Polis Malaysia dituduh culik pendeta dan aktivis

Sebuah suruhanjaya hak asasi manusia Malaysia menyimpulkan bahawa polis terlibat dalam kehilangan seorang pendeta dan seorang aktivis sosial.

Apr 12, 2019

KUALA LUMPUR: Sebuah suruhanjaya hak asasi manusia Malaysia menyimpulkan bahawa polis terlibat dalam kehilangan seorang pendeta dan seorang aktivis sosial.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mendakwa pada 3 April bahawa dua orang hilang — aktivis Amri Che Mat dan Pendeta Raymond Koh — adalah mangsa penghilangan paksa.

Mah Weng Kwai, ketua panel yang telah menyelidiki kes kehilangan di negara majoriti Islam itu mengatakan bahawa setelah melalui diskusi panjang dan pertimbangan mengenai kedua-dua kes itu, mereka hanya dapat menyimpulkan bahawa yang terlibat dalam penculikan itu adalah individu atau kumpulan yang beroperasi dengan sokongan agen negara.

“Panel berpandangan bahawa penghilangan paksa Amri dilakukan oleh agenagen negara,” katanya, dan menyebut markas kepolisian dan badan intelijennya — Special Branch — sebagai pelaku penculikan di luar proses undang-undang.

“Bukti langsung dan tidak langsung dalam kes Koh juga membuktikan bahawa dia diculik oleh Special Branch.”

Amri, yang merupakan pendiri organisasi bukan kerajaan HOPE, dilaporkan hilang setelah meninggalkan rumahnya di Kangar, Perlis, sekitar 11.30 malam pada 24 November 2016.

Kenderaan yang dipandunya ‘dikepung’ dan sekitar satu jam kemudian kenderaan itu ditemui ditinggalkan di tapak pembinaan di Kangar.

Terakhir kali Koh dilihat oleh isterinya Susanna pada 13 Februari 2017, sekitar pukul 10.15 pagi. Dilaporkan bahawa Koh diculik oleh sekumpulan pemuda di pinggiran ibukota Malaysia, Kuala Lumpur semasa dalam perjalanan ke rumah seorang teman.

Klip CCTV yang tersebar luas menunjukkan bahawa penculikannya mirip dengan Amri. Konvoi SUV dan motosikal hitam dilihat mengelilingi kenderaannya di tepi jalan. Beberapa pemuda kemudian melompat keluar dan masuk ke dalam kenderaannya. Konvoi bergerak bersama dengan kenderaannya. Itulah kali terakhir Koh dilihat.

Suhakam memulakan siasatan awam terhadap beberapa orang hilang pada 9 Ogos 2017.

Pendeta Malaysia, Joshua Hilmy dan isterinya yang berwarganegara Indonesia, Ruth Sitepu kali terakhir dilihat pada 30 November 2016, dan diyakini sebagai mangsa penghilangan paksa.

Pada 1 April, The Jakarta Post melaporkan bahawa adik lelaki Ruth, Iman Setiawan Sitepu, baru-baru ini menulis surat terbuka kepada Presiden Indonesia Joko Widodo untuk mendesak pihak berwenang Malaysia untuk mencari kakaknya. — ucanews.com 

Total Comments:0

Name
Email
Comments