Sinodaliti, perjalanan gerejawi yang memiliki karisma Roh Kudus

Frasa “berjalan bersama”, bukanlah sesuatu yang asing bagi Keuskupan Keningau. Frasa itu telah tertulis dan diamalkan sejak awal penubuhannya.

Oct 22, 2021


KENINGAU:
Frasa “berjalan bersama”, bukanlah sesuatu yang asing bagi Keuskupan Keningau. Frasa itu telah tertulis dan diamalkan sejak awal penubuhannya.

Frasa ini juga sangat bersesuaian dengan undangan Bapa Suci Fransiskus untuk gereja global melakukan sinode (berjalan bersama) melalui “persekutuan, partisipasi dan misi”.

Pelancaran Sinod 2023 disempurnakan oleh Uskup Cornelius Piong pada 17 Oktober, di Dataran Keuskupan Keningau.

“Pada hari yang istimewa ini, kita melancarkan Gereja Sinodal yang bertema “Persekutuan, Partisipasi dan Misi”. Pasti ada yang bertanya, apa itu Gereja Sinodal?

Gereja sinodal adalah umat yang berjalan bersama yang dijiwai oleh Roh Kudus,” kata Uskup Cornelius semasa homili.

Mengulas lanjut, Uskup Cornelius menyatakan tiga hal penting yang perlu bagi mencapai tujuan Gereja Sinodal ini iaitu, hidup berkomuniti, aktif berpartisipasi dan umat gereja yang mempunyai misi.

Bapa Uskup menerangkan dengan hidup berkomuniti ia memupuk semangat untuk terlibat dengan sesama seperti hubungan Tritunggal Mahakudus yang adalah semangat komuniti yang sejati. Prelatus itu berharap bermula dari keluarga, KKD, KUK, ZON, Paroki seterusnya Keuskupan dapat hidup berkomuniti dengan cara yang serupa.

‘Partisipasi’ pula ialah sikap melibatkan diri bukan sahaja dalam aktiviti gereja tetapi juga aktiviti sosial yang memerlukan demi kesejahteraan bersama. Prelatus itu menegur, “Saya masih ingat, kalau dulu-dulu, orang yang sama sahaja dalam pelayanan kerana kurang penyertaan daripada pihak lain.”

“Sebagai umat Gereja yang dibaptis, kita dikaruniakan dengan misi. Misi umat yang dibaptis ialah menjadi “garam” kepada dunia, memberi pengaruh baik kepada sesama, bukan sebaliknya atau kita pula yang dipengaruhi oleh perkara-perkara negatif.”

Simbolik pelancaran dimulakan dengan tayangan video klip makna Gereja Sinodal, ucapan pelancaran oleh Bapa Uskup Cornelius dan akhirnya penyerahan banting kepada pengerusi-pengerusi zon di Paroki Keningau.

Semasa ucapan pelancaran, prelatus itu sempat berpesan, “Menjadi kerisauan saya, apabila pemimpin, paderi, katekis, religious dan pengerusi-pengerusi yang menjadi penghalang utama dalam merealisasikan gereja sinodal ini. Diharapkan ini tidak berlaku, semoga kita bukan salah seorang dari penghalang itu.” — Juanis bin Marcus

Total Comments:0

Name
Email
Comments