Radio online terbitkan segmen khas Hari Wanita

Bertemakan ‘Wanita Bangkit Mendepani Cabaran’, Hari Wanita Sedunia pada tahun ini menjulang sumbangan berterusan wanita dalam pelbagai bidang, meski dibelenggu pandemik COVID-19.

Mar 12, 2021

KENINGAU: Bertemakan ‘Wanita Bangkit Mendepani Cabaran’, Hari Wanita Sedunia pada tahun ini menjulang sumbangan berterusan wanita dalam pelbagai bidang, meski dibelenggu pandemik COVID-19.

Pandemik yang melanda negara pada masa ini menguji kehidupan para wanita dan di sinilah kita dapat melihat kekuatan insan bergelar wanita walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, wanita mampu bangkit dan kekal berjaya keluar daripada cabaran tersebut.

Bersempena Hari Wanita, Radio Online Kekitaan FM juga meraikan hari istimewa ini dengan segmen khas “Mari kenali Tokoh-tokoh Wanita dalam Alkitab” bersama DJ Didine pada petang 8 Mac lalu. Antara wanita dalam Alkitab yang diserlahkan oleh DJ Didine ialah Hawa, Sara, Ribka, Yukabad, Deborah, Rut, Elizabet, Maria dan Marta dari Betania serta Maria Magdalena.

Setiap wanita dalam Alkitab itu memiliki kelemahan tetapi kekurangan itu menjadi kekuatan mereka dalam meneruskan kehidupan. Semua wanita itu, meskipun berbeza, tetapi mereka mempunyai keyakinan kuat yang sama iaitu Tuhan, Bapa Syurgawi adalah Kekal dan Berkuasa.

Hawa, misalnya, wanita pertama dicipta oleh Tuhan meskipun sedikit sahaja tentang Hawa dalam Alkitab tetapi Hawa adalah wanita yang luar biasa. Kisah Hawa mengajar umat bahawa  Tuhan mahu umat memilih-Nya secara bebas, menerima tanggungjawab akibat pilihan kita dan karya Tuhan tidak akan dipenuhi jika umat tidak bekerjasama dengan-Nya.

Kisah wanita pertama dalam Alkitab ini juga mengingatkan kita bahawa tidak ada apa yang kita lakukan tanpa tersembunyi di mata Tuhan.

Total Comments:0

Name
Email
Comments