-dua nilai ini; pengorbanan dan kesyukuran.

“Cuba tanya diri kita, mahukah kita membuat pengorbanan untuk orang yang kita tidak sukai atau yang tidak kita kenali? Dapatkah kita mengucap syukur apabila kita menerima sesuatu yang kurang baik atau yang tidak menyenangkan?

“Adanya ketakutan, kerisauan dan keraguan dalam hidup kita, menghalang kita untuk merespon panggilan Tuhan untuk mengasihi sesama melalui sikap pengorbanan dan kesyukuran.

Maka dalam Injil hari ini, Yesus mengajak kita untuk berteguh dalam iman – jangan takut untuk berkorban, jangan ragu untuk bersyukur. Jangan takut, ‘kada korosi’ (bahasa Dusun), ‘anang takut’ (Iban), ‘paie katalow’ (Murut), Tuhan menyertai kita semua,” pesan Uskup Sebastian pada akhir homilinya.

Total Comments:0

Name
Email
Comments