Sekolah Minggu dibuka semula di Keuskupan Agung KK

Berita baik untuk para pelajar Sekolah Minggu di Keuskupan Agung Kota Kinabalu.

Mar 12, 2021

KOTA KINABALU: Berita baik untuk para pelajar Sekolah Minggu di Keuskupan Agung Kota Kinabalu.

Pembimbing Rohani Komisi Kateketikal Keuskupan Agung KK, Father Nicholas Stephen dalam suratnya mengumumkan bahawa pembelajaran Kateketikal Mingguan adalah dibenarkan di semua paroki naungan Keuskupan Agung KK.

Dalam surat bertarikh 5 Mac tersebut, Fr Nik mengatakan, "Saya percaya dalam masa pandemik ini, semua kelas pertemuan mingguan Kateketikal banyak yang tergendala dan mengalami kesulitan bagi menyampaikan pembelajaran secara maya atau online. Walau bagaimanapun, keadaan ini tidak menghalang kita untuk terus melayani dan mengongsikan Khabar  Baik tentang Tuhan Yesus kepada semua orang dalam pelbagai bentuk komunikasi.

Menurut Fr Nik, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pihak kerajaan Negeri Sabah pada 4 Mac telah membenarkan semua  seminar/bengkel/latihan/persidangan pameran adalah DIBENARKAN untuk beroperasi tertakluk kepada 50% kapasiti ruang bilik dengan mematuhi penjarakan fizikal, mewajibkan pemakaian pelitup muka dan berdasarkan SOP Am perlaksanaan Majlis Rasmi Kerajaan dan Swasta.

Oleh yang demikian, atas nasihat Uskup Agung John Wong, maka dengan ini dimaklumkan bahawa semua kelas pembelajaran agama yang melibatkan pembelajaran PMG, kelas IKD dan lainlain kelas boleh diadakan bermula pada bulan Mac 2021 ini dengan mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan dan mengikut ketetapan paroki masing-masing.

Total Comments:0

Name
Email
Comments