RCSC kupas strategi tumpas berita palsu

RCSC kupas strategi tumpas berita palsu

Jul 20, 2018

KENINGAU: Keuskupan Keningau menjadi tuan rumah sempena mesyuarat Komisi Komunikasi Sosial Serantau atau Regional Commission for Social Communications (RCSC) bagi Malaysia, Brunei dan Singapura di Pusat Ziarah Keluarga Kudus Nulu Sosopon (PZKKNS), pada 18-20 Jun lalu.

Dihadiri oleh 21 orang yang mewakili Keuskupan Agung Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Kuching dan juga Keuskupan Keningau, Brunei, Pulau Pinang, Melaka-Johor, Miri dan Sandakan.

Antara perwakilan yang hadir ialah Uskup Cornelius Sim daripada Keuskupan Brunei selaku Presiden RCSC dan beberapa orang Paderi iaitu Fr. Robert Leong (Brunei), Fr. Thomas Mandanan (Kota Kinabalu), Fr. Peter Anthony (Kuala Lumpur) dan Sr. Anna Yap daripada Daughters of St. Paul.

Pertemuan ini dibuka dengan Misa Kudus yang dipimpin oleh Uskup Cornelius Piong. Belau mengalualukan kedatangan para perwakilan ke Keuskupan Keningau.

Dalam mesyuarat, setiap perwakilan menyampaikan laporan mengenai pelaksanaan dan perancangan yang telah diadakan di keuskupan masing-masing. Melalui laporan ini, keperluan dan masalah yang dihadapi terutamanya yang berkaitan dengan “berita palsu” dikongsikan dan cara untuk menanganinya.

Selepas Misa, Uskup Cornelius Piong dalam ucaptamanya menekankan Pesan Hari Komunikasi Sedunia 2018 Sri Paus Fransiskus tentang berita palsu dan jurnalis untuk perdamaian. Menu rut Uskup Sim, komunikasi dan pemberi maklumat adalah penjaga kebenaran. Komunikasi Sosial Gereja di pelbagai peringkat dapat memainkan peranan penting dalam menawarkan suara alternatif kepada orang ramai dengan mempraktikkan serta menggunakan sumber-sumber yang benar. Mengambil dan menyebarkan sumber yang benar merupakan salah satu cara memanjangkan kebaikan dan menjana kebenaran di mana ia membuka jalan kesatuan dan perdamaian. Prelatus itu berkata lagi bahawa dalam menumpaskan berita palsu, pembinaan dan maklumat perlu dilaksanakan di kalangan umat.

Pada akhir ucapannya, Uskup Sim menegaskan agar para pengamal media dan pengguna Internet sentiasa mengingati penegasan Sri Paus Fransiskus dalam pesan sempena Hari Komunikasi Sedunia untuk mengutamakan kekudusan dan menghormati martabat manusia dalam menulis serta menyebarkan berita. Antara strategi untuk menumpaskan berita palsu, Ruben Sario, perwakilan dari Keuskupan Agung KK menasihati umat agar berfikir dan berhenti menyebarkan berita yang kurang diyakini. Umat digalakkan untuk mendapat pengesahan berita daripada Paderi Paroki atau saluran media yang boleh dipercayai.

Selain itu, seminar tentang penggunaan Internet (webinar) juga dapat menyedarkan umat untuk berpegang kepada kebenaran sebagai senjata melawan berita palsu.

Antara lain, para perwakilan juga setuju untuk membantu menyebarkan Kupi-kupi Rohani iaitu renungan harian dalam bahasa Malaysia yang dikendalikan oleh Keuskupan Keningau agar dapat didengar oleh umat bahasa Malaysia di Semenanjung.

Pertemuan Komisi Komunikasi Sosial diakhiri dengan perayaan Misa di Gereja St. Yohanes Penginjil Panui. Tuan Rumah bagi pertemuan RCSC pada tahun 2019 ialah Keuskupan Melaka-Johor.

Total Comments:0

Name
Email
Comments