Pra-PUKAT ke-11 di pendalaman bawah Keuskupan Keningau

Pra-PUKAT ke-11 di pendalaman bawah Keuskupan Keningau

Sep 28, 2018

PURUN, Kuala Penyu: Berlandaskan misi Keuskupan Keningau “Umat Tuhan Berjalan Bersama dalam Kesatuan, Kesetiaan dan Kekudusan Yesus Kristus”, Pra-Perhimpunan Awal Umat Katolik (Pra -PUKAT) Gabungan Empat Paroki Pendalaman bawah Keuskupan Keningau telah berlangsung pada 8 September 2018.

Bertempat di Rumah Retret St. Theresia Kanak-kanak Yesus, Purun, Kuala Penyu para perwakilan datangnya dari Paroki St. Peter Bundu, Kuala Penyu, Paroki St. Valentine, Beaufort, Paroki St. Patrick, Membakut dan Paroki St. Yohanes, Sipitang.

Perhimpunan ini dimulakan dengan doa pembukaan dan bacaan Injil sebagai tanda kita memerlukan Yesus sebagai Pembimbing dan Pemandu kita dalam setiap pekerjaan kita.

Ini diikuti dengan ucapan alu-aluan Pra-PUKAT oleh Bapa Uskup Cornelius Piong yang dibacakan oleh Msgr. Gilbertus J Engan.

Uskup Cornelius dalam pesannya memberi semangat dan menyokong usaha para umat awam dalam usaha memantapkan iman umat Katolik.

Seterusnya dalam sesi Orientasi Umum iaitu Pengenalan kepada Pra-Pukat, di sampaikan oleh Sdra Fredolin Umis dari Team ADHOC Pra-Pukat.

Bengkel kumpulan berpandukan dua soalan Pra-Pukat iaitu “Apakah sumbangan yang telah direalisasikan sejak PUKAT-1 dalam membentuk umat Tuhan yang komited dan melayani kerajaan- Nya?” dan “Apakah langkah-langkah rohani yang patut diambil supaya kita mampu hidup bersama dalam kesatuan, kesetiaan dan kekudusan Yesus Kristus?” Soalan-soalan ini membolehkan para peserta merenung, melihat dan menilai perkembangan iman umat dan seterusnya mengambil tindakan yang sesuai dalam pemantapan iman dalam zaman teknologi yang mencabar ini.

Dalam sesi pembentangan hasil bengkel terdapat banyak isu dan langkahlangkah yang telah diketengahkan oleh perwakilan setiap paroki. Antara beberapa isu dan permintaan yang menarik perhatian adalah penyertaan umat dalam aktiviti gereja khasnya Saat Teduh adalah sangat kurang, tentang isu alam sekitar, aktiviti belia dan kanak-kanak Katolik yang perlu diperhatikan, isu minuman tradisional beralkohol dan sebagainya.

Msgr Gilbertus, dalam sesi penggulungan merakamkan penghargaan kepada semua peserta bahawa penyertaan mereka dalam Pra-PUKAT ini memperlihatkan semangat solidariti dan ambil peduli tentang perkembangan iman di Keuskupan Keningau.

Ini dapat dilihat dalam pelayanan yang semakin matang, adanya buah-buah iman dalam KKD, serta adanya pengurusan yang lebih baik serta efektif di kalangan pemimpin belia serta dalam hal ehwal pengurusan kewangan serta harta gereja yang lebih baik.

Beliau juga menyimpulkan terdapat 14 isu yang harus diambil perhatian dan tindakan iaitu Rekoleksi, Pelayanan, Keluarga, Belia, Kanak-kanak, Saat teduh, Guru katolik, Alam sekitar, tiga OM (dalam buku Pastoral Keuskupan Keningau), Paderi dan Religius, Umat - sekularisasi dan isu pengislaman.

Semasa memimpin Misa Penutupan, Father Boniface Kimsin meminta umat untuk menyerahkan dan memohon bantuan doa dalam menjayakan PUKAT ke-11 nanti. Pra-Pukat ke-11 diakhiri dengan sesi pemotongan kek sempena Pesta Kelahiran Bonda Maria, sesi bergambar dan makan tengahari bersama. — KOMSOS Kuala Penyu

Total Comments:0

Name
Email
Comments